26 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 16

SELESAI majlis siang tadi, semua ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan mula beransur pulang. Selesai solat isyak berjemaah dengan Hanim di dalam bilik tadi Izzat turun semula ke bawah. Manakala Hanim masih berkurung di dalam biliknya. Izzat ke dapur untuk mencari makanan. Rasa lapar pula malam-malam macam ni. Sempat dia mengajak Hanim untuk turun makan bersama dengannya tetapi isterinya itu menolak. Sedang dia sibuk memanaskan lauk dia atas dapur, Hasif datang menjengah.
            “Buat apa?”
            “Panaskan lauk. Lapar pula rasanya,” jawab Izzat yang berdiri berhampiran dengan dapur.
            “Hanim mana?”
            “Dalam bilik.”
            “Buat apa?”
            Izzat hanya tersenyum sebagai jawapan. Hasif menggeleng dan pintu peti sejuk dibuka. “Sejak dulu tak pernah berubah. Ingatkan bila dah dapat suami baru ni insaf la sikit, tapi tak juga,” air kosong dituang ke dalam gelas dan Hasif meneguk dengan rakus.
            Berkerut dahi Izzat mendengar kata-kata Hasif. “Apa maksud abang?”
            “Bila kau dah duduk lama dengan dia nanti kau tahu lah,” usai berkata Hasif terus berlalu meninggalkan Izzat yang masih berteka-teki.
            Sementara menunggu lauk di atas dapur panas, Izzat duduk menongkat kepala di meja kecil berdekatan dengan peti sejuk. Keadaan yang sunyi membuatkan dia terfikir tentang keluarga barunya itu. Dia tahu yang adik beradik Hanim mempunyai masalah dengan ayah mentuanya. Tetapi tidak pula dia tahu tentang kedinginan hubungan di antara Hanim dengan abang dan adiknya. Hampir seharian dia di sini dapat dia lihat betapa tidak mesranya hubungan Hanim dengan Hasif dan Hazrul. Tetapi yang paling ketara adalah kedinginan hubungan Hanim dan Hasif sehinggakan dia turut merasa tempiasnya.
            “Buat apa bang?” Hazrul yang baru menjengah ke dapur menegur Izzat yang kelihatan seperti sedang berkhayal.
            Terkejut dengan teguran Hazrul, terus Izzat bangun memadam api dapur. “Abang panaskan lauk. Hazrul nak makan?” Pertama kali berjumpa dengan Hazrul Izzat sudah mula senang dengan keperibadian adik iparnya itu yang lebih mesra berbanding Hasif.
            “Rul kenyang lagi bang, makan lewat petang dah tadi. Abang buat semua sendiri ke? Kakak mana?” Hazrul duduk di meja setelah mengambil air kosong di dalam peti sejuk. Pergerakan abang iparnya dipandang satu persatu. Langsung tidak kekok dengan kerja di dapur.
            “Kakak dekat atas.”
            “Buat apa?”
            Pergerakan Izzat terhenti seketika. “Mengemas agaknya,” jawab Izzat seraya menoleh ke arah Hazrul yang sedang menggelengkan kepala. Macam sesuatu sangat adik beradik Hanim ni. Tadi Hasif sekarang Hazrul pula.
            “Kakak tahu tak abang turun makan ni?”
            “Tahu. Abang dah ajak kakak tadi tapi dia tak nak,” pinggan yang berisi nasi dan gulai daging diletakkan di atas meja berhadapan dengan Hazrul.
            Kedengaran Hazrul mengeluh. “Kakak ni, tak pernah nak berubah,” bisik Hazrul namun sempat ditangkap oleh pendengaran Izzat.
            “Apa maksud Rul?”
            Hazrul tersentak. Disangkakan Izzat tidak mendengar tetapi sebaliknya pula. Perlu ke dia menceritakan semuanya kepada Izzat? Tidak kah seperti dia menyibuk tentang hal rumah tangga kakaknya pula. Kalau dia ceritakan semuanya ibarat membuka aib kakak sendiri juga. Hazrul mula serba salah.
            “Rul..”
            Pantas Hazrul menggeleng. “Abang makan lah, dah sejuk nanti tak sedap pula.”
            Tahu yang Hazrul cuba mengelak, Izzat terus memulakan suapan. Hazrul pula hanya mencicip minuman tanpa memandang ke arah Izzat. Bimbang kalau abang iparnya itu masih menuntut penjelasan daripada dia. Hampir lima minit mereka diam menikmati makanan dan minuman masing-masing, Hazrul mula bosan. Hajat di hati ingin saja dia naik ke biliknya tetapi kesian pula membiarkan Izzat makan sendirian.
            “Abang, Rul tanya sikit boleh?” Soal Hazrul memecah kesunyian di antara mereka.
            “Tanya lah Rul, banyak pun boleh,” jawab Izzat dengan mesra. Dengan Hazrul mudah saja dia rasa selesa.
            “Urm… Macam mana abang dengan kakak boleh kenal? Setahu Rul kakak ni susah sikit nak kawan dengan lelaki lebih-lebih lagi lepas,” Hazrul angkat bahu. “abang faham kan maksud Rul?” Hazrul berkias tentang status kakaknya.
            Izzat angguk faham. “Kakak yang uruskan jual beli kereta abang,” mulut Hazrul membulat berbentuk O. “Bermula dari situ kami mula berkawan,” tambah Izzat walaupun sedikit tidak tepat. Dia dengan Hanim mana pernah berkawan malah Hanim sendiri telah menghadkan hubungan mereka cuma sekadar car dealer dengan client sahaja.
            “Kereta dekat luar tu ke? Kalau tengok pada nombor kereta baru lagi tu bang. Maknanya abang dengan kakak baru lagi lah kenal, kan?”
            Tidak dapat menafikan kata-kata Hazrul, Izzat angguk mengiakan.
            “Baru kenal terus nikah?” Pandangan mata Hazrul berubah curiga. “Abang memang tahu kan status kakak sebelum kahwin dengan abang?” Izzat nampak seperti orang baik-baik pada matanya. Tapi zaman sekarang nampak saja baik tetapi ada pelbagai agenda di sebaliknya.
            Izzat angguk lagi.
            Hazrul menyilangkan tangan ke badan. “Rul bukan nak curiga dengan abang, tapi rasa macam sesuatu pula bila tahu yang abang dengan kakak baru kenal terus nikah.”
            Pinggan yang telah kosong ditolak ke tepi. “Sekarang baru nak rasa sesuatu, tak rasa dah terlambat ke Rul? Abang dengan kakak dah selamat nikah dah pun siang tadi.”
            Hazrul terdiam. Ada betulnya apa yang Izzat katakana itu. Nak fikir macam-macam pun kakak dia dah selamat nikah dengan Izzat dah pun. Jadi untuk apa dia berasa curiga sekarang. Sekadar untuk mengusutkan fikiran?
            Izzat meneguk perlahan air kosong di dalam gelas sebelum kembali bersuara. “Abang faham yang Rul sayangkan kakak. But don’t worry, abang ikhlas nikah dengan kakak bukan ada niat yang bukan-bukan.” Izzat bangun dan bergerak ke singki. Tak payah cakap Hazrul, kalau dia pun curiga juga kalau kakak dia tiba-tiba nak nikah dengan orang yang baru dikenali.
             “Abang…”
            Selesai mencuci pinggan, Izzat berpaling ke arah Hazrul dengan menyandarkan badannya ke kabinet dapur.
            “Rul berharap sangat abang dapat jaga dan sayangkan kakak lebih daripada Rul jaga dan sayangkan kakak. She really needs someone to take care of her, love her more than anything. Kakak tu tak macam orang lain. Hidup dia sejak kebelakangan ini tak banyak yang indah. Rul harap sangat abang dapat berikan memori indah kepada kakak supaya jiwa dia hidup kembali dan dia tak perlu lagi hidup dalam kesedihan dan kesunyian.”
            Terdiam Izzat mendengar kata-kata Hazrul. Jadi apa yang mata kasarnya nampak sememangnya benar belaka. Sinar pada mata Hanim juga tidak menipu. Isterinya itu hidup dalam kesedihan atau mungkin juga dalam kesengsaraan. Bukan sengsara fizikal tetapi sengsara jiwa dan emosi.
            “Rul bukan saja tak mampu malah Rul sudah terlambat untuk membawa kakak keluar dari kesedihan dan kesunyian itu bang. Yang lebih menyedihkan semua itu berpunca daripada diri Rul sendiri. Sekarang kakak dah jadi milik abang yang mutlak, jadi Rul harap sangat abang dapat jalankan tanggungjawab abang ke atas kakak dengan sebaik mungkin. Jangan sia-siakan kakak. Kalau kakak kecewa lagi dengan perkahwinan kedua ini, Rul tak akan teragak-agak untuk bawa kakak lari dan hidup di tempat asing. Biar kami bina hidup kami sendiri.”
            “Betul?”
            “Yes! This time I’ll do anything for her,” jawab Hazrul dengan penuh yakin.
            “If you don’t mind, boleh abang tahu kenapa hubungan Rul adik beradik agak dingin? Apa yang telah terjadi di antara kakak dengan Rul dan Abang Hasif yang sebenarnya.”
            Hazrul melarikan wajah ke arah lain. Berat rasa hatinya untuk menjelaskan kenapa. “It’s hard to explain abang.”
            “Kenapa?”
            “Semua yang terjadi kerana keadaan yang memaksa. I have my own reason why and I believe that Abang Hasif have his own reason too. Semua itu biarlah kami simpan sendiri. Apa yang pasti Rul akan cuba pulihkan semuanya seperti sediakala. Tapi dalam masa yang sama Rul berharap sangat abang dapat kembalikan keceriaan dalam hidup kakak,” dengan penuh pengharapan Hazrul meminta pertolongan daripada Izzat.
            Sejenak Izzat terdiam, cuba menghadam kata-kata Hazrul. Hanim dan adik-beradiknya memang penuh dengan misteri dan suka berteka-teki membuatkan dia bertambah keliru dengan keluarga barunya itu.
            “Rul jangan risau, abang akan jaga kakak sebaik mungkin. I’ll do anything to make her life happier than before.
            “Terima kasih Abang Izzat. Terima kasih sudi terima kakak dalam hidup abang,” serasa ingin dipeluk tubuh tegap abang iparnya itu tapi bimbang kalau dia keterlaluan pula. Akhirnya Hazrul melemparkan senyuman lega. Semoga hidup kakak dengan Abang Izzat lebih ceria dan berbahagia hingga syurga. Sempat dititipkan doa di dalam hati kecilnya.

SELESAI mengemas pakaiannya ke dalam bagasi Hanim terus berbaring di atas katil. Mata sudah mula mengantuk tapi langsung tak mahu lelap. Nak turun ke bawah rasa malas pula. Izzat dari tadi turun tak naik-naik. Lama betul makan. Ke siap bersembang dengan abang dengan adiknya pula dekat bawah tu.
            Fikiran Hanim mula melayang memikirkan tentang majlis nikahnya siang tadi. Impian dia untuk mengadakan majlis akad nikah yang paling ringkas punah ranah dibuat oleh Izzat. Jemputan walaupun terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan kawan-kawan rapat, boleh tahan ramai juga. Siap kena pasang khemah lagi dekat luar rumahnya. Semua itu Izzat yang aturkan dan dia hanya menerima kehadiran mereka dengan rasa terkejut. Siapa yang tak terkejut kalau tiba-tiba datang orang ketuk pintu nak pasang pelamin lah nak pasang khemah lah sedangkan dia tidak buat tempahan untuk semua itu.
            Hazrul yang melihat wajah terkejutnya hanya mampu ketawa. Tetapi berbeza pula dengan Hasif. Abangnya itu terus menjarakkan diri darinya. Entah kenapa dia sendiri tidak pasti. Sudah lah hubungan dia dengan abangnya itu tidak rapat, bila tiba majlis pernikahan dia abangnya itu malah menjauhkan diri pula. Tipu lah kalau dia cakap yang dia tidak terasa dengan perbuatan Hasif. Entah macam mana lah Izzat bergaul dengan Hasif. Atau adakah Izzat juga mendapat layanan yang sama daripada abangnya itu? Kalau benar seperti apa yang dia fikirkan, kesian Izzat. Sudah lah nikah tanpa cinta, dapat layanan macam tu pula. Sudah pasti bukan itu yang setiap pengantin mahukan di hari pernikahan, tetapi terpaksa dilalui oleh Izzat.
            Sedang Hanim tenggelam di dalam ingatannya tentang majlis pernikahan siang tadi, pintu biliknya ditolak dari luar. Kelihatan Izzat yang berbaju t-shirt dan berkain pelekat melangkah masuk dengan gaya yang bersahaja. Sudah kenyang agaknya. Baru saja masuk ke dalam bilik Hanim, Izzat menghilang ke dalam bilik mandi pula. Bantal di sebelah diperbetulkan kedudukannya supaya sedikit berjarak daripada bantal yang menjadi alas kepalanya.
            Izzat kembali semula setelah selesai menggosok gigi dan mencuci muka. Tanpa teragak-agak terus dia bergerak ke arah katil dan berbaring di sebelah Hanim setelah menutup suis lampu. Kini hanya tinggal lampu di kiri dan kanan katil sahaja yang bernyala.
            “Tak tidur lagi?” Izzat memalingkan wajah ke arah Hanim yang terlentang memandang siling bilik.
            Hanim menoleh ke arah Izzat buat seketika sebelum kembali memandang siling. Setelah sekian lama, hari ini biliknya kembali dihuni oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Terasa asing juga pada awalnya tetapi bila Izzat begerak ke sana ke mari di dalam bilik tidurnya tanpa rasa kekok, terus hilang rasa asing itu.
            “Tak boleh tidur.”
            “Kenapa?”
            “Entah. Sebab penat sangat kut sampaikan tak boleh nak lena.”
            “Ke tak selesa.”
            “Tak selesa kenapa?”
            “Sebab saya tidur dekat sebelah.”
            Hanim terdiam seketika. Tak selesa ke dia? “Kalau saya tak selesa kenapa? Awak nak tidur dekat bawah?” Hanim kembali menoleh ke arah Izzat.
            Lama Izzat memandang wajah Hanim yang sedang memandang ke arahnya. Selain daripada sewaktu menyarungkan cincin siang tadi, ini adalah kali kedua dia memandang wajah Hanim dengan jarak yang dekat macam ni. Lepas solat tadi pun tak sempat nak pandang lama bila Hanim terus saja bangun setelah mengucup tangan dia. Lama mata Izzat melekat pada mata Hanim. Mata Hanim yang mengantuk menambahkan lagi kesayuan pada wajah itu membuatkan hatinya sedikit tidak tenteram.
            “Nak tidur dekat bawah ke?” Soal Hanim lagi bila Izzat tidak menjawab.
            “Awak tak selesa ke? Nak saya tidur dekat bawah?” Soal Izzat pula.
            Sempat Hanim menjeling sebelum kembali memandang ke atas. “Tidur je lah Izzat. Kalau asyik tanya soalan sama sampai esok pun tak habis.”
            Izzat diam. Sejak siang tadi begitu lah gaya Hanim bercakap dengan dia. Sekejap elok sekejap kasar. Entah apa yang menggangu fikiran Hanim. Sukar sungguh untuk dia menebak isi hati Hanim yang sebenar.
            “Esok balik rumah saya.” Izzat masih mahu berbual dengan isterinya itu.
            “Tahu.”
            “Dah siap kemas pakaian semua?”
            “Dah,” tangan Hanim menunjukkan ke arah beg besar yang berisi pakaian di sebelah almari.
            “Kak Irma tinggal dengan kita.”
            Hanim menoleh semula. “Kakak awak memang tinggal dengan awak ke?”
            “Yup. Baru lagi dalam tiga empat bulan macam tu.”
            Tidak tertelan rasanya air liur. Tinggal serumah dengan kakak ipar, mampu ke dia? Entah macam mana penerimaan kakak iparnya nanti.
            “Jangan risau, Kak Irma okey.”
            “Macam mana kalau kakak awak tak boleh terima saya?”
            Izzat senyum. “Sekarang baru nak risau?”
            “Sebab baru tahu yang saya akan duduk serumah dengan kakak awak.”
            “Kalau tak duduk serumah tak payah nak risau lah, macam tu?”
            Hanim mendengus geram. “Bukan itu maksud saya. It is different tahu tak sama ada tinggal serumah atau tak. Perkara macam ni hanya orang perempuan saja yang faham,” tanpa sedar hujung bibir digigit.
            Izzat mengeluh perlahan. Dia faham sangat apa yang Hanim fikirkan. Mereka baru sahaja ingin memulakan hidup baru dan seharusnya hidup baru itu dibina berdua sahaja agar senang untuk mereka lebih mengenali diri masing-masing. Bukan bermakna kehadiran Irma adalah satu gangguan, tetapi mungkin lebih selesa untuk Hanim lebih mengenali diri dia secara  peribadi.
            “Everything will be fine, trust me. Kak Irma akan terima awak seperti mana kita menerima diri kita dalam hidup masing-masing.”
            Mata dipejam celik, cuba membina keyakinan pada kata-kata Izzat itu. “Hopefully,” jawab Hanim perlahan.
            “Dah, jom tidur,” mata Izzat semakin memberat. Tidak tahan rasanya untuk berjaga lebih lama.
            “Selamat malam,” ucap Hanim sebelum tidur membelakangi Izzat.

            Melihat Hanim yang tidur mengiring ke kanan, Izzat turut membalikkan badannya dan tidur mengiring ke kiri. “Selamat malam,” jawab Izzat perlahan dan matanya terus terpejam.


***

Hai semua! This is the last entry for Kunci Hati Hanim. Alhamdulillah manuskrip KHH telah penerbit terima dan masih dalam penilaian. Doakan Izzat Hanim ke versi cetak nanti :) 

For any updates, boleh follow FB kita, Jaja Ahmad atau join group baru kita JajaNeverendingstory :)

Untuk dapatkan novel-novel kita yang lama dan yang terbaru, boleh order terus dengan penerbit;

IVY RAIHANA - PENERBITAN LOVENOVEL II 
CINTA HAN DAN NAD - PENERBITAN ANAASA 
KESAYANGAN RAIS - PENERBITAN LOVENOVEL II atau PENERBITAN NOVEL MANIA 
HESSA IT'S ME! - PENERBITAN ANAASA 

Atau boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran anda. Kecuali Kesayangan Rais, available untuk jualan online sahaja.

Last but not least, terima kasih sudi baca. Hugs!

No comments:

Post a Comment