15 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 7

TANGAN yang memegang pensil dijadikan tongkat pada kepala. Matanya tajam merenung plan yang terlakar di atas kertas, hasil kerja tangannya sendiri. Nampak sempurna tetapi seperti ada yang tidak kena pada lukisan itu. Izzat langsung tidak berpuas hati dengan kerjanya hari ini. Lama dia merenung, kemudian tangannya mula bergerak kembali. Mencuit sana sini supaya tiada yang silap nanti.
            Kerja seorang arkitek bukan lah satu kerja yang mudah. Semuanya di atas bahu dia. Salah design mahu roboh bangunan. Tak kena plan, bising pula segala jenis jurutera yang terlibat sama. Pening!
            Hampir satu jam setengah dia memperbaiki semula plan lukisan di atas meja, akhirnya selesai juga. Lega, nafas dihela perlahan. Lengan baju yang sudah tersedia berlipat ditarik hingga ke siku. Sempat diselitkan pensil pada telinga sebelum dia menyandarkan badan ke belakang. Tabiat zaman belajar terbawa hingga sekarang. Macam pelukis cabuk pula gayanya. Tapi langsung dia tak kisah.
            Jam dikerling. Sudah melepasi waktu kerja. Patut lah ofis dia sunyi saja walaupun pintu bilik dia terbuka luas. Sedang dia berkhayal, pintu biliknya diketuk. Bagai nak terkeluar jantung sebab terkejut. Itu lah, berkhayal lagi petang-petang macam ni. Dah la ofis sunyi tak ada orang.
            “Buat apa bro tak balik lagi.” Arham melangkah masuk ke dalam bilik yang dihuni Izzat.
            “Buat aku terkejut saja lah kau ni ustaz. Nasib baik tak ada sakit jantung.” Izzat kembali duduk tegak.
            Arham ketawa kecil. Panggilan ustaz memang tidak pernah lekang dari bibir Izzat bila bercakap dengan dia. Panggilan yang sentiasa melekat sejak dari zaman universiti. Bila dia selalu sangat mengimamkan solat dan memberi tazkirah kepada rakan-rakan yang lain, terus panggilan itu melekat padanya.
“Berkhayal lagi kau petang-petang macam ni. Buat apa tak balik lagi?” Arham menyoal lagi walaupun sudah jelas kelihatan plan yang terbuka luas di hadapan Izzat.
            “Aku buat correction sikit dekat plan bangunan KaeReka. Kau kenapa tak balik lagi?” Plan yang terbentang di atas meja digulung cermat sebelum diletakkan di atas kabinet di sebelah meja kerjanya itu.
            “Kena settlekan beberapa dokumen penting. Esok ada meeting dekat Putrajaya. Okey lah Izzat, aku balik dulu. Kau jangan rajin sangat nak sambung buat kerja pula.” Arham ketawa kecil sebelum berpaling untuk berlalu.
            “Ustaz!”
            Langkah terhenti dan Arham menoleh.
            “Aku ada sesuatu nak cakap dengan kau.”
            “Apa dia?”
            Izzat menjeling ke arah kerusi di hadapannya, sebagai isyarat kepada Arham.


“ALHAMDULILLAH…”
            Arham meraup wajah dengan kedua belah tangan. “Dah lama aku nantikan berita gembira ni daripada kau Zat.” Melebar senyuman di bibir Arham saat mendengar berita yang disampaikan oleh Izzat itu tadi.
            Izzat senyum seketika sebelum kembali serius. “Tapi ustaz…”
            “Tapi apa?”
            “Aku belum yakin sepenuhnya dengan diri aku ni.”
            “Pula dah. Kenapa?”
            Badan disandarkan ke belakang kerusi. “Kau pun tahu macam mana aku dulu kan.”
            Arham angguk. Bukan dia tidak kenal siapa Izzat. Tahun pertama perkenalan mereka di universiti elok lagi perangai sahabat dia tu. Tapi bila satu tragedi telah menimpa keluarga Izzat, perilaku dan perangai sahabatnya itu terus berubah sehingga lah beberapa tahun kebelakangan ini. Nampaknya Izzat mula kembali pada asal. Kembali menjadi Izzat yang dulu. Cuma satu yang tidak berubah, riak wajah tidak berperasaan. Entah ke mana disoroknya segala perasaan yang ada dalam diri sehingga menjadikan dia sedingin ini.
“Past is past Izzat. Kau pun dah berubah kan sekarang. Solat kau pun dah terjaga.”
            “Tapi aku rasa semua itu belum cukup ustaz. Mampu ke aku nak galas tanggungjawab tu nanti.”
            “Kalau kau rasa tak mampu, kenapa kau buat keputusan macam ni?”
            “Sebab aku suka dia dan aku nak dia dalam hidup aku.” Tanpa rasa Izzat menjawab.
            Lama Arham merenung ke arah sahabatnya itu. Bercakap macam orang tak ada perasaan. Betul ke tidak kawan dia ni dah nak berumah tangga. Nafas ditarik dalam. “Yang sebenarnya Izzat, lepas kahwin pun kau masih boleh terus tambah ilmu agama kau. Aku kira pasti akan lebih seronok bila kau ada partner untuk belajar bersama dengan kau nanti. Soal mampu ke tidak kau galas semua tanggungjawab itu nanti kau serahkan saja kepada tuhan. Biar dia usurkan semuanya tetapi dalam masa yang sama kau pun kena usaha juga. Berusaha melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya.”
            Lama Izzat diam. Cuba menghadam kata-kata Arham.
            “Ramai yang beranggapan bahawa perkahwinan itu menyusahkan. Tetapi yang sebenarnya perkahwinan itu juga adalah sumber rezeki kita samaada dalam bentuk harta benda atau anak isteri yang solehah. Jangan pernah menganggap perkahwinan itu adalah satu bebanan kerana perkahwinan juga dikira sebagai ibadah. When you marry a girl, you will complete half of her deen. Untung kan. Ups and down in marriage is a norm. Siapa je yang tak bergaduh setelah berkahwin. Siapa je yang tak terasa hati atau kecewa dengan pasangan masing-masing. Tapi jangan jadikan perkara itu sebagai penghalang untuk kau berkahwin pula.”
            Izzat masih diam mendengar butir bicara Arham bila apa yang sahabatnya katakan itu sememangnya benar belaka.
            Arham senyum. Riak risau mula terbersit pada wajah Izzat. “Tapi Izzat, satu yang kita kena ingat tentang perkahwinan, tak boleh di ambil ringan semua perkara. Kalau ada masalah cuba bawa berbincang dan buatlah keputusan dengan rasional. Bila kita berkahwin bermakna kita dah mengambil alih tugas ahli keluarga isteri kita untuk menjaga dia. Amanah… Isteri adalah amanah tuhan dan keluarganya kepada kita. Bila sebut tentang amanah sudah semestinya harus dijaga dengan elok. Bila kita sentiasa ingat tentang perkara ni insya Allah kehidupan suami isteri akan dipermudahkan.”
            “Kau rasa aku mampu ke?”
            “Kau kena yakin dengan diri kau sendiri Izzat dan aku sangat yakin yang kau mampu menggalas tanggungjawab itu.”
            Hampir saja bibir Izzat tercuit dengan senyuman, namun pantas saja ia terpadam.
            “Jadi, siapa bakal isteri kau tu? Aku kenal ke?” Arham mula sengih mengusik. Izzat yang beku nak kahwin, siapa je yang tak teruja.
            “Tak. Kau tak kenal pun.”
            “Family arrangment ke?”
            “Tak juga.”
            “Habis tu siapa?”
            Izzat merapatkan badannya ke meja. “Yang sebenarnya, aku baru saja kenal dengan dia dan aku tak pasti yang dia akan terima lamaran aku ke tidak.”
            “Baru kenal? Tak pasti? Siapa sebenarnya bakal isteri kau ni?”
            “Car dealer yang uruskan pembelian kereta aku.”
            Arham terdiam sejenak. Terkejut? Sikit. “Dia tahu tak yang kau suka dia? Yang kau nak lamar dia?”
            Izzat menggeleng. “In fact, aku dengan dia tak berkawan pun. Dia sangat strict ustaz, hanya berbincang tentang kereta je bila jumpa. Kalau bercakap soal lain jangan harap dia nak buka mulut.”
            Spontan tangan Arham naik menepuk dahi sendiri. “Habis tu yang kau beria bercakap soal nikah kahwin ni kenapa? Siap dengan tanggungjawab bagai.”
            “Sebab aku serius nak nikah dengan dia.” Jawab Izzat tanpa teragak-agak dan sekali lagi tangan Arham naik menepuk dahi sendiri.


SET BATH AND BODYWORK yang baru dibeli siang tadi disusun di atas dressing table dengan rapi. Pulang dari kerja, sempat dia singgah merayap di mall sambil mencuci mata. Akhirnya beg duit dia ikut cuci sama. Wajah dibelek di hadapan cermin. Masih seperti dulu cuma yang berbeza, wajahnya semakin hari semakin hilang sinar. Sinar keceriaan langsung tidak kelihatan.
            Nafas dihela perlahan. Hanim memandang ke sekeliling ruang bilik tidurnya yang luas. Sunyi. Itu yang dia rasakan kini. Usahkan bilik, rumahnya yang besar ini juga dari tadi sunyi bagai tidak berpenghuni. Hasif masih belum pulang dari tempat kerja walaupun jam sudah menginjak ke pukul sembilan malam. Hazrul pula bermalam di rumah kawan, ada study group katanya. Yang tinggal cuma dia. Sendirian tiada peneman. Sunyi dan bosan.
            Malas mahu melayan perasaan, Hanim bangun dan bergerak ke arah almari pakaian. Ingin memilih pakaian untuk dipakai esok hari. Lebih baik dia menyibukkan diri daripada terus membiarkan dirinya tenggalam dalam kebosanan. Belum sempat pintu almari dibuka, telefon yang diletakkan di atas dressing table itu tadi menjerit minta dijawab. Bergegas Hanim mendapatkan telefonnya itu.
            “Buat apa Nim?” Soal Maira setelah Hanim menjawab salamnya.
            “Nak gosok baju untuk esok. Kau bila nak masuk kerja semula ni? Seronok eh kau bercuti. Bosan aku tak ada kawan dekat ofis.”
            Kedengaran Maira ketawa. “Kasi can la aku bercuti dengan suami aku ni. Bukan selalu pun.”
            Hanim senyum. Dia dengan Maira memang jarang bercuti. Walaupun tak ada lah sibuk macam golongan atasan yang lain, tapi mereka memang jarang bercuti. Hanya cuti bila ada hal penting atau cuti hari raya. Entah kenapa dia sendiri pun tak tahu.
            “Ye lah, bercuti lah puas-puas. Nanti jangan lupa belikan aku souvenir tau.”
            “Alah, aku bercuti dekat Langkawi je Nim, souvenir apa sangat la yang kau nak.” Maira tergelak lagi. Haih, bahagia sungguh.
            “Chocolate, of course. Kalau dah dekat Langkawi tu kau faham-faham saja lah.”
            “Baiklah Cik Hanim, nanti aku belikan. Urm Hanim, aku ada sesuatu nak cakap dengan kau ni.”
            “Kau nak cakap apa sampaikan tak sempat nak tunggu masuk kerja.”
            “Something serious. Rasa macam dah tak boleh nak tunggu, kena cakap hari ni juga.”
            “Apa dia?”
            “Urm, yang sebenarnya macam ni. Semalam masa kami tengah jalan-jalan dekat pantai, kami terserempak dengan  kawan suami aku.”
            “So?”
            “Nim, aku suka sangat tengok dia Nim. Manly sangat. Cakap pun lembut je.”
            Kening mula bercantum di tengah. Rasa tidak sedap hati tiba-tiba. “Jangan cakap yang kau jatuh cinta dengan kawan suami kau pula Mai.”
            “Hish kau ni, ke situ pula. Bukan lah…”
            “Habis tu? Bukan main puji, risau pula aku dengar.”
            “Nim, aku dah bincang dengan suami aku.”
            Mata Hanim mula membulat. Maira ni kenapa? Macam pelik saja butir bicara Maira malam ni.
            “Aku nak kenalkan kau dengan kawan suami aku tu. Kau nak tak?”
            Hanim terdiam. Namun seketika kemudian dia mengeluh lemah. “Mai…”
            “Hanim please. Aku nak tolong kau ni.”
            “Nak tolong apa?”
            “Nak tolong kau lepaskan diri kau daripada memori silam. Nak tolong kau bina hidup baru.”
            “Tapi…”
            “Sampai bila kau nak macam ni Hanim? Sampai bila kau nak bersendirian dan terus tenggelam dalam kekecewaan?”
            Tangan kiri naik memicit pelipis. Lenguh berdiri, Hanim membawa kaki dan melabuhkan duduk di pinggir katil. “Aku sedang cuba ni kan. Bukan kau tak tahu.” Nada suara perlahan namun sedikit tegas.
            “Ye, aku tahu. Tapi aku rasa akan lebih mudah kalau kau berkenalan dengan orang baru. Kau faham maksud aku kan?”
            Berkenalan dengan orang baru? Mata dipejam buat seketika. “What if it didn’t work just like before?”
            “Hanim, dengar sini. Aku nak kenalkan kau dengan dia supaya kau dengan dia dapat berkawan Hanim, bukan kahwin terus. Kau kawan dulu dengan dia, tengok macam mana. Korang boleh in ke tidak. Kau selesa ke tidak dengan dia. Kalau kau rasa kau serasi dengan dia, boleh la proceed ke langkah yang seterusnya. Tapi kalau sebaliknya, just stay as a friend.”
            Hanim menggeleng kepala tidak percaya. Senang sungguh Maira ni bercakap. Tapi yang nak kena hadapnya nanti dia juga. “Kalau aku tak nak?”
            “Hanim, jangan la macam tu. Aku betul-betul nak tolong kau. Just give it a try, okay?”
            “Aku belum bersedia la nak kenal dengan orang baru macam ni.”
            “Habis tu bila baru kau nak bersedia? Semakin kau biarkan semakin susah untuk kau lupakan. Anggap saja lah ini salah satu ubat untuk sembuhkan penyakit kau.”
            Aduh… Semakin pening pula dia rasa. “Kau bagi aku masa untuk fikir tentang hal ni.”
            “Okey. Tapi bila aku masuk ofis nanti aku nak jawapan dari kau. Boleh?”
            Hanim mula mencongak. Kalau ikutkan hari rabu baru Maira masuk kerja dan ini bermakna yang dia cuma ada dua hari untuk fikirkan tentang rancangan Maira ni. “Aku bagi jawapan minggu depan lah.”
            “Nope, aku nak jawapan bila aku masuk kerja nanti.”
            Hanim menjulingkan mata ke atas. Bertuah lah kalau Maira nak dengar kata dia sekarang. “Ye lah, nanti aku bagi kau jawapan.”
            “Good girl. Jangan risau Hanim, aku gerenti yang lelaki ni sangat sesuai untuk kau. Suami aku pun cakap macam tu juga.”
            “Yeah, whatever…”
            Maira hanya ketawa mendengar jawapan Hanim. Dengan nada suara menyampah macam tu, tahu sangat yang Hanim tengah bengang dengan dia. Tapi dia tak kisah. Yang penting dia nak tengok Hanim bahagia semula dan dia yakin yang kawan suami dia tu mampu bahagiakan Hanim.
            Selesai bersembang dengan Maira, Hanim mencampakkan telefonnya ke tengah katil. Berkenalan dengan orang baru? BErkenalan dengan lelaki lain? Bersediakah dia untuk semua itu? Untuk melalui pengalaman yang sama dengan orang baru. Bersediakah dia?


No comments:

Post a Comment