19 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 11

BADAN yang masih lemah disandarkan pada kepala katil. Walau tidak seteruk dua hari lepas, namun badan dia masih juga tidak mampu untuk bergerak aktif seperti sebelumnya. Batuk-batuk halus masih juga kedengaran. Masuk hari ini, sudah tiga hari dia terlantar sakit di rumahnya. Demam yang biasa-biasa bertambah teruk bila dia langsung tidak mengendahkan sakitnya itu. Cadangan doktor untuk dimasukkan ke wad ditolak mentah. Dia lebih rela terbaring di atas katilnya sendiri daripada terbaring di atas katil hospital.
            Jauh Izzat merenung ke hadapan. Dua minggu selepas Hanim menjelaskan kesemua tentang status dirinya, Izzat jatuh sakit. Kesibukan kerja yang ditambah pula dengan perasaan yang terdera menyebabkan demamnya semakin teruk. Namun hati Izzat lebih parah lagi. Sejak dari hari itu nama Hanim sentiasa menghiasi ruang hatinya. Pelik dengan perasaan sendiri, Izzat cuba membuang jauh nama Hanim. Tetapi semakin dibuang semakin terpahat pula nama Hanim di situ. Di satu sudut hatinya.
            Nafas dihela. Sejujurnya penjelasan Hanim bukan lah satu perkara yang mudah untuk diterima. Disangkakan yang Hanim cuma kecewa dalam bercinta tetapi sangkaan dia jauh tersasar. Namun nalurinya yang satu itu tidak pernah terpadam. Naluri untuk melindungi Hanim dari terus dikecewakan. Terpejam celik matanya mentafsir perasaan sendiri. Penjelasan Hanim dan kata-kata Arham saling bertelingkah pada pendengarannya. Sesuatu yang disangkakan mudah telah menjadi bertambah rumit dan dia… buntu!
            Hampir setengah jam duduk bersandar melayan perasaan, Izzat gagahkan dirinya untuk bangun dan bersiap. Hati dia kembali nekad. Walau apa pun yang terjadi, segalanya harus diselesaikan hari ini juga. Jika tidak, hati dia tidak akan tenang malah mungkin juga demam dia akan bertambah melarat. Izzat melangkah ke bilik air untuk membersihkan badan dan wajahnya. Seketika kemudian dia keluar dan bersiap ala kadar. Cukup dengan t-shirt berkolar dan seluar jeans longgar. Izzat kelihatan lebih kemas dan santai dengan berpakaian sebegitu. Sedang dia merapikan rambutnya di hadapan cermin, pintu biliknya ditolak dari luar. Terjengul wajah Irma di sebalik pintu.
            “Eh, Izzat nak ke mana ni? Bersiap kemas segak macam ni. Nak pergi ofis ke?” Irma melangkah masuk ke dalam bilik tidur Izzat sambil menatang dulang yang berisi makanan. Makanan yang disediakan khas untuk adiknya yang sakit.
            Izzat memandang gerak laku kakaknya melalui cermin yang berada di hadapannya itu. Berkerut kening Izzat melihat kakaknya yang berpakaian santai skirt labuh dan baby T. Pakaian rasmi Irma bila berada di rumah. “Kakak tak kerja ke?” Soalan berbalas soalan.
            Dulang di tangan diletakkan di atas meja kerja Izzat di hujung bilik. “Tak, kakak cuti sampai esok.”
            “Lamanya cuti.”
            Irma tersenyum. Sejak Izzat jatuh sakit, adiknya itu sudah tidak lagi berat mulut dengannya. Walaupun tidak rancak sangat melayan dia berbual, tetapi setidaknya segala bicara dia tidak lagi dibiarkan sepi tanpa kata. Perkembangan yang agak positif juga di dalam perhubungan mereka dua beradik.
            “Kakak nak jaga Izzat la, kan Izzat tak sihat. Tapi…” Irma pandang Izzat atas bawah. “Ni nak ke mana pula? Dah sihat betul ke ni?”
            Izzat berpusing dan berdiri tegak sambil berpeluk tubuh. “Izzat nak keluar jumpa kawan kejap,” usai berkata elok saja dia terbatuk-batuk sampai merah muka. Pantas Irma bergerak menarik badannya untuk duduk di hujung katil.
            “Izzat belum sihat lagi ni. Jumpa kawan bila dah sihat nanti je lah.”
            Izzat menggeleng dengan wajah yang merah dan tekak yang perit. “Tak boleh, Izzat kena jumpa dengan dia juga hari ini. Ada perkara penting yang perlu Izzat selesaikan,” sekali lagi Izzat terbatuk membuatkan Irma mengetap bibir kegeraman.
            “Izzat ni degil la. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada Izzat dekat luar sana, macam mana?”
            “Kakak, don’t start.” Izzat menjeling penuh makna ke arah Irma. Ini yang dia tak suka. Dia sudah terbiasa melakukan semuanya, apa-apa saja tanpa sekatan daripada sesiapa pun. Bila Irma mula menyibuk tentang hidup dia macam ni, memang dia tak suka.
            Irma yang faham dengan jelingan adiknya itu terus terdiam. Seketika kemudian Izzat terus bangun dan bersedia untuk keluar. Kalau lambat bimbang yang ingin dijumpa tak ada pula nanti. Belum sempat dia berlalu lengannya dipaut Irma.
            “Kalau macam tu Izzat makan dulu, please. Kakak dah masakkan makanan kegemaran Izzat ni. Makan sikit pun jadi lah,” bagai merayu pula agar Izzat sudi merasa masakannya. Begitu bersungguh Irma berusaha untuk mendapatkan semula Izzat yang dulu. Yang ceria dan suka bergurau, yang suka minta dimasakkan makanan kegemaran, yang suka menempel dengan dia. Izzat versi itu sudah tiada lagi dan dia lah punca pada perubahan adiknya itu.
            Melihat kesuraman pada wajah kakaknya, Izzat jadi tidak sampai hati. Selama dia terlantar di atas katil Irma lah yang menjaga kebajikan dia. Walau kecewa dan sakit hati macam mana sekalipun dengan kakaknya itu, sedikit sebanyak terusik juga hatinya melihat Irma yang bersengkang mata menjaga dia yang sedang sakit. Dengan lemah dia angguk setuju. Terus melebar senyuman pada wajah Irma. Tanpa lengah lengan Izzat yang masih didalam pegangan ditarik ke arah dulang makanan yang diletakkan di atas meja kerja Izzat seketika tadi. Izzat didudukkan di atas kerusi dan dia hanya berdiri di sisi adiknya itu.
            “Kakak suapkan nak?” Laju tangan Irma bergerak mencapai sudu di sisi pinggan.
            “Izzat boleh makan sendiri kakak. Demam je bukan cedera dekat mana-mana.” Tanpa sedar terkeluar ayat sindiran dari bibirnya itu.
            Irma tersentak lalu sudu di tangan diletakkan semula di sisi pinggan. “Kalau macam tu Izzat makan lah, kakak turun bawah dulu. Kalau dah sudah tinggal saja dekat sini, nanti kakak naik kemaskan,” usai berkata Irma terus berlalu keluar dari bilik tidur Izzat.
            Badan disandarkan pada pintu yang tertutup kemas dengan mata yang terpejam. Tangan kanan naik melekap pada dada kiri. “Take it easy Irma, Izzat baru nak baik dengan kau tu. Beri dia ruang. Dia tak sengaja cakap macam tu tadi.” Bisik Irma yang cuba memujuk dirinya sendiri.
            Izzat memandang makanan yang terhidang. Daging masak kicap dengan sayur campur. Kakak masih ingat dan kakak sentiasa ingat. Waktu dia masih di bangku sekolah dulu kakak lah yang selalu masak untuk dia bila arwah mak sibuk di gerai. Irma memang pandai masak sejak dulu kerana selalu membantu arwah mak tiap kali ke dapur. Tanpa disuruh, Irma dengan rela hati belajar semuanya. Sungguh indah kenangan waktu dulu dan kini segalanya telah berubah. Mak dengan ayah tiada lagi di dunia ini. Yang tinggal hanya dia berdua dengan kakaknya, Irma. Yang berdua ini pun hubungannya tidak seperti adik beradik yang lain. Izzat menghela nafas berat dan wajah ditutup dengan kedua belah tapak tangan. Mak, ayah… Rindunya…
NAK makan apa hari ni Maira?”
            Maira yang sedang terbongkok di bawah meja terus berdiri tegak. “Aku teringin nak makan sushi lah hari ni Nim.”
            “Amboi, laju je. Mengidam betul ni,” usik Hanim.
            Minggu lepas Maira datang membawa khabar gembira. Perkahwinan yang mencecah ke tahun ke lima akan bertambah berseri dengan kehadiran anak yang kedua. Setelah beberapa hari terasa mual, akhirnya Maira disahkan mengandung dan kandungannya bakal memasuki bulan kedua pada minggu hadapan. Hanim turut merasa gembira saat mendengar perkhabaran tentang kehamilan sahabat baiknya itu. Namun jauh di sudut hati, dia merasa sedih kerana dia tidak berpeluang untuk merasai pengalaman yang sama dengan Maira.
            Kalau ditanya pada mana-mana wanita pun, pasti semuanya mempunyai hasrat yang sama. Mahu merasai pengalaman mengandung dan melahirkan anak sebagai pewaris. Jika bukan dalam waktu yang terdekat, nanti juga pasti mereka mahu menimang cahaya mata sendiri. Dan sudah tentu Hanim tidak terkecuali. Impian itu sudah lama tersemat di hatinya. Walaupun pernikahan dia dengan Meor dahulu tidak seperti pasangan yang lain, tetap juga dia mengimpikan perkara yang sama. Tetap juga dia mengimpikan untuk menimang cahaya matanya bersama Meor. Tapi sayang, impiannya terputus di tengah jalan dan sekarang dia tidak pasti sama ada dia masih berpeluang untuk mencapai impian itu atau tidak.
            “Hanim…” Maira mencuit lengan Hanim. Sahabatnya itu kelihatan leka benar melayan perasaan. Tadi Hanim juga yang bersungguh bertanya itu ini dan sekarang diam pula. Entah apa lagi yang difikirkan Hanim agaknya.
            Hanim tersentak. Pantas dia melebarkan senyuman bagi menutupi kelekaannya. “Kau cakap apa tadi Maira?”
            Maira mengeluh lemah. “Aku cakap nak makan sushi. Kau kenapa? Nak tak temankan aku?”
            Laju Hanim angguk. “Mesti lah aku nak temankan kau. Aku nak kau dengan bakal anak saudara kedua aku ni gembira. Cik Anim belanja baby makan sushi ye hari ni,” perut Maira yang masih kempis diusap dengan senyuman yang masih melebar. Alangkah indah kalau perutnya yang kempis itu turut terisi dengan janin.
            “Kau kenapa Nim?”
            “Kenapa apa?”
            “Kau nampak sedih,” ucap Maira berterus terang.
            “Aku memang selalu nampak sedih apa.” Hanim cuba bergurau. Tetapi gurauan dia langsung tidak dapat menggeletek hati Maira.
            “Memang la. Tapi hari ni sedih kau berbeza daripada sedih yang sebelum-sebelum ni.”
            “Ada ke macam tu?”
            “Hanim…” Tangan Hanim ditarik ke dalam gengaman. “Aku kawan baik kau kan. Kau dah janji nak kongsi semuanya dengan aku kan?”
            Hanim menarik nafas dalam sebelum menghembusnya perlahan-perlahan. Maira ni memang, tak ada satu pun yang dia mampu sorok dari Maira. Segala perasaan dia pejam mata pun Maira dapat baca.
            “Aku cemburu dengan kau,” jawab Hanim jujur.
            “Kenapa?”
            “Hidup kau sempurna Maira. Kau ada keluarga yang penyayang, kau ada suami yang sangat cintakan kau dan perkahwinan kau sangat bahagia walaupun kau berkahwin atas pilihan keluarga. Tak lama lagi kau bakal timang cahaya mata kedua pula. Itu antara impian aku setelah berkahwin dengan Meor dulu Maira.”
            “Hanim, kau jangan la macam ni. Anak aku anak kau juga Nim. Kau kan dah  jadi ibu angkat anak aku.”
            Hanim menggeleng dengan senyuman pahit. “Tak sama Maira. Aku teringin juga nak rasa pengalaman mengandung dan melahirkan anak aku sendiri.”
            “Kau kahwin ye Nim. Lagi pun kau masih muda, cantik… Aku pasti kalau kau buka hati untuk terima lelaki lain dalam hidup kau, bersusun yang datang pikat kau nanti.”
            Tergelak Hanim dengan kata-kata Maira. “Tak nak lah macam tu. Aku tak nak lah berkahwin semata-mata untuk dapatkan zuriat. Macam aku mempergunakan lelaki tu pula. Lagi pun Maira, aku serik nak kahwin kalau tanpa cinta. Cukup lah sekali aku buat keputusan bodoh macam tu.”
            “Kalau macam tu, cuba kau buka pintu hati kau untuk terima cinta yang dihulurkan. Tapi sebagai permulaan, kau kena lah buka hati kau untuk berkawan dengan lelaki lain dulu. Aku carikan untuk kau sorang eh,” bersungguh-sungguh Maira ingin membantu Hanim mencipta kehidupan baru.
            Lama Hanim terdiam sebelum kembali bersuara. “Tak apa lah Maira, aku macam trauma lagi pasal Khai yang hari tu.”
            Giliran Maira pula yang terdiam. Sedar yang dia telah menyusahkan Hanim dengan memperkenalkan Khai si tak guna itu kepada sahabatnya. Nasib baik ada yang membantu Hanim waktu itu. Kalau tidak makin bertambah lah penyesalannya. “Aku minta maaf Hanim,” perlahan Maira mengucapkan kata maaf.
            “Tak apa lah Maira, benda dah lepas dan aku tak nak ingat lagi dah,” bahu Maira ditepuk bagi menenangkan sahabatnya itu. “Jom lah cari sushi, tadi cakap mengidam nak makan sushi kan.” Hanim terus bangun dan berlalu keluar diikiuti oleh Maira dari belakang.
            Sambil berjalan ke tempat parkir kereta sempat Maira bercerita tentang alahannya. Seronok Hanim mendengar cerita Maira. Tak apa lah kalau dia tidak sempat merasai semua itu. Mendengar cerita Maira juga sudah mampu membuatkan dia bahagia, walau cuma untuk seketika.

            Sedang mereka menghampiri kereta milik Hanim, kelihatan seorang lelaki bersandar pada kereta di sebelah dengan wajah yang menunduk. Bila Hanim semakin mendekat, lelaki itu mula mengangkat wajahnya. Dengan jarak hanya beberapa langkah, ruang penglihatan Hanim mula dihiasi oleh wajah lelaki itu yang sepertinya kelihatan sangat… pucat!

No comments:

Post a Comment