18 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 9

HAZRUL melabuhkan duduk di sebelah abangnya, Hasif yang sedang sibuk dengan kertas kerja. Hampir separuh meja kopi di ruang tamu dipenuhi dengan kertas kerja Hasif. Jarang-jarang sekali Hasif membawa pulang kerja pejabat ke rumah. Nampaknya kalah juga abang dia dengan tuntutan kerja yang maha hebat itu.
            Sejak emak mereka meninggal dunia, Hasif mula berubah menjadi seorang yang gila kerja. Hidupnya hanya lah tentang kerja semata, langsung tiada hati ingin bersosial atau mencari teman hidup. Tengok pada luaran, sepertinya Hasif lah yang paling terkesan dengan pemergian Puan Humairah kerana karakternya berubah seratus peratus. Hasif yang tenang dan sabar mula menjadi seorang yang serius dan panas baran. Mereka lupa, ada yang lebih terkesan dengan pemergian Puan Humairah hinggakan hidup dengan makan hati berulam jantung sepanjang masa.
            “Banyak lagi ke bang?”
            “Yes.”
            Hazrul diam mendengar jawapan Hasif. Yang sebenarnya ada sesuatu yang dia ingin bicarakan  dengan abangnya itu. Tetapi melihat pada keadaan Hasif yang sibuk, langsung terbantut persoalan yang ingin diutarakan.
            Perasan yang Hazrul kembali diam, Hasif menoleh. “Kenapa? Rul ada sesuatu nak bincang dengan abang ke?” Raut wajah adiknya yang sedikit mendung dipandang lama. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Hazrul nampaknya kalau dah begitu raut wajah adiknya itu.
            “Tentang ayah.”
            Pantas wajahnya bertukar riak bila perkataan ayah disebut Hazrul. “Kenapa dengan dia?”
            “Kes tuntutan ayah ke atas rumah ni macam mana bang?”
            Hasif mendengus. Bila saja bercakap tentang Tuan Yazid, mood dia terus berubah. Hanya perasaan marah saja yang tersimpan terhadap ayahnya itu. “Abang dah bercakap dengan peguam tentang hal ini. Kalau kes tuntutan tu dibawa ke mahkamah, buang masa kita saja Rul. Buang masa dia juga. Malahan kos perbicaraan itu nanti dia juga yang kena tanggung semuanya.”
            “Kenapa?”
            Hasif bersandar ke belakang. “Buat lah macam mana sekali pun walau dengan apa cara sekali pun, rumah ni tak akan jadi hak milik dia.”
            “Maksud abang?”
            “Rumah ni nama mak dan sebelum mak meninggal rumah ni masih atas nama mak, tak tukar nama sesiapa pun. Jadi automatik rumah ni dapat kata anak-anak, which is abang, kakak dan Rul. Nanti kemudian akan dibahagi ikut faraid. Okey yang faraid tu kita letak tepi dulu. Yang penting sekarang, dia tak akan dapat rumah ni sampai bila-bila. Itu yang pasti.”
“Rumah ni bukan harta sepencarian ke abang?”
            Hasif menggeleng. “Bukan. Abang dah semak dekat LHDN, memang tak ada dalam rekod harta sepencarian ke apa. Jadi, rumah ni memang hak milik kita tiga orang Rul.”
            “Kalau bukan harta sepencarian maknanya ayah memang tak boleh nak tuntut rumah ni langsung lah kan.”
            “Ye!”
            “Tak kan ayah tak tahu pasal tu?”
            “Exactly! Itu yang abang geram dengan orang tua tu. Tak pernah cukup dengan apa yang ada. Dah lah duit pencen mak semua dia sapu sedangkan dia langsung tak ada hak ke atas duit tu semua. Soal duit, abang malas nak kecoh Rul. Duit kita boleh cari, tapi rumah yang mak dah beli hasil titik peluh dia ni tak akan sesekali abang lepaskan kepada orang tua tak guna macam tu. Bukan abang tak tahu yang dia nak sangat rumah ni sebab dia nak jual. Dan duit hasil jualan rumah ni nanti pasti dia akan serahkan pada keluarga baru dia tu.”
            Hazrul angguk faham. “Rul pun rasa macam tu juga abang. Yang sebenarnya, beberapa hari lepas Rul ada ternampak ayah dengan makcik bergaduh dekat luar bank. Terus tak jadi Rul nak masuk bank tu.”
            “Huh! Gaduh pasal duit lah tu. Padan lah muka, nak sangat kan kahwin dengan perempuan muda.” Cemuh Hasif.
            “Tengok ayah waktu tu, Rul rasa ayah tengah susah lah sekarang bang.”
            “Macam yang abang cakap tadi la… Sebab tu dia nak sangat dengan rumah kita ni, dia nak dapatkan duit dengan jual rumah kita ni,” wajah Hasif berubah merah. Rasa amarah terhadap Tuan Yazid menekan-nekan dadanya. Entah apa lagi yang perlu dia katakana supaya ayahnya itu sedar yang tidak semudah itu untuk mendapatkan rumah peninggalan arwah emaknya ini.
            “Jadi, apa jalan penyelesaiannya sekarang bang? Abang tetap akan bawa kes ni ke mahkamah ke?”
            “Peguam tu cakap seeloknya kes macam ni bincang diluar mahkamah saja. Bila dah naik mahkamah, banyak lagi kos kerugian yang kena tanggung nanti.”
            “Jadi abang akan bincang tentang hal ini dengan ayah?” Bukan dia tidak tahu yang abangnya itu nak tengok wajah ayah mereka pun tak boleh. Apatah lagi nak bincang elok-elok. Sebelum ni pun kalau ayah mereka ajak berbincang terus Hasif menolak sekeras-kerasnya.
            Hasif mendengus. “Sejujurnya, abang tak ada hati langsung nak berbincang dengan dia…”
            Kan dah cakap… Bisik Hazrul dalam diam.
            “Bila pandang wajah dia abang asyik terbayangkan apa yang dia dah buat pada mak, pada kita adik beradik. He left mak when mak needs him the most. Sanggup dia ceraikan mak saat mak sakit bertarung dengan kanser. Sanggup dia buat macam tu. Nonsense tahu tak!” Makin berapi marah Hasif.
            Bila saja mengungkit cerita lama, marahnya memang sangat sukar dibendung. Siapa yang suka melihat mak sendiri menderita dengan perangai suami yang menggatal di luar di saat diri sendiri sedang berperang dengan penyakit yang sukar diubati. Dia sendiri hampir menitis air mata melihat kesengsaraan arwah maknya waktu itu. Kerana dia anak lelaki, dia harus kuat. Kuat demi mak dan adik-adiknya.
            Hazrul memandang lama wajah garang Hasif sebelum menunduk menekur jari sendiri. Memang tak akan selesai masalah keluarga mereka agaknya. “Rul sedih abang. Kalau lah arwah mak tahu kita bertelingkah dengan ayah macam ni Rul yakin yang mak juga akan turut sedih. Abang tak boleh ke kalau bincang elok-elok dengan ayah. Cuba fahamkan ayah. After all, he’s still our father. Pertalian darah di antara kita dengan ayah tak akan putus sampai bila-bila abang.”
            Hasif menoleh ke arah Hazrul dengan wajah yang garang. Hampir saja dia membalas kata-kata adiknya itu namun cuba ditahan. Bimbang jika kata-kata yang lahir dari rasa amarahnya bisa membuatkan Hazrul pula yang terguris. Nafas ditarik dalam dan mata dipejam buat seketika.
            “Kakak mana?” Soalan pertamanya setelah kembali membuka mata. Perihal ayahnya dibiarkan tidak berjawab.
            Lama Hazrul diam kerana sedikit kecewa dengan abangnya yang cuba mengelak untuk berbaik dengan si ayah. Dia juga marah dengan apa yang telah ayahnya lakukan. Malah dia juga pernah menyatakan bahawa rasa hormat terhadap ayahnya telah tiada lagi setelah pergaduhan mereka di rumah ini dulu. Tetapi bila melihat wajah tua ayahnya yang diherdik oleh isteri baru ayahnya tempoh hari, rasa kasihan mula berputik kembali. Sungguh dia sedih melihat keadaan ayahnya tika itu.
            “Ada dekat atas.”
            “Buat apa?”
            Hazrul angkat bahu tanda tidak tahu. “Betul ke abang suruh kakak kahwin?”
            “Kakak bagi tahu?”
            Hazrul angguk. Satu lagi masalah di dalam keluarga mereka, tetapi kali ini melibatkan kakaknya pula. Kadang rasa serabut juga dengan segala permasalah yang timbul dalam keluarga mereka. Sejak dari dulu hingga lah sekarang, sekejap saja rasa gembira yang menjengah. Selebihnya hanya lah tekanan, kekecewaan dan kesedihan yang menyelubungi hidup mereka sekeluarga.
            “Apa lagi yang kakak bagi tahu Rul?”
            “Itu saja. Betul ke abang nak kakak kahwin lagi?”
            Giliran Hasif pula angguk mengiakan persoalan Hazrul.
            “Tapi kenapa? Kenapa dalam waktu terdekat ni?”
            “Abang serabut Rul. Dengan masalah orang tua tu lagi, dengan masalah kakak kau lagi. Kepala abang ni dah berserabut sangat dah rasanya.”
            “Jadi, dengan kahwinkan kakak segala masalah akan selesai? Macam tu?”
            Hasif dan Hazrul saling berpandangan. Langsung tiada kata yang terluah dari bibir masing-masing.
            “Abang nak lepaskan tanggungjawab abang untuk jaga kakak kepada orang lain ke?” Hasif tetap diam, memilih untuk tidak menjawab soalan adiknya itu. Hazrul membuang pandang ke hadapan. “Kalau itu alasan abang, Rul kecewa bang. Kecewa sangat. Kita sebagai adik dan abang kepada kakak seharusnya melindungi dia. Bukan mengahwinkan kakak bagi melepaskan tanggungjawab kita.”
            “Kau tak faham Rul.”
            “Jadi cuba fahamkan Rul. Walaupun Rul seperti tidak peduli tentang kakak, tapi Rul sayangkan kakak dan Rul tak nak kakak kecewa lagi.”
            “Kalau kau sayangkan kakak, kau akan peduli tentang dia. Kau akan luangkan masa dengan dia dan kau akan cuba bahagiakan dia. Bukan menjauhkan diri kau dari dia macam ni. Kau ingat abang tak kecewa dengan perangai kau yang seperti mementingkan diri sendiri tu?” Bidas Hasif. Geram juga bila hanya dia yang disalahkan.
            Terus Hazrul terdiam. Ye, itu lah silapnya. Silap yang dibuat tanpa sedar. Bagi menenangkan fikirannya yang kusut, dia jauhkan diri dia daripada semua penghuni di dalam rumah itu termasuklah Hanim. Sedangkan kakak nya itu bertimpa-timpa episod sedih yang terpaksa ditempuhi. Namun tegar benar dia membiarkan Hanim bersendirian dalam menghadapi kelukaan hidup.


BADAN yang tersedia lemah melurut jatuh ke lantai. Dengan bersandar pada dinding di tepi tangga, air mata bisu Hanim mula membanjiri pipi. Soal jawab di antara abang dan adiknya seketika tadi membuatkan dia sedar tentang satu kenyataan. Kenyataan yang sangat perit untuk ditelan namun harus juga dia terima dengan berlapang dada. Dia tidak diperlukan di dalam keluarga ini lagi.
            Sakit. Pedih. Kecewa.
            Dengan kudrat yang ada Hanim bangun dan melangkah ke atas semula. Niat untuk duduk bersembang bersama Hasif dan Hazrul di ruang tamu dilempar jauh. Lemah kaki melangkah namun dikuatkan hatinya untuk kembali ke bilik dan berkurung di situ. Bilik itu dunia dia. Bilik yang kosong tanpa suara, kosong tanpa rasa cinta dan kosong tanpa kasih dan sayang. Badan direbahkan  di atas katil dan dia menyambung tangisnya di situ. Esakan halus mula berubah menjadi tangisan yang tidak berpenghujung.
            Oh tuhan, kenapa begini nasib hidup ku. Hilang kasih dan sayang keluarga. Hilang cinta sang suami. Mengapa begini takdir hidupku oh tuhan. Hatinya mula merintih yang tidak-tidak. Terus lupa tentang qada dan qadar tuhan. Yang bermain di minda hanyalah tentang malangnya hidup seorang Hanim. Penat menangis akhirnya Hanim terlena dengan mata yang basah. Tidur dalam membawa kesedihan yang menggunung, Hanim mula meracau.
            Tangannya terkapai-kapai cuba memaut batang tubuh yang semakin menjauh. Semakin dia mendekat, semakin laju batang tubuh itu menjauh. Hanim kembali menangis lagi. Nama yang disebut kurang jelas, namun terasa tidak asing pada pendengarannya. Semakin laju dia mendapatkan batang tubuh itu bila rasa kehilangan mula menjentik tangkai hatinya. Tidak! Dia tidak mahu kehilangan lagi. Lengan sempat dicapai dan dengan rakus dia membalikkan batang tubuh itu agar berhadapan dengannya.
            Hanim tersedar. Terasa sesak nafasnya saat mata dicelikkan semula.Wajah itu… Raut wajah pemilik batang tubuh itu seperti pernah dilihat. Namun mindanya gagal memproses siapa gerangan pemilik wajah yang penuh dengan rasa cinta itu. Terkebil-kebil mata Hanim memandang siling. Sedaya upaya dikerah ingatan namun tiada satu nama pun yang melintas kotak fikirannya ketika itu.
            Sedang Hanim leka mencari jawapan pada mimpinya itu, dia dikejutkan dengan telefon yang berdering di sebelah bantal. Sempat dia menjeling ke arah jam yang tergantung di dinding. Baru pukul sebelas malam. Dengan rasa malas dia menjawab panggilan tersebut.
            “Siapa yang pukul Khai?” Soalan pertama Maira setelah Hanim menjawab salamnya.
            “Kau call aku malam-malam macam ni sebab nak tanya pasal dia je ke?”
            Tipu lah kalau dia cakap yang dia tidak terasa dengan Maira. Kawannya itu bukan nak tanya keadaan dia atau apa yang telah terjadi siang tadi. Dah lah dia masih bersedih dengan apa yang didengarinya sewaktu di bawah tadi. Sekarang rasa sedih semakin bertambah kerana ketidakperihatinan sahabatnya itu. Apa yang malang sangat hidup dia ni. Rasa sebak kembali lagi namun cuba ditahan.
            “Khai dah ceritakan semuanya kepada suami aku Hanim. Siapa lelaki tu? Kenapa dia nak sibuk tentang soal hidup kau?” Jelas nada tidak puas hati pada suara Maira.
            “Apa yang dah Khai ceritakan pada suami kau?” Dengan malas Hanim menyoal. Hilang rasa sebak diganti pula dengan rasa menyampah. Tidak syak lagi, mesti lelaki itu sudah mereka cerita kepada suami Maira. Sebab itu lah Maira tidak puas hati sangat sekarang.
            “Lelaki tu tiba-tiba datang pukul dia san semuanya Hanim. Dari awal sampai akhir. Dua kali dia kena tibai dengan lelaki tu tanpa apa-apa sebab dan kau pula selamba saja ikut lelaki tu, tinggalkan dia macam tu saja.”
            Hanim menarik nafas dalam. Sah! Memang betul lelaki tak guna tu dah reka cerita yang bukan-bukan. “Kuat betul imaginasi kawan suami kau tu. Aku harap kalau kau nak kenalkan aku dengan seseorang, cari lelaki yang berpijak pada bumi yang nyata Maira. Aku tak suka orang yang banyak drama ni.”
            “Apa maksud kau?”
            “Kalau kau nak tahu, Khai tak sesuai jadi suami aku. Sebab apa? Sebab dia langsung tak ada rasa hormat kepada orang perempuan. Kalau baru kenal pun rasa hormat tu dah tak ada, kau rasa apa lagi yang dia mampu buat lepas ni?”
            “Kau cakap apa ni Hanim? Berbelit-belit la. Cakap terus terang je boleh tak?”
            Hanim pejam mata buat seketika. “Aku kecewa dengan kau Maira. Kau hubungi aku semata-mata untuk tanya apa yang terjadi pada Khai sedangkan mangsa yang sebenarnya adalah aku. Lelaki yang Khai ceritakan dekat suami kau tu client aku. Yes, memang dia tumbuk Khai tapi aku tak salahkan dia. Memang sepatutnya pun lelaki tak guna macam Khai tu kena tumbuk dengan dia. Baru kenal, baru jumpa, dah sibuk nak ambil kesempatan ke atas aku. Dah sibuk nak raba aku sana sini. Lelaki tak guna yang Khai cakapkan tu lah yang selamatkan maruah aku daripada dipijak oleh Khai, kau tahu tak.”
            “Hanim…”
            “Kau dah kenal aku lama Maira. Sepatutnya kau tanya aku dulu apa yang terjadi siang tadi, bukan terus percaya dengan semua kata-kata Khai dan soal aku macam Khai pula mangsa keadaan,” potong Hanim.
            “Hanim… Aku minta maaf.”
            “Kau tahu tak yang aku ni dah cukup tertekan dengan hidup aku dan sekarang kau nak tambah lagi tekanan pada hidup aku. Sampai hati kau kan…”
            “I’m sorry Hanim.” Perlahan saja Maira bersuara. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Bukan dia tidak tahu keadaan Hanim macam mana. Bukan dia tidak sedar Hanim seorang yang mudah terluka. Tetap juga dia tegar menambahkan luka pada hati sahabatnya itu.
            “Dah lah Maira, banyak sangat perkara yang terjadi dalam hidup aku hari ni. I need a rest. Aku nak tidur.”
            Kedengaran Maira mengeluh lemah. “Okey Hanim. Selamat malam dan sekali lagi aku minta maaf dengan kau.”
            “Aku maafkan. Assalamualaikum…” Malas mahu memanjangkan perselisihan faham di antara mereka, Hanim terus memutuskan panggilan.
            Badan direbahkan semula dan kepala kembali berbaring selesa pada bantal. Mata dipejam celik. Lintasan wajah di dalam mimpinya seketika tadi menjelma semula. ‘Siapa awak?’ Soal Hanim dalam bisu dengan mata yang terkebil-kebil memandang sekeliling.


No comments:

Post a Comment