8 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 2

BAB 2
DARI jauh dia melihat pasangan itu bergelak ketawa sambil bertepuk tampar. Bahagia sungguh. Senyuman tidak lekang dari wajah sang jejaka yang kelihatan kacak dalam pakaian pejabat. Wajahnya manis bergula dengan sengihan yang melebar, membuatkan jantung Hanim sedikit pincang temponya.
            Tangan kanan naik melekap pada dada kiri. Rasa itu hadir lagi. Sungguh cepat si dia berubah sedangkan dia… Ye, dia masih hanyut dalam rasa yang pernah diajarkan kepadanya dulu. Rasa kasih, sayang dan cinta…
            Senyuman yang tidak lekang dari bibir cukup menjadi isyarat bahawa sang jejaka itu sedang bahagia dengan kehidupannya sekarang. Bahagia dengan wanita baru di dalam hidupnya. Bahagia meneruskan hidup tanpa dia.
            Pedih dan sakit, namun tiada apa lagi yang mampu dia lakukan selain daripada memandang sang jejaka dari kejauhan. How I wish he’s still mine… Hati berbisik kesal. Namun kesalan itu tiada gunanya lagi kerna waktu tidak mampu diundur kembali. Untuk apa menyesali perkara yang telah terjadi Hanim? Untuk apa? Untuk mengenang kebodohan sendiri?
            Tanpa sedar matanya bersabung dengan pandangan magta wanita yang menjadi pujaan hati sang jejaka kini. Mata itu tajam merenung ke wajahnya. Langsung hilang tawa digantikan pula dengan wajah yang mencuka. Hanim mula cuak. Sesaat… Dua saat… Pasti sang jejaka itu menoleh ke arahnya.
            Sangkaannya benar. Tanpa perlu menunggu lama, padangan mata Hanim bersabung dengan pandangan mata sang jejaka pula. Sama seperti wanita itu tadi, senyuman yang meka kuncup kembali. Wajah ceria berubah serius, membuatkan hati Hanim gundah gulana. Lalu tanpa berfikir panjang punggung diangkat, ingin berlalu meninggalkan ruang yang sangat menyesakkan itu.
            Hanim ingin berlalu pergi dan sang jejaka turut bangun mengejar. Dengan tergopoh gapah, semua yang menghalang laluannya dirempuh. Saat dia melanggar bahu lelaki yang berdiri berhampiran dengan mejanya, hanya pandangan hujung mata yang dia berikan. Langsung tiada kata maaf yang keluar dari bibir merah itu.
            Hanim berjaya melarikan diri manakala sang jejaka pula sudah berhenti mengejar. Hanya memandang langkah Hanim yang laju tanpa rasa ingin mengejar lagi. Wanita yang bersama sang jejaka juga sudah mula berdiri di sebelah jejaka kesayangannya itu, turut memandang belakang Hanim yang mula menghilang. Tanpa mereka sedar, ada sepasang mata turut memandang figura Hanim dengan raut wajah yang penuh dengan persoalan.


“KAU ke mana Nim? Sekarang baru masuk ofis.”
            “Breakfast.” Cuma sepatah jawapan yang diberikan kepada rakan sekerjanya, Maira.
            “Kau tahu kan yang sekejap lagi kau kena jumpa client.”
            “Tahu.”
            “Dahtu sekarang baru nak masuk? Lepas ni nak keluar lagi. Kalau bos bising macam mana?”
            “Bos tak bising.”
            “Ye lah tak bising depan kau sebab sekejap lagi kau dah tak ada dekat sini. Yang nak kena hadapnya nanti aku ni juga.”
            Hanim mengeluh kasar. “Bos tak bising tapi kau pula yang bising.” Hanim membalas dengan nada malas. Sungguh dia malas nak melayan bebelan Maira. Bingit telinga dia ni. Selalu sangat Maira membebel sekarang ni buat dia bosan saja.
            “Itu lah kau, bila aku membebel marah. Aku membebel ni pun untuk kebaikan kau juga. Prestasi kerja kau teruk sangat sekarang ni Hanim, sales makin teruk. Jangan sampai bos panggil kau masuk bilik dia pula.”
            Rasa geram yang bergumpal di dalam dada cuba disimpan kemas. Tak nak mengeruhkan lagi keadaan. Bukan dia tidak tahu yang Hanim sedang mengalami masalah sekarang. Masalah hati dan persaan. Tapi sebagai sahabat dan rakan sekerja dia rasa bertanggungjawab juga untuk menegur Hanim yang sepertinya terlalu larut di dalam permasalahan yang dialami sehingga mengabaikan kerjanya.
            “Kalau bos panggil tahu la aku macam mana nak menjawabnya nanti.”
            Maira mengeluh perlahan mendengar jawapan Hanim. “Kau kenapa Nim? Kau ke mana sebenarnya tadi? Kalau breakfast pun tak kan lah sampai berjam lamanya.”
            Tangan Hanim yang bergerak menyusun kertas di atas meja terus terhenti. Dada mula menyesak kembali. Mata juga mula memberat semula. Seketika dia menoleh ke arah Maira yang sedia memerhati.
            Melihat mata Hanim yang mula memberat dengan air mata, hati Maira mula rasa tidak enak. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi terhadap sahabatnya itu. Tanpa lengah dia bergerak mendekati Hanim dan tangan Hanim digenggam kemas. “Kau kenapa?”
            Terasa kesat air liur yang ditelan. Mata dipejam dan pipi mula basah dengan air mata yang jatuh menitis. “Aku nampak dia masa tengah breakfast tadi Maira.” Ucap Hanim dengan nada tertahan. Rasa sebak cuba diusir dari dada.
            Maira menarik nafas dalam. Dia lagi…
            “Ada perempuan depan dia. Isteri dia agaknya…” Suara Hanim semakin perlahan. Pandangan matanya juga dialihkan daripada Maira.
            “Kalau betul itu isteri dia, seharusnya kau lupakan dia Hanim. Tak ada gunanya lagi kau simpan perasaan kau untuk dia, tak ada gunanya lagi kau tunggu dia,” walau keras kedengaran kata-kata Maira, hanya itu saja caranya untuk menyedarkan Hanim yang lena dalam jaga sebegini. Itu saja caranya…
            “Kau cakap senang…”
            “Ye aku cakap senang sebab bukan aku yang rasa. Tapi Hanim, aku tengok kau pun tak mencuba. Tak cuba untuk lupakan dia.”
            Terdiam Hanim mendengar bebelan Maira. Menyesal pula diceritakan semuanya kepada Maira. Tapi hanya Maira saja lah yang sudi mendengar keluh kesahnya sebelum. Hanya Maira saja yang sanggup mendengar cerita dia yang tidak berkesudahan ini.
            “Sudah-sudah lah Hanim, cukup lah kau seksa diri kau macam ni. Move on! Sampai bila kau nak menjerut rasa macam ni. Kau tak kesian dekat diri kau sendiri ke?”
            Dalam diam tangan Hanim naik menyapu air mata yang sempat menjengah pipi. “Dah lah Maira, aku nak keluar. Dah tiba masa untuk aku berjumpa dengan client aku,” pantas tangannya bergerak mengemas segala barang dan dokumen serta boucher yang perlu dibawa.
            Maira hanya mampu menggelengkan kepala. “Lari lah Hanim, lari selagi kau mampu,” ucap Maira seraya berlalu meninggalkan meja kerja Hanim.
            Pergerakan Hanim terhenti dan Maira dipandang dengan hujung mata. Keluhan lemah dilepaskan. Lari... Sampai bila Hanim?


JAM dikerling lagi. Sudah hampir sejam dia tercongok dekat kafe ni, namun bayang car dealer yang ditunggu tetap tak nampak bayang. Izzat mendengus geram. Kalau tahu car dealer yang ditunggu bermasalah macam ni lebih baik dia tercongok dekat ofis saja, sudahkan kerja yang masih belum selesai.
            Tapi kalau tak jumpa sekarang bila lagi. Dia sangat-sangat perlukan kereta baru sekarang. Kereta yang ada asyik buat hal saja. Tak sanggup dah dia mengadap masalah yang sama. Mata Izzat kembali menjeling ke arah jam di pergelangan tangan. Tunggu lah sepuluh minit lagi.
            Kaki Hanim melangkah laju dengan mata yang melilau mencari client yang sedang menunggu. Kelihatan seorang lelaki duduk bersendirian di hujung kafe dengan kemeja yang kemas melekat di badan. Kemeja biru laut, ye itu lah client yang sedang menunggunya.
            “Maaf lambat,” ucap Hanim sebelum menunduk buat seketika.
            ‘Perempuan, patut lah,’ bisik hati kecil Izzat.
            Seketika kemudian Hanim mengangkat wajah dan terus duduk berhadapan dengan clientnya itu. Segala dokumen dan brochure diletakkan di atas meja di hadapan Izzat. Riak wajah serius dipamer walaupun dia yang bersalah pada ketika itu.
            Anak mata Izzat tunak memandang wajah yang duduk berhadapan dengannya. Kerutan mula kelihatan pada dahi dan kening. Macam pernah nampak, tapi di mana ya...
            “Ini brochure model kereta yang encik nak tengok tu,” dengan riak wajah yang kosong Hanim bersuara. Kemudian brochure tersebut ditolak ke hadapan Izzat.
            “You are late.”
            “Sorry?”
            “You are late,” sekali lagi Izzat bersuara dengan nada yang sedikit tegas.
            Air liur ditelan dan kemudian mata Hanim mula fokus pada wajah lelaki di hadapannya. “I’m sorry,” jawab Hanim sepatah.
            “Saya tak suka berurusan dengan orang yang suka datang lambat macam ni. It seems like you are not serious doing your job.
            Dengan pandangan mata yang kosong Hanim mengangguk faham. “Okey, kalau macam tu I pergi dulu,” semua dokumen dan brochuer yang dibawanya tadi disumbat ke dalam beg dan Hanim bergegas bangun.
            “Sit!”
            Pergerakan Hanim terhenti. Mata saling memanah. Seorang dengan pandangan mata yang tajam manakala yang seorang lagi dengan pandangan mata yang kosong tanpa perasaan. Bibir keduanya terkunci dan masa bagaikan turut terhenti. Locked eyes!
            “Duduk!”
            Selepas beberapa ketika Izzat kembali bersuara. Lama dia merenung wajah Hanim dan akhirnya persoalan dia terjawab juga. Hanim dengan perempuan yang melanggar dia pagi tadi adalah orang yang sama. Hanim dengan perempuan yang dia jumpa di tanah perkuburan minggu lepas juga adalah orang yang sama.
Tanpa kata Hanim duduk semula. Kalau ikutkan hati malas dia nak mengadap lelaki ini lagi. Bukan dia tidak faham dengan sindiran lelaki ini tadi. Tak suka berurusan dengan orang yang datang lambat macam dia. Tapi bila mengenangkan tentang periuk nasinya, cuba disabarkan hati yang sudah mula memberontak.
“Lain kali jangan lambat lagi.”
Tanpa sepatah kata Hanim menyerahkan semula semua yang telah disumbat ke dalam begnya itu tadi.
“What’s your name miss? Saya ingatkan bos awak akan hantar car dealer lelaki.”
“Hanim.”
Izzat menghela nafas perlahan. Hanim, cantik nama tu. Secantik tuannya juga. Tetapi sangat berat mulut. Sepatah-sepatah dia bersuara. “Okay, lets continue then.” Izzat merapat ke arah meja dan mula memberi fokus kepada tujuan asalnya untuk berjumpa dengan Hanim. Tanpa banyak bicara juga Hanim mula menjelankan tugasnya sebagai car dealer, menerangkan tentang model kereta yang menjadi pilihan Izzat.

No comments:

Post a Comment