21 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 13

SIMPULAN tali leher pada kolar baju dilonggarkan. Butang pada pergelangan tangan juga dibuka. Rimas setelah seharian berpakaian kemas begitu. Setelah hampir seminggu dia bercuti akibat demam, hari ini dia kembali semula ke ofisnya. Seperti yang dijangka, berlonggok fail dan pelan yang memerlukan perhatian segera darinya. Hari pertama sudah buat dia pening kepala.
            Hampir lima belas minit dia duduk bersandar merehatkan minda, tangannya kembali bergerak melakar pelan bangunan yang baru separuh siap. Mata yang redup berubah tajam bila fokusnya hanya pada lakaran di atas meja. Setiap lekuk bangunan diteliti agar semuanya selari. Sedang dia sibuk dengan lukisan pelannya itu, dia dikejutkan dengan suara Arham yang tiba-tiba menjengah di sebalik pintu.
            “Sibuk nampak bang.”
            “Eh ustaz…” Izzat membuat isyarat masuk kepada Arham. “Sibuk la, dah berapa hari aku tak masuk ofis.”
            “Alah hari ni kan first day kau masuk balik, relaks la dulu,” kerusi ditarik dan Arham terus melabuhkan duduk di hadapan Izzat.
            “First day masuk la kena buat kerja ustaz. Kalau tidak makin berlambak kerja aku.” Badan disandarkan ke belakang dan spotan tangan kanan tangan naik memicit pelipis.
            “Kau kenapa? Tak sihat lagi ke?”
            Dengan lemah Izzat menggeleng. “Aku ada hal mustahak nak bagi tahu kau ni.”
            “Apa dia?”
            Izzat kembali merapat ke meja dengan kedua belah tangan yang bersilang. “Lagi dua bulan aku akan bernikah.”
            Tenang riak pada wajah Arham, langsung tidak terkejut dengan kata-kata Izzat. “Alhamdulillah. Kira jadi lah ye dengan yang hari tu?”
            Bibir Izzat tercuit dengan senyuman walaupun tidak seindah mana. “Itu pun puas kena paksa.”
            “Kenapa macam tu?”
            “Dia tak nak kahwin dengan aku.”
            “Kalau orang tak nak kenapa dipaksa Izzat. Apa-apa jadi nanti susah, kau juga yang akan dipersalahkan.”
            “Kau tak faham ustaz. Lama aku fikir dan aku pernah cuba untuk lupakan niat aku ni. Tapi, hati aku memang bergerak lebih laju berbanding otak aku. Dan hati aku ni…” Tangan kanan Izzat melekap di dada, “Hati aku tetap inginkan dia menjadi suri hati aku ustaz.”
            Arham terdiam. Kahwin paksa, besar risiko yang harus dihadapi oleh mereka yang memilih jalan ini. Salah satunya, perkahwinan yang dibina tidak bahagia dan seterusnya menemui kegagalan. Secara tidak langsung menambahkan lagi statistik kes penceraian di Malaysia. Ah, terlalu jauh pula Arham berfikir.
            “Kau tak kesian dekat dia ke?”
            “Sebab kesiankan dia lah aku buat macam ni ustaz.”
            “Maksud kau?”
            Jeda. Soal peribadi Hanim tidak seharusnya diceritakan kepada orang lain termasuk lah Arham. Walau rapat macam mana sekali pun dia dengan Arham, tentang hal peribadi harus ada batasnya juga. Apatah lagi bila melibatkan Hanim, bakal isterinya itu. Izzat menggeleng.
            “The decision is final dan dia pun dah bersetuju dengan aku. Awalnya saja seperti aku memaksa ustaz, tapi sekarang dia dengan rela hati terima aku untuk jadi suami dia.”
            “Betul?” Sungguh Arham masih ragu. Mana tahu kalau Izzat cuba untuk berselindung dengannya.
            “Betul la, aku tak tipu kau pun. Jangan nak curiga sangat lah.”
            “Aku cuma tak nak kau dapat masalah je nanti.”
            “Kau doa yang baik-baik saja lah untuk aku nanti.”
            “Selalu Zat. Tapi, aku nak tanya kau satu soalan.”
            “Apa?”
            “Kau nak kahwin dengan dia atas dasar apa? Kasihan semata? Langsung tak ada rasa cinta?”
            Terkelip-kelip mata Izzat memandang Arham yang berwajah serius itu. Tadi cakap satu soalan, sekarang dah tiga pula. Izzat kembali bersandar ke belakang. “Sejujurnya aku belum pasti tentang cinta. Apa yang aku sangat pasti, aku nak lindungi dia, aku nak jaga dia dan aku nak bahagiakan dia.”
            “Lindungi dia? Daripada siapa dan apa?”
            Izzat berdehem. “Banyak pula soalan kau kan.”
            Spontan Arham tergelak. “Aku curious je.”
            “Curiosity kills the cat ustaz.”
            “Tahu. Tapi semua ni tiba-tiba sangat Izzat. Sebagai kawan kau, aku nak juga tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam hidup kau sehinggakan kau buat keputusan drastik macam ni.”
            Izzat jungkit bahu. “Mungkin jodoh aku dah sampai. Semua yang terjadi adalah aturan Dia dan aku cuma ikut segala aturan yang telah Dia tetapkan ustaz. Mungkin sudah begini aturan jodoh aku dan aku terima dengan rela hati demi untuk melindungi hati yang lain.”
            Arham angkat tangan mengalah. “You win. Bila bercakap memang tak pernah kalah. Salah profesion aku rasa kau ni.”
            “Nak cakap aku patut jadi peguam lah tu.”
            “Cikgu pun boleh.”
            Meletus ketawa dua sahabat itu. “Apa pun Izzat, aku doakan semoga perkahwinan kau dengan pasangan kau nanti kekal hingga syurga. Kau kena ingat, dugaan alam perkahwinan ni banyak. Bila kita berkahwin bukan bermakna itu adalah happy ending bagi kita. Malah ia adalah permulaan untuk sebuah cerita dan kita harus bijak dan tenang dalam menulis jalan cerita yang kita mahukan. Emosi dan minda harus seiring agar semua permasalahan dapat diselesaikan dengan aman.”
            Izzat angguk faham. “Kalau aku ada masalah dengan perkahwinan aku nanti, kau akan tolong aku kan ustaz?”
            “Aik, macam tak yakin pula kau ni.”
            Izzat senyum. “Bukan tak yakin, cuma aku risau kalau aku tak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan baik,” sejujurnya rasa risau tidak pernah hilang sejak Hanim bersetuju dengan lamaran dia. Tanggungjawab dan amanah yang bakal digalas bukan lah sesuatu yang ringan. Dia tidak pernah lupa itu.
            “Kau jangan risau. Kalau ada kemusykilan atau permasalahan tentang apa-apa pun, bagi tahu aku. Insya Allah aku akan tolong kau apa yang termampu.”
            Lega Izzat mendengar kata-kata Arham. “Kau memang sahabat sejati aku ustaz.”
            “Sahabat terbaik dalam dunia. Rugi kalau tak berkawan dengan aku tau.”
            “Ah, perasan pula kau.” Untuk seketika, ruang bilik yang sempit itu gamat dengan suara ketawa mereka berdua.

KAU memang dah nekad betul lah ni kiranya ye.” Maira berdiri sambil menyilang tangan ke badan di hadapan meja Hanim.
            Nak kata terkejut, tak juga. Ralat agaknya dengan keputusan Hanim yang tiba-tiba nak kahwin. Dengan klien yang dia baru kenal pula tu. Setahu dia Hanim tak suka dengan klien dia yang seorang ni. Busybody, sibuk nak ambil tahu hal peribadi orang. Tapi tiba-tiba nak kahwin pula. Dah macam kahwin paksa pun ye.
            “Macam tu lah kiranya,” jawab Hanim acuh tak acuh.
            Maira memandang dengan wajah tidak puas hati. “Kau ni betul ke tidak nak kahwin Nim? Tak nampak gembira atau teruja langsung. Kau jangan macam-macam eh, buat keputusan melulu. Kang jadi macam yang dah lepas kau juga yang menanggung nya nanti” bukan nak menakutkan Hanim, cuma nak mengingatkan sahabatnya itu supaya sejarah tidak berulang.
            “Betul Maira, lagi dua bulan aku akan jadi isteri Izzat,” jawab Hanim tanpa nada.
Bosan sebenarnya nak jelaskan semuanya berulang kali. Semua orang asyik meragui keputusan dia. Tiada seorang pun yang berpandangan positif tentang keputusan dia ni. Dah lah dia sendiri pun tak berapa nak kuat nak menghadapi semuanya, orang sekeliling pula langsung tak membantu. Hanya Izzat yang sentiasa berfikiran positif dalam segala hal. Ye, hanya Izzat…
            “Dia paksa kau kahwin dengan dia ke?”
            “Mai!” Sedikit keras suara Hanim menegur Maira. Kurang senang dengan tuduhan sahabatnya itu.
            “Kenapa? Salah ke aku cakap?”
            “Memang salah. Aku yang setuju nak kahwin dengan dia bukan Izzat yang paksa.”
            “Dia dah tahu tentang status kau?” Soal Maira lagi. Masih belum berpuas hati dengan keputusan Hanim itu.
            “Dah. Aku dah ceritakan semuanya kepada dia.”
            “And, he is okay with it?”
            “Yes!”
            Maira mengetap bibir. Entah kenapa dia langsung rasa tak senang dengan tindakan Hanim ini. Bimbang kalau sahabatnya terpaksa menempuh alam perkahwinan yang sama. Cukup lah Hanim pernah kecewa dulu dan dia tak nak Hanim kecewa untuk kali yang kedua.
            “Pelik…”
            Hanim menghela nafas perlahan. “Apa yang pelik?”
            “Semudah itu dia terima kau.”
            Sedikit tercalar perasaan Hanim dengan kata-kata Maira. “Kenapa? Orang seperti aku ni tak layak ke untuk orang seperti Izzat? Janda macam aku tak layak ke untuk berkahwin dengan lelaki macam dia? Hina sangat ke aku ni?” Wajah Hanim berubah tegang. Kawan baik pun kalau cakap tak bertapis harus juga kena basuh. Biar dia fikir sebelum bercakap.
            Maira yang baru tersedar perubahan pada wajah Hanim berubah pucat. Terlalu melayan rasa curiga sehingga dia terlepas kata. “Maaf Hanim, aku tak bermaksud macam tu.”
            “Aku perasan yang sekarang ni kau selalu sangat cakap perkaran yang kau tak maksudkan, macam tadi,” sindir Hanim. “Aku rasa daripada kau luahkan kata-kata yang kau tak maksudkan, lebih baik kau diam.”
            “Hanim aku minta maaf. Sungguh aku tak bermaksud nak lukakan hati kau. Aku cuma risau Nim. Aku risaukan kau. Selama kita kenal, hidup kau sentiasa dalam kecewa Nim dan aku tak nak kau hidup dalam kekecewaan selamanya,” mata Maira mula berkaca. Kecewa dengan diri sendiri yang sentiasa terlepas kata depan Hanim yang hatinya serapuh tisu.
            “Kalau kau tak nak aku hidup dalam kekecewaan buat selamanya kau kena sokong aku Maira. Nak buat keputusan dalam hidup bukan perkara yang senang dan bila aku terpaksa juga  buat keputusan untuk hidup aku, aku sangat perlukan sokongan daripada orang sekeliling. Tapi kau, Abang Hasif dan Hazrul langsung tak nak sokong aku. Kalau tak nak bagi kata-kata yang positif pun sekurang-kurangnya jangan lah fikir yang bukan-bukan tentang kami. Itu pun tak boleh ke?”
            Dengan wajah yang mencebik Maira berlari memeluk Hanim dari belakang. “Aku minta maaf Hanim, betul-betul minta maaf. Aku janji tak akan fikir yang bukan-bukan lagi tentang kau dengan Izzat.”
            Mata dipejam buat seketika. “Aku sendiri pun tak yakin dengan keputusan aku ni Maira. Tapi kalau bukan dengan Izzat belum tentu aku akan bahagia dengan orang lain. Belum tentu aku akan bahagia dengan orang yang kau pilih untuk aku, belum tentu aku akan bahagia dengan orang yang aku dah kenal lama macam yang Abang Hasif inginkan. Sebab hidup kita ni kita tak boleh nak jangka. We can’t predict what will happen in future. Untuk melangkah keluar dari kekecewaan aku harus terima orang baru dalam hidup aku. Untuk memastikan yang aku akan bahagia dengan orang tu, dengan orang ni, itu tugas aku Maira. Bukan tugas kau atau Abang Hasif atau sesiapa pun.”
            Maira yang masih memeluk Hanim hanya diam tanpa kata. “Kalau Izzat tak terima aku, kau rasa ada ke lelaki lain yang sanggup jadikan aku sebagai isteri bila tahu status aku yang sebenarnya?” Hanim menoleh ke sisi mencari wajah Maira yang tersangkut di bahunya. Maira menggeleng perlahan. “Jadi tolong lah… Tolong berlapang dada terima keputusan aku ni. Aku dah penat nak jelaskan semuanya. Aku dah penat nak buat orang faham aku. Please Maira…”
            “Aku terima keputusan kau dan aku sentiasa sokong kau Nim. Aku janji tak akan fikir yang bukan-bukan lagi tentang kau dan Izzat,” penuh yakin Maira bersuara.
            “Good! Sekarang lepaskan aku, rimas lah. Aku nak kemas meja ni sekejap lagi aku nak keluar.”
            Maira melepaskan pelukannya pada bahu Hanim dengan sengihan segan. Rasa bersalah sangat dengan Hanim sampai lupa diri peluk sahabat dia macam tu sekali. “Kau nak ke mana? Jumpa Izzat ke?”
            Hanim angguk dengan tangan yang ligat mengemas meja yang bersepah. Seketika kemudian dia mengeluh perlahan.
            “Kenapa?” Maira masih tidak bergerak dari sisi Hanim.
            “Izzat ni, beria sangat buat persiapan. Aku dah cakap yang aku nak buat majlis akad nikah biasa-biasa saja. Cukup ada aku, dia, wali dan saksi tapi dia siap nak buat makan-makan pula lepas akad nikah nanti. Ni nak keluar tempah baju la ni sedangkan aku dah cakap awal-awal yang aku nak pakai baju kahwin yang dalam almari tu je.”
            Maira menggeleng. Macam mana lah orang tak cakap yang dia kena paksa kahwin dengan Izzat. Nak kahwin koboi gitu je. Mengalahkan orang kahwin dekat Siam. “Kalau aku cakap kau janga marah pula.”
            “Apa?”
            Maira duduk semula di hadapan Hanim. “Aku tahu yang ini perkahwinan kali kedua kau, sebab itu lah kau nak buat yang seringkas mungkin. Tapi kau kena ingat yang ini adalah perkahwinan pertama Izzat. Sudah semestinya Izzat dan keluarga dia mahukan sesuatu yang istimewa untuk hari bersejarah dia nanti. Itu dah kira baik dia tak nak bersanding bagai.”
            Hanim terhenyak di tempat duduk sendiri. “Dia nak bersanding tapi aku yang tak nak.”
            “Dan dia ikut keputusan kau?”
            Hanim angguk sebelum menunduk. “Nampak tak betapa toleransinya Izzat dalam membuat keputusan. Jadi kau pun harus macam tu juga Nim. Dah kau tak nak bersanding sekurang-kurangnya bagi lah dia buat majlis istimewa untuk majlis akad nikah kau dengan dia nanti. Lagi satu tentang pakaian akad nikah kau nanti, tak kan lah kau nak pakai baju yang sama. Kau ingat Izzat sanggup nak pandang kau pakai baju yang sama sewaktu kau kahwin dengan Meor dulu?”
            Hanim terdiam. Terlampau memikirkan tentang perasaan sendiri dia lupa tentang perasaan bakal suaminya itu. Ada betulnya apa yang Maira katakan itu. Kemahuan Izzat harus diambil peduli juga dan ternyata dia lupa tentang itu. Tadi selamba dia sekolahkan Maira dan sekarang Maira pula yang sekolah kan dia.
            “Dah tak payah buat muka monyok macam tu. Pergi lah, kau janji dengan Izzat pukul berapa ni?”
            Hanim menjeling jam di pergelangan tangan. “Alamak aku dah lambat Mai!” Terburu-buru Hanim bangun dan mencapai beg serta telefon yang tersadai di atas meja. “Aku gerak dulu Maira,” batang tubuh Maira yang turut bangun berdiri dipeluk kemas. “Thank you so much. Aku sayang kau,” bisik Hanim di tepi telinga Maira.
            “Aku sayang kau juga. Dah, pergi sekarang. Pilih baju yang cantik-cantik nanti,” sempat Maira mengenyitkan mata ke arah Hanim yang mula ingin melangkah. Tersenyum Hanim yang melihat.
Gaduh baik senyum masam muka. Rencah dalam hubungan persahabatan mereka. Semoga hidup akan lebih gembira  bersama Izzat. Mulai hari ini doa itu akan sentiasa dia titipkan buat sahabatnya itu.

            

No comments:

Post a Comment