25 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 15

RUANG cermin panjang itu dipenuhi dengan refleksi batang tubuh Izzat yang segak berbaju melayu berwarna putih. Kedudukan baju dirapikan dan lipatan kain sampin yang diperbuat daripada kain songket diperkemaskan. Songkok di atas meja dicapai dan diletak kemas di atas kepala. Matanya tidak lepas daripada memandang dirinya sendiri di dalam cermin. Segak dan kemas di hari pernikahan, itu yang sentiasa dia impikan. Dan hari ini bakal mencatatkan hari yang paling bersejarah di dalam hidupnya di mana dia bakal berjabat tangan dengan tok kadi dan melafazkan akad yang secara tidak langsung mengubah statusnya.
            Nafas ditarik dalam bagi menghilangkan rasa gemuruh. Izzat akan berkahwin hari ini mak, ayah. Izzat akan jadi suami orang lepas ni. Saat yang mak dan ayah sangat nantikan, untuk melihat Izzat melafazkan akad. Tapi sayang, bila saat bersejarah ini tiba, mak dan ayah tiada di sisi Izzat. Alangkah indahnya jika kita sekeluarga dapat bersatu pada hari yang bersejarah ini. Kedua belah tangan naik meraup wajah. Cuba diusir segala rasa kecewa dan marah. Hari yang indah ini sepatutnya diisi dengan memori indah belaka, bukan bersedih dengan mengharapkan semua kemungkinan yang tidak mungkin akan terjadi.
            Sedang Izzat hebat berperang dengan perasaan sendiri, bahunya diusap dari belakang. Izzat menoleh dan kelihatan Irma sedang tersenyum ke arahnya. Izzat kembali memandang ke hadapan. Mata dipejam bagi mengusir segala rasa tidak enak yang cuba bersarang di tangkai hati. Sedaya upaya dia mencuba untuk berlapang dada menerima kehadiran kakaknya di sisi.
            “Segaknya adik kakak,” dengan penuh keceriaan Irma bersuara. “Dah ready ke ni?”
            “Tak tahu lah kakak.”
            “Eh, kenapa tak tahu pulak. Nervous ye?”
            “Sort of.”
            Irma memusingkan badan Izzat supaya berhadapan dengan dia. “Take a deep breath, insya Allah everything is going to be fine.”
            Izzat tunduk dengan wajah yang sedikit mendung. Bukan itu yang mengganggu fikiran dia sekarang tetapi ketiadaan kedua ibu bapanya yang membuatkan dia sedikit syahdu. Puas cuba diusir namun rasa sedih itu tetap juga tidak mahu berlalu pergi.
            “Hey, kenapa sedih pula ni?” Bahu Izzat diusap lagi.
            Izzat mengangkat wajah memandang ke dalam mata Irma. “How I wish mak dengan ayah ada dengan Izzat hari ini.”
            Irma tersentak. Bukan dia lupa tapi dia cuba menghilangkan rasa duka semata untuk menyambut hari bahagia adiknya. Tapi apa yang dia rasakan akhirnya diluahkan sendiri oleh Izzat. “Kakak pun sama Izzat. Tapi sudah takdirnya begini, kita hanya mampu terima segalanya dengan redha.”
            Izzat angguk faham. Bukan dia tidak redha, cuma sedikit ralat bila kesayangannya tidak dapat bersama meraikan hari bahagia dia. “Izzat rindu mak dengan ayah kakak.”
            Pantas Irma menarik bahu Izzat dan adiknya itu dipeluk dengan erat. “I miss them more,” mata terpejam dan cecair jernih mula merembes keluar. Kalau ikutkan dia lagi sedih, lagi ralat berbanding Izzat. Dia langsung tidak berkesempatan untuk melihat wajah kedua orang tuanya buat kali yang terakhir. Dan kerana itu jugalah hubungan dia dan Izzat menjadi renggang dan hampir saja bermusuh. Namun semua itu kehendak takdir. Melutut meraung bagaimana sekalipun kalau itu yang tersurat buat mereka maka harus mereka terima walau dalam kepayahan atau tanpa kerelaan. Lain kata, harus redha.
            Masing-masing hanya diam dalam dakapan sebelum Irma bertindak meleraikannya. Bahu dan dada Izzat diusap dengan senyuman tawar dan pipi yang basah. “Dah berkedut dah baju Izzat, nanti dah tak kacak lagi. Nanti apa orang kata. Majlis belum bermula pengantin dah sememeh,” kata-kata Irma membuatkan Izzat tersenyum.
            “Sikit je kakak, orang tak perasan pun.”
            “Dah lah, jom turun. Semua orang dah tunggu dekat bawah tu,” belum sempat Irma berlalu Izzat mencapai tangan kakaknya. Terus pipi Irma diusap dengan hujung jari bagi menghilangkan kesan air mata pada wajah Irma.
            “Terima kasih,” senyuman dihadiahkan buat Izzat sebelum mereka sama-sama turun ke bawah. Hari bahagia adiknya harus disambut dengan kegembiraan bukan kesedihan.

MENUNGGU lafaz akad walau buat kali yang kedua tetap mendebarkan bagi seorang Hanim. Ini bermakna hidupnya akan melalui fasa yang baru semula. Tetapi kali ini dengan lelaki yang baru dia kenali dan langsung dia tak cintai. Walau hampir serupa dengan pengalamannya yang lalu, namun pernikahan kali kedua ini betul-betul seperti dia memperjudikan nasibnya di tangan bakal suaminya itu. Kerana kekangan masa, dia hanya sempat berjumpa sekejap sahaja dengan bakal kakak iparnya dan ahli keluarga Izzat yang lain langsung dia tidak kenal. Tentang Izzat juga masih banyak yang belum dia tahu dan langsung dia tidak mengambil tahu.
            Hanim memandang wajah-wajah yang memenuhi ruang tamu rumahnya hari ini. Bersendirian di atas pelamin kecil yang dihias indah dengan bunga-bungaan segar membuatkan dia bertambah berdebar. Kalau dulu Puan Humairah setia menemaninya di sisi. Sedia memegang erat tangannya yang kesejukan kerana gementar. Namun kini dia hanya sendiri tanpa ditemani oleh sesiapa pun. Mata Hanim meliar mencari wajah Tuan Yazid. Ayahnya kelihatan segak dengan baju melayu cekak musang, duduk bersila berhadapan dengan Izzat yang kelihatan sedia untuk berjabat tangan melafazkan akad.
            Kemudian Hanim mencari wajah abang dan adiknya pula. Hazrul kelihatan ceria di belakang Tuan Yazid manakala Hasif duduk agak terkebelakang, jauh daripada ayah dan adiknya itu. Hanim tahu yang Hasif masih belum mampu berada dekat dengan ayahnya walau untuk beberapa ketika. Tanpa sedar keluhan lemah dilepaskan. Seketika kemudian kedengaran suara imam memulakan majlis. Tangan yang sejuk hampir mengejang kerana terlalu gemuruh. Saat ucap bismillah dilafazkan oleh Tuan Yazid untuk memulakan akad, Hanim mula menunduk. Menanti bait kata-kata yang bakal dilafazkan oleh Izzat seketika nanti.
            Dengan penuh tertib dan keyakinan, terbinalah ikatan perkahwinan di antara Hanim dan Izzat yang disertakan dengan doa oleh tuan imam. Semua hadirin yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan turut mengaminkan doa agar perkahwinan yang terbina di antara dua insan ini kekal hingga ke akhirnya. Birai mata Hanim mula memberat. Setelah selesai semuanya Izzat merapati Hanim untuk upacara pembatalan air sembahyang. Salam diberi sebagai pembuka kata kepada isteri yang baru dinikahinya. Salam Izzat bersambut dan dengan debaran di dada, sebentuk cincin disarungkan ke jari manis isterinya. Saat Izzat merapat dan tunduk mengucup dahi, cecair jernih itu mula gugur.
            “Semoga air mata yang gugur ini adalah tanda syukur di atas ikatan yang baru terbina, Hanim. Saya harap ianya air mata kegembiraan, bukan penyesalan,” bisik Izzat penuh makna seraya jemarinya naik mengusap pipi Hanim yang basah.
            Mata saling bertentangan menghantar maksud yang berbeza. Usikan daripada keluarga dan teman tidak diendahkan kerana terlalu sibuk menghantar signal melalui pandangan. Dalam hati Hanim, tidak terdetik sedikit pun penyesalan. Kesedihan yang terzahirkan oleh matanya adalah kerana ketiadaan ibu yang tercinta dan kepincangan di dalam keluarga yang masih jelas kelihatan walau di hari bahagianya. Hanya itu. Di dalam hati Izzat pula, runsing kalau Hanim tidak rela dengan ikatan yang baru terbina ini. Saling menyampaikan kata tanpa bibir yang berbicara. Jadi harus bagaimana untuk mereka saling memahami bicara bisu itu?

TUAN YAZID merapati Hanim yang duduk di sisi suaminya sambil menikmati hidangan yang disediakan. Selera langsung tak ada tapi demi menjaga hati si suami dan mata-mata yang memandang, dipaksa juga mulutnya memenelan semua makanan yang terhidang.
            “Hanim, ayah dah nak balik dah,” bisik Tuan Yazid di tepi telinga anaknya itu.
Sepatutnya ayah pengantin duduk makan bersama tetapi Tuan Yazid menolak. Memandangkan ramai yang sepertinya kurang senang dengan kehadiran dia di sini, Tuan Yazid memilih untuk menyendiri sebelum membuat keputusan untuk pulang.
“Ayah dah nak balik? Cepatnya… Hanim belum sempat bersembang dengan ayah,” mata Hanim mula berkaca.
Tuan Yazid tersenyum mendengar suara manja anak perempuannya itu. “Ayah kena balik. Kita sembang lain kali ye.”
“Mak tak ada dengan Hanim hari ni, tak kan ayah pun nak tinggalkan Hanim juga,” bisik Hanim dengan suara yang mula sebak. Sedih mengenangkan orang yang paling penting tiada bersama dengan dia hari ini.
Tuan Yazid menghela nafas buat seketika. Kemudian dia terpandangkan Hasif yang berdiri tidak jauh dari situ dengan wajah yang serius tanpa senyuman. Cepat-cepat Tuan Yazid menunduk ke arah Hanim semula.
“Ayah dah lama dekat sini, ayah kena balik. Nanti kita jumpa lagi ye,” kepala Hanim dikucup sebelum dia berlalu meninggalkan Hanim yang masih berkaca matanya.
Izzat menoleh ke arah Hanim dan kemudian memandang bapa mentuanya yang sudah berlalu. Dia sudah sedia maklum tentang kedinginan ahli keluarga isterinya itu. Semuanya terbongkar bila dia berjumpa dengan Tuan Yazid untuk menguruskan tentang borang pernikahan dia dan Hanim. Banyak pesanan yang Tuan Yazid berikan kepadanya  tentang tanggungjawab sebagai suami dan bapa mentuanya itu sempat menceritakan tentang hubungan dingin antara dia dan adik beradik Hanim agar Izzat tidak tertanya bila melihat keadaan mereka yang tidak seperti keluarga itu nanti. Namun punca kedinginan perhubungan mereka masih diselindungkan daripada pengetahuan Izzat.
Izzat bangun dari tempat duduknya dan menarik tangan Hanim agar ikut bangun. Sempat dia meminta diri buat seketika kepada mereka yang duduk semeja dengannya. Hanim yang terpinga-pinga dengan tindakan Izzat itu hanya mengikut langkah kaki suaminya tanpa suara. Laju Izzat berjalan, mengejar langkah kaki Tuan Yazid. Tiba di kawasan luar pagar rumah keluarga Hanim, Izzat membuat isyarat kepada isterinya untuk mendekati Tuan Yazid yang sudah hampir ke kereta.
“Ayah…” Tanpa lengah Hanim menyeru ayahnya. Pakaian pengantin yang sedikit meleret diangkat tinggi bagi memudahkan untuk dia melangkah.
Tuan Yazid menoleh. Terkejut juga melihat anak dan menantunya berdiri tidak jauh dari dia. Rasanya sewaktu dia keluar tadi mereka elok saja duduk bersantap di meja pengantin bersama ahli keluarga yang lain.
“Ayah…” Hanim terus menerpa ke dalam pelukan Tuan Yazid dan tangisannya dihamburkan di situ.
Pelukan Hanim berbalas. Hati tuanya sedikit terusik melihat satu-satunya anak perempuan dia menangis di hari perkahwinan. Tipu lah kalau dia tidak risau bila mengetahui yang anaknya akan berkahwin lagi. Risau kalau perkahwinan Hanim menemui titik noktah yang sama seperti perkahwinan yang terdahulu. Namun untuk menghalang keputusan anaknya itu rasa tidak patut pula. Sedangkan tanggungjawabnya sebagai ayah terhadap Hanim banyak yang telah dia abaikan sejak dia bercerai dengan arwah isterinya.
“Syhhh… Kenapa menangis ni? Nanti rosak mekap tu,” belakang Hanim ditepuk perlahan.
“Hanim sayang ayah.”
“Ayah sayang Hanim juga.”
“Kenapa ayah nak pergi tinggalkan Hanim? Tak boleh ke ayah duduk sini sekejap. Tunggu majlis selesai semuanya.”
Tuan Yazid diam tidak menjawab. Tidak mampu rasanya untuk  berada lebih lama di dalam kelompok yang tidak menerima kehadiran dia. “Majlis dah hampir selesai Hanim dan rasanya tiada apa lagi yang harus ayah buat dekat sini.”
Pelukan dileraikan. “Tapi Hanim nak sembang dengan ayah, nak luang masa dengan ayah. Sekejap je, bukan sehari pun Hanim minta.”
“Hanim faham kan keadaan ayah macam mana.” Tuan Yazid menekankan sedikit suaranya agar Hanim lebih faham tentang situasi dia sekarang.
“Tapi…”
Kata-kata Hanim terhenti bila tiba-tiba ada tangan mengusap bahunya. Hanim menoleh ke kanan. Kelihatan Izzat berdiri sambil memeluk bahunya  dengan erat. “Mungkin ayah penat, bagi ayah balik berehat dulu. Esok lusa kita pergi jumpa ayah.” Izzat mula memujuk bila Hanim tidak mahu menerima kata-kata ayah mentuanya.
Tuan Yazid angguk setuju. “Nanti Hanim dengan Izzat boleh datang jumpa ayah bila-bila masa saja.”
“Betul? Sebelum ni bukan main payah Hanim nak jumpa dengan ayah,” luah Hanim tanpa sedar. Terus berubah air muka Tuan Yazid. Izzat yang perasan perubahan pada wajah bapa mentuanya itu terus mencelah.
“Nanti Izzat call ayah.”
Tuan Yazid angguk dengan senyum tawar. “Ayah balik dulu,” tangan dihulur untuk bersalam dengan anak menantunya.
Air mata Hanim kembali merembes dan sekali lagi dia meluru ke dalam pelukan Tuan Yazid. Sempat Tuan Yazid menitipkan pesanan buat anak perempuannya itu sebelum dia melangkah masuk ke dalam keretanya. Izzat dan Hanim berdiri tegak memandang kereta Tuan Yazid yang meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan itu. Buat seketika mereka hanya diam tanpa suara.
“Jom masuk, semua orang tengah tunggu kita,” ajak Izzat bila Hanim masih belum mahu berlalu.
Today is our big day. Tapi ayah…”
Izzat memandang Hanim dari sisi. Dia tahu yang Hanim masih belum berpuas hati dengan Tuan Yazid pulang lebih awal. “Mungkin ayah penat awak.”
“Kalau penat boleh rehat dekat atas.”
“Hanim…”
Hanim menoleh ke arah Izzat. Lupa pula yang berdiri di sisi adalah suaminya. Tanpa sedar dia sedikit terkasar dalam bersuara dengan Izzat seketika tadi.
“Cuba faham situasi ayah. Tak kesian ke dekat ayah, hurm?”
Hanim tunduk sambil menyapu pipi yang masih basah kerana menangis sewaktu di dalam pelukan ayanya tadi. “Tapi ayah langsung tak nak faham saya.”
We talk about this later okay. Sekarang ni ramai ahli keluarga dan rakan-rakan yang tunggu nak bergambar dengan kita dekat dalam tu. Tak kan nak biarkan mereka tunggu lebih lama, apa pula kata mereka nanti,” tangan Hanim ditarik ke dalam genggaman dan Izzat turut menyapu air mata Hanim yang masih bersisa.
“Siapa suruh buat majlis jemput orang ramai-ramai,” sindir Hanim yang sempat menjeling ke arah Izzat. Segala permintaan dia masuk dalam bakul sampah nampaknya. Tak nak majlis, tak nak pelamin, tak nak jemput ramai orang. Tapi akhirnya, semua yang dia tak nak Izzat adakan hari ini.
“Yang itu pun kita bincang kemudian. Jom…”

Nak tak nak terpaksa juga Hanim mengikut Izzat masuk ke dalam rumahnya semula. Semua yang hadir bersorak melihat pengantin yang kembali semula sambil berpegangan tangan dan masing-masing mula beratur untuk bergambar dengan pengantin. Majlis pernikahan yang biasa akhirnya bertukar meriah juga.

3 comments: