10 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 3

SELESAI membersihkan diri dan bersolat, Hanim berbaring di atas katil dengan mata yang terkelip-kelip memandang siling di atas. Mengingat kembali apa yang terjadi hari ini, hati kecilnya kembali dicengkam rasa sakit. Sakit dan kecewa…
            Baru enam bulan mereka berpisah, Meor Afif sudah menemui pengganti yang mungkin sudah diangkat statusnya mejadi isteri. Semudah itu… Semudah itu Meor? Sampai hati awak buat saya macam ni kan. Selama dalam edah saya menunggu awak datang untuk membawa saya kembali semula ke rumah kita. Tapi awak langsung tak datang. Saya cari awak tapi awak lari dari saya. Kenapa awak buat saya macam ni Meor? Sampai hati awak kan. Dada mula sebak lalu tanpa sedar juring mata mula basah.
            Sedang Hanim tenggelam di dalam rasa sedih dan sepi yang tidak berkesudahan, pintu biliknya diketuk dari luar. Dengan malas Hanim bangun untuk membuka pintu biliknya itu. Sempat dicuit hujung mata bagi menghilangkan kesan tangisan tanpa sedarnya itu tadi.
            “Pergi mana tadi?”
            Hasif yang berdiri dengan bercekak pinggang terus menyoal sebaik saja melihat wajah Hanim di balik pintu. Raut wajah abangnya tak payah cakap la, macam singa menunggu masa mahu menerkam si mangsa.
            “Pergi mana lagi abang, pergi kerja laa,”
            “Kau jangan nak bohong aku Hanim, lebih baik kau berterus terang,” marah Hasif mula meletus bila Hanim cuba berdolak dalik degannya.
            “Bohong apa nya? Hari ni kan hari selasa mesti lah Hanim pergi kerja,”
            “Kau ingat abang bodoh?!”
            “Habis tu tanya soalan yang abang dah ada jawapannya, siapa yang bodohkan siapa?”
            Renungan tajam abangnya turut dibalas. Penat kerja belum hilang ditambah pula dengan penat melayan kerenah abangnya. Sugguh dia lelah.
            “Kau!” Jari telunjuk naik menegak di hadapan wajah Hanim. Bercakap dengan Hanim memang sangat menguji kesabaran dia sebagai seorang abang. Ah dia sendiri pun bukan seorang yang penyabar sebenarnya. Panas baran dia tu makin menjadi-jadi pula sekarang.
            “Apa?”
            “Kau jangan nak memalukan abang ye Hanim.”
            “Memalukan apa maksud abang?”
            “Pura-pura tak tahu pula. Sudah-sudah lah kau kejar si Meor tu, dia dah hidup bahagia dah sekarang.”
            Dahi Hanim berkerut seribu.
            “Kau jangan ingat aku tak tahu ye Hanim. Kau masih terkejarkan si Meor tu kan. Kau masih tergilakan bekas suami kau tu kan. Kau tak malu ke ha? Kalau kau tak tahu malu sekalipun tolong la ingat yang aku ni malu. Aku malu kau tahu tak,” berapi-api Hasif memarahi Hanim.
            “Abang mengarut apa ni? Bila masa pula Hanim tekejarkan si Meor tu?”
            “Abang tak mengarut Hanim. Meor sendiri yang call aku pagi tadi cakap yang kau ekori dia sampai ke tempat dia bersarapan tadi.”
            “Apa?” Otak Hanim mula memproses segala kata-kata Hasif. “Jadi, ini semua tentang apa yang jadi pagi tadi?”
            “Ye lah! Kau jangan buat-buat lupa pula. Tolong la jaga maruah kau tu Hanim. Tak malu ke terkejar-kejarkan orang yang dah tak nak dekat kau.”
            Bagai ditusuk sembilu rasanya hati Hanim saat mendengar kata-kata hinaan abangnya itu. Jaga maruah? Tak malu? Sebegitu teruk kah dia di mata abangnya? “Sekejap! Abang dah salah faham ni. Meor pun dah salah faham. Hanim  tak ikut dia la. Kebetulan Hanim sarapan dekat situ dan terserempak dengan dia, itu saja.”
            “Jangan cuba nak nafikan pula. Meor dah ceritakan semuanya dekat abang.”
            “Jadi, abang lebih percayakan orang luar daripada adik abang sendiri?”
            “Kalau apa yang Meor katakan tu tak betul, kenapa kau lari bila dia nampak kau tadi?”
            Soalan Hasif membuatkan Hanim tersentak. Ye, kenapa dia lari? Seharusnya dia duduk saja di situ supaya segala salah faham ini tidak terjadi. Ah, mana lah dia tahu yang semuanya akan jadi rumit seperti ini. Tak sangka pula yang Meor sanggup mengadu dekat abangnya.
            “Ha, kenapa diam? Sebab betul kan apa yang Meor cakapkan tu,”
            Hanim menggeleng. “Tak, semuanya tak betul.”
            “Tak payah nak menipu…”
            “Hanim cakap yang betul!” potong Hanim. Hasif tak habis-habis nak menuduh, langsung tak nak terima penjelasan dia.
            “Apa yang betulnya kalau dah Meor sendiri yang cakap dekat abang yang Hanim selalu ikut dia.”
            “Selalu?”
            “Dah tak payah  nak buat keliru macam tu. Mulai hari ini abang nak Hanim jauhkan diri daripada Meor dan mulai hari ini juga abang akan cari calon suami untuk Hanim. So that you will stop following him,” usai berkata Hasif terus berpaling meninggalkan Hanim.
            “Wait, what?!”
            Pantas dia bergerak menahan Hasif daripada terus berlalu. Belum sempat abangnya masuk ke dalam bilik, pintu bilik itu terlebih dahulu ditutup oleh Hanim.
            “I’m not ready to get marry again.”
            “Bersedia atau tidak, Hanim tetap kena kahwin.”
            “Abang siapa nak tentukan nikah kahwin Hanim,” bentak Hanim dengan nada tidak puas hati. Ye, dia sangat tidak berpuas hati dengan abangnya sekarang.
            “I’m your brother! Your wali! Puas hati?!”
            Berdentum ruang itu dengan suara tengkingan Hasif.
            Hanim tersenyum sinis. “Abang wali Hanim?”
            Rahang Hasif bergerak menahan marah. Tahu yang Hanim akan meluahkan kata-kata yang akan membuatkan dia hilang kuasa, namun tetap juga dia ingin mendengar oatah kata yang keluar dari bibir adiknya itu.
            “Ayah masih hidup abang, dah lupa ke?” Soal Hanim sinis.
            “Tak.” Muka Hasif bertambah merah dan pandangan matanya semakin tajam membalas renungan mata Hanim. “Tapi ada dia kisah tentang Hanim? Ada dia ambil berat tentang Hanim. Yang Hanim bercerai ni pun ada dia ambil peduli?”
            Terentak Hanim seketika. Memang ayahnya langsung tidak mempedulikan mereka setelah beristeri baru. Apa yang terjadi di dalam hidup mereka pun ayahnya langsung tidak ambil tahu. Malah mahu dirampas lagi apa yang menjadi milik mereka adik beradik. Satu kenyataan yang perit untuk Hanim terima namun realitinya tetap begitu.
            “Hanim di bawah tanggungjawab abang sekarang dan abang berhak untuk menentukan hidup Hanim. As I said, abang nak Hanim kahwin secepat mungkin. No objection!” Hasif tetap bertegas dengan keputusannya.
            “Abang tak adil.”
            “Tak ada yang adil dalam dunia ni Hanim.”
            Hasif terus berlalu meninggalkan Hanim sendirian. Kelopak mata memberat kembali. Oh tuhan, kenapa harus begini takdir hidup dia. Lalu apa lagi yang harus dia hadap selepas ini…


ALAT kawalan jauh ditekan mencari siaran yang menarik untuk ditonton. Selesai tugasnya di bilik kerja, Izzat keluar ke ruang tamu melepaskan lelahnya di situ. Dah hampir ke tengah malam, rancangan apa saja yang best. Semua tak berjaya menarik minat dia untuk terus melekat menonton rancangan yang disiarkan.
            “Tak tidur lagi Izzat?”
            Izzat mendongak mencari wajah kakaknya yang tiba dari belakang.
            “Kakak kenapa tak tidur lagi?”
            “Tak boleh tidur. Entah macam panas pula malam ni,” duduk dilabuhkan di sebelah adiknya.
            Izzat memandang Irma dengan hujung mata sebelum kembali menekan alat kawalan jauh di tangannya. Panas? Bukan ada aircond ke dekat dalam bilik tu. Panas apa nya? Ke panas dalam?
            “Ish, jangan la tukar-tukar channel macam tu. Pening la kakak tengok,” alat kawalan jauh dirampas dan Irma terus menekan siaran yang paling digemarinya Star World.
            Malas bergaduh, Izzat membiarkan saja perlakuan kakaknya itu. Lama mereka diam sebelum Izzat bersuara. “Tak nak balik rumah sendiri ke?”
            Irma menoleh. “Menghalau ke?” Tipu lah kalau dia tak terusik dengan kata-kata adiknya itu.
            Izzat diam. Menghalau ke dia? Entah lah. Dia cuma bertanya. Lagi pun sudah hampir sebulan kakaknya di sini, tak kan lah tak teringin langsung balik ke rumah sendiri. “Tanya je.” Tangan dibawa membelit badan sendiri.
            Irma mendengus. “Izzat kalau tak suka kakak tinggal dekat sini, cakap. Tak payah nak tanya soalan macam tu.”
            “Izzat cuma tanya.”
            “Tanya tapi macam nak menghalau.”
            Izzat kembali diam. Kalau dia teruskan jadi bergaduh pula. Malas lah. Malas nak layan perkara remeh macam tu.
            “Benci sungguh Izzat dengan kakak ye,” Irma bersuara perlahan dengan mata yang memandang lurus ke skrin televisyen. Tiada balasan daripada Izzat, Irma kembali menoleh ke sisi.
            “Kenapa diam? Betul kan Izzat bencikan kakak.”
            “I don’t want to talk about this.”
            “Kenapa? Once and for all, kita kena selesaikan semuanya Izzat. Sampai bila nak macam ni.”
            “It’s not the time yet kakak.”
            “Habis tu bila? Bila masa yang sesuai untuk leraikan semua ini? Bila kita dah tua? Bila kakak dah nak mati? Macam tu?”
            Izzat menjengilkan mata ke arah Irma. “Jangan disebut soal mati,” keras kedengaran suara Izzat ketika itu.
            “Kenapa tak boleh pula? Memang kita semua akan mati macam mak dengan ayah…”
            “Kakak! I said enough is enough. I don’t want to talk about this shit anymore!”
            Terangkat bahu Irma kerana terkejut mendengar jerkahan Izzat. Sarang lebah jangan dijolok Irma. Mata mula memberat. Nampaknya pergaduhan di antara dia dengan Izzat sampai bila-bila pun tak akan habis. Dengan hati yang membengkak, Irma mengangkat kaki dan berlalu meninggalkan Izzat sendirian.
            Kedua tangan naik mengusap wajah yang sedikit tegang. Kepala mula berdenyut, mungkin tekanan darahnya sedikit tinggi bila menjerkah kakaknya tadi. Izzat… Sampai bila nak macam ni? Sampai bila nak disimpan marah tu?
            Tangan naik mengusap wajah. Hilang bayang kakaknya, muncul pula bayang wanita yang ditemuinya siang tadi. Nafas dihela dengan berat. Kenapa seraut wajah itu pula yang muncul? Kenapa raut wajah itu pula yang melekat di mindanya sekarang. Mata dipejam celik bagi mengusir bayangan wanita itu. Namun usahanya sia-sia. Wajah yang kelat tanpa senyuman itu tetap juga menghiasi mindanya.
            Hanim… Wajah yang kelat tanpa senyuman. Percakapannya yang tenang namun serius. Bercakap bila perlu dan lebih suka diam daripada berbicara tentang perkara lain selain daripada perihal kerjanya. Matanya tajam namun jelas kelihatan mendung disebaliknya pandangan matanya itu. Seperti dia sedang menlindungi rasa hati yang sedang terluka. Sungguh, langsung tiada bayangan keceriaan di dalam mata tajamnya itu.
            Hati Izzat mula berbolak balik, mahu mengetahui segalanya tentang wanita yang bernama Hanim. Kenapa dia begitu? Apa yang menjadikan dia begitu? Kenapa dia harus begitu?


No comments:

Post a Comment