18 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 10

HANIM berdiri tegak di hadapan kereta yang masih berbungkus plastik di bahagian dalam. Segala urusan jual beli kereta Izzat akhirnya selesai juga dan hari ini merupakan hari penyerahan kunci kereta tersebut kepada pemilik baru iaitu Izzat. Jam di pergelangan tangan dijeling. Sepuluh minit menghampiri ke pukul dua belas tengah hari namun bayang Izzat masih belum kelihatan.
            Penat berdiri tegak, Hanim menyandarkan badannya ke kereta baru Izzat itu. Hari ini perjumpaan mereka di show room kereta milik syarikat tempat dia bekerja sahaja. Izzat yang akan datang ke tempat dia jadi tidak perlulah dia berkejar untuk tiba lebih awal daripada Izzat. Boleh saja dia menunggu di ruang pejabat tetapi dia memilih untuk menunggu di show room terus.
            Orang yang ditunggu akhirnya tiba juga. Kelihatan Izzat turun dari kereta yang dipandu oleh seseorang dan kemudiannya kereta itu terlalu berlalu pergi. Mata Hanim langsung tidak lepas memandang ke arah Izzat yang sedang berjalan masuk ke dalam show room tersebut. Dengan langkah yang tersusun dan penampilan yang kemas, kehadiran Izzat telah mencuri perhatian para wanita yang turut berada di situ. Semua yang memandang kelihatan kagum memandang ke arah Izzat namun tidak bagi Hanim. Hanya pandangan kosong yang Hanim lemparkan.
            “Hai… Am I late?” Soal Izzat seraya mendekati Hanim yang sudah kembali berdiri tegak. Rasanya dia keluar awal dari ofisnya tadi. Jalan pun tak sesak mana, tak kan lah dia dah terlambat pula.
            “Nope. Just on time.”
            Izzat melirik ke arah Hanim dengan riak serius. “So, this is my car?”
            Hanim angguk. “It’s yours,” kunci kereta diserahkan kepada Izzat dan Hanim berundur ke belakang, memberi ruang kepada Izzat untuk melihat keretanya.
            Luar dan dalam diteliti dan Izzat sangat berpuas hati dengan kereta barunya itu. Memang tidak salah dia memilih model ini sebagai kereta keduanya. Yang dah ada sekarang ni boleh lah dia bawa ke site. Manakala yang baru ni untuk kegunaan rasmi dan untuk dibawa berjalan sahaja. Nak bawa masuk site? Memang tak lah.
            “Terima kasih Hanim.” Sudah terbiasa dengan nama Hanim, terus dibuang panggilan cik di pangkal nama Hanim.
            “Sama-sama. Terima kasih juga kepada Encik Izzat kerana sudi berurusan dengan saya.” Hanim tunduk hormat sebelum mula mengorak langkah untuk kembali ke ofisnya.
            “Hanim…”
            Hanim menoleh seraya mengangkat kening ke arah Izzat. “Ye?”
            Izzat bergerak mendekati Hanim. “Can we talk?” Bisiknya dengan mata yang menikam ke dalam mata Hanim.
            Terkaku Hanim yang turut membalas pandangan mata Izzat. Hatinya tiba-tiba bergetar bila direnung begitu. Pandangan mata Izzat menceritakan seribu satu rahsia hatinya namun tiada satu pun yang Hanim faham. Malah tidak juga Hanim cuba untuk faham.
            “Tentang?”
            Izzat memandang sekeliling. “Lets talk somewhere else.”
            Hanim turut melemparkan pandangannya ke sekeliling ruang show room tersebut. Memang bukan tempat yang sesuai untuk bercakap selain daripada soal kerja dan dia tahu yang Izzat ingin berbincang tentang hal peribadi dengannya. Tetapi rasa berat sungguh hati untuk mengikut Izzat ke tempat lain.
            “Please Hanim. For once and this gonna be my last.”
            Akhirnya dengan rasa berat hati Hanim angguk setuju. Walau hanya seketika, tetap juga Izzat merasa lega dengan persetujuan Hanim itu. Hari ini dia nekad. Nekad untuk mendapatkan persetujuan Hanim. Rasa serba salah atau keliru yang selalu bermain di mindanya telah dibuang jauh. Malam tadi lama dia berdiskusi dengan Arham tentang rasa hati dan hajatnya itu. Segala baik dan buruk tindakannya juga telah Arham jelaskan. Dan selepas dia mengadap ilahi pada waktu subuh tadi, hatinya bertambah nekad untuk meluahkan segalanya kepada Hanim.
            Kereta barunya itu dipandu laju membelah jalan raya yang mulai sibuk. Sudah hampir ke waktu tengah hari, semua yang bekerja mula keluar untuk mencari makanan sebagai alas perut. Izzat yang fokus pada pemanduan serius memandang jalan raya di hadapan. Hanim di sebelah seperti biasa hanya diam membatu. Tiada satu patah kata pun yang keluar dari bibirnya sejak mereka masuk ke dalam kereta Izzat.
            Sambil memandu Izzat tenggelam di dalam dunianya sendiri. Terngiang-ngiang suara Arham memberi nasihat dan panduan kepadanya malam tadi. Bila dihubungi, dengan senang hati Arham meluangkan masa untuk mendengar keluh kesah hatinya. Sungguh lah, Arham memang seorang sahabat yang sejati.
            “Apa yang kau nak buat ni Zat, ada baik dan buruknya. Kau dah fikir habis ke?”
            “Dah Arham. Lepas kejadian hari tu, hati aku makin tekad untuk menjaga dia. Naluri aku untuk melindungi dia bertambah kuat.”
            Arham angguk faham. “Aku setuju tindakan kau untuk menghalalkan hubungan kau dengan dia. Elok sangat lah tu. Dalam islam pun tidak digalakkan untuk lelaki dan perempuan bersama dan bermesra tanpa sebarang ikatan. Niat kau untuk melindungi dia itu satu sifat yang terpuji Izzat. Jujur, aku bangga dengan kau. Cuma…”
            “Cuma?”
            “Seperti yang aku katakan tadi, apa yang bakal kau lakukan ini ada baik dan buruknya. Aku risau kalau selepas kau kahwin nanti segala niat dan hala tuju perkahwinan kau mula terpesong. Kau pun tahu kan, antara perkara yang syaitan tak suka adalah perkahwinan. Bila dah kahwin nanti kalau tak banyak, sikit pasti ada permasalahan di antara suami isteri yang akan timbul.”
            “Kau risau kalau aku tak mampu nak uruskan semua tu dengan baik? Kau risau kalau aku putus asa dengan perkahwinan aku sendiri? Kau risau kalau aku menyesal dengan perkahwinan aku nanti?”
            Dengan separuh hati Arham angguk.
            “Ustaz, kau ingat tak beberapa minggu sudah, kau pernah ceramah dekat aku tentang tanggungjawab dan amanah seorang suami?” Arham angguk lagi. “Yakin betul kau ceramahkan aku waktu tu.”
            “Itu sebelum aku tahu yang kau nak kahwin dengan dia tanpa cinta. Itu sebelum aku tahu kau nak kahwin semata kerana naluri melindungi kau tu Izzat,” sedikit keras suara Arham saat itu. Entah kenapa risau betul rasanya bila Izzat sekali lagi meluahkan niat untuk berkahwin. Mungkin kerana dia terlalu memandang tinggi darjat sesebuah perkahwinan walaupun perkahwinan itu tanpa rasa cinta.
            Bahu Arham ditepuk perlahan. “Aku masih ingat segala pesanan kau ustaz. Ni,” Izzat menekan dada kiri. “semuanya masih kemas tersemat di sini. Aku harap sangat ustaz… Aku harap sangat doa dari kau selain daripada doa aku sendiri…” Ucap Izzat penuh pengharapan. Lama Arham memandang wajah sahabatnya itu sebelum kepalanya tertunduk memandang bumi yang dipijak.

DUDUK saling berhadapan, namun dua pasang mata itu tunak memandang gelas yang masih penuh dengan minuman yang dipesan. Pintu hati mula diketuk dengan pelbagai persoalan. Tetapi tiada satu pun yang terluah. Serentak mereka mengangkat pandangan dan dua pasang mata itu mula bertaut. Sepasang mata Hanim hanya kosong memandang manakala sepasang mata Izzat pula sarat dengan pelbagai rasa.
            “Beri saya peluang Hanim.” Izzat memulakan bicara terus pada niat utamanya.
            “Peluang apa?”
            “Peluang untuk jaga awak.”
            Hanim mendengus perlahan seraya membuang pandang ke luar restoran. Lagi-lagi itu yang Izzat mahukan. Kalau ikutkan hati mahu saja dia berlalu pergi. Tetapi dia juga yang bersetuju mengikut Izzat ke sini tadi. Nafas ditarik dalam, cuba mencipta ayat yang sesuai untuk diluahkan kepada Izzat.
            “Macam mana saya nak beri awak peluang sedangkan peluang itu tidak pernah wujud pun.”
            “Hanim…”
            Hanim menggeleng. “Saya tak faham. Kenapa mesti saya? Dalam ramai-ramai perempuan di luar sana kenapa mesti saya Encik Izzat. Saya percaya, di luar sana lebih ramai perempuan yang memerlukan perlindungan lebih daripada yang saya perlu. Saya dengan awak, kita berdua tak ada apa-apa hubungan pun Encik Izzat. Kenapa mesti Encik Izzat buang masa mencari peluang untuk masuk ke dalam hidup saya macam ni,” tidak tahu bagaimana lagi harus dia terangkan supaya Izzat faham. Lelaki ini sepertinya langsung tidak mahu memahami apa yang dia katakan seketika tadi.
            “We’re connected Hanim. Not physically but emotionally.”
            Hanim terdiam. Menunggu penjelasan daripada Izzat.
            “Dunia kita berbeza. Perjalanan hidup kita juga berbeza. Tetapi satu yang sama, kesedihan.” Jeda. Izzat bersandar ke belakang. “Kesedihan dalam mata awak, kesedihan dalam diri awak, saya nampak semua itu Hanim.”
            Hanim tersenyum sinis. “Baru sekali awak dengar saya dituduh macam-macam, awak fikir awak sudah kenal siapa saya?” Sekali lagi Hanim tersenyum sinis. “Jangan cuba buat lawak Encik Izzat. Tak kelakar.”
            Hatinya langsung tidak terusik dengan senyuman sinis Hanim itu tadi. Malah hatinya lebih kuat mengatakan yang Hanim berpura-pura kuat di hadapan dia. “Awak fikir saya tak tahu apa yang sedang awak fikirkan? Awak fikir saya tidak tahu apa yang ada di dalam hati awak?” Balas Izzat tanpa teragak-agak.
            Hanim terdiam. Tajam matanya membalas pandangan mata Izzat saat itu.
            “Nope, I’m not a psychic. Tapi mata awak menceritakan segalanya Hanim. Perilaku awak… They speak louder than you. Masih nak nafikan lagi?”
            Hanim tunduk. Akhirnya kalah juga dengan Izzat walaupun hujah Izzat itu langsung tak kukuh. “Awak tak faham Encik Izzat.”
            “Jadi, cuba fahamkan saya.”
            “My life is complicated. Very complicated. Saya tak mahu merumitkan lagi hidup saya dengan berkahwin dengan awak. Soal nikah kahwin ni berat Encik Izzat. Bukan boleh dibuat main. Cukup lah sekali, saya tak nak pisang berbuah dua kali.”
            “Cukup lah sekali? Apa maksud awak?”
            Wajah diangkat. Lama direnung wajah Izzat yang meminta penjelasan itu. Kalau hanya ini caranya untuk membuatkan Izzat berhenti berharap, dia akan berterus terang tentang semuanya. Biar jelas mengapa dia berkeras menolak lamaran lelaki itu.
            “Saya pernah berkahwin. Lelaki yang Encik Izzat nampak tempoh hari adalah bekas suami saya.”
            Terhenyak di tempat duduk sendiri, bahu Izzat melurut jatuh. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah Hanim. Mencari kebenaran di balik kata-kata wanita itu. Melihat riak Hanim yang serius dan sedikit pun tidak mengalihkan pandangan daripada renungannya, tahu lah Izzat bahawa kata-kata Hanim itu benar belaka. Dunia sekitar bagaikan berpusing. Suara-suara di sekelilingnya juga hilang dari pendengaran. Buat seketika dia bagaikan hanyut di dalam dunianya sendiri. Hanim pernah berkahwin, dalam kata lainnya status Hanim sekarang adalah janda. Tidak dia sangka wanita semuda ini memegang status janda.
            “Terkejut?” Tiada niat untuk menyindir. Namun pada pandangan matanya itu lah apa yang Izzat rasakan sekarang. Lelaki itu langsung tidak bersuara setelah mendengar pengakuan dia yang maha besar itu tadi.
            “Hanim… Saya…”
            “Saya yakin, niat Encik Izzat untuk memperisterikan saya sudah mula tersasar bukan?”
            Angguk tidak, geleng pun tidak. Ternyata dia sedang keliru sekarang. Namun apa yang pasti, berita ini sedikit menggugat keputusan yang telah dibuat. “If you don’t mind, may I know how and why?”
            Hanim menelan air liur yang terasa kelat. “Macam mana saya boleh berkahwin dan kenapa saya bercerai?” Soal Hanim menginginkan kepastian dan Izzat hanya mengangguk sebagai jawapan.
            Hanim tunduk bermain dengan jari sendiri. “Kita baru kenal, itu pun atas dasar kerja. Tapi awak terus ajak saya kahwin. Saya dengan dia dulu macam tu lah. Kami baru kenal tak sampai setahun dan bila dia ajak saya kahwin terus saya setuju walaupun waktu tu kami hanya berkawan bukan bercinta.”
            Izzat hanya diam mendengar.
            “Setelah kami berkahwin, layanan dia terhadap saya tidak berubah. Tetap juga dia layan saya seperti seorang kawan. Same goes to me, saya layan dia seperti seorang kawan bukan sebagai suami. Sama ada di hadapan keluarga atau tidak, layanan kami tetap sama. Saya tahu, mentua saya kurang senang dengan perhubungan kami yang sebegitu. Tapi bagi saya asalkan kami selesa dengan keadaan macam tu untuk apa kami berubah. Pendek akal juga saya waktu.” Hanim tersenyum mengenangkan kebodohan sendiri.
“Hampir tiga bulan kami berkahwin, dia mula berubah. Secara perlahan-lahan dia mula menjauhkan diri dari saya dan karakter dia juga mula berubah. Kurang bercakap dan apa yang saya katakan dia iakan saja. There was no two ways communication between us. Semua saya yang uruskan sendiri. Segala keputusan saya buat sendiri. Dia bagaikan patung di dalam rumah kami.”
Kemudian mata Hanim mula berkaca. “Tiga bulan kemudian kami bercerai atas alasan kami tidak sehaluan lagi. Dia terima penceraian kami dengan hati yang lapang tapi tidak bagi saya sebab waktu tu saya dah mula sayangkan dia sebagai suami. Tapi semuanya sudah terlambat, jodoh kami memang hanya setakat itu sahaja.” Hanim menghela nafas lega setelah dia menyudahkan ceritanya. Mata dipejam, cuba diusir cecair jernih yang mula terbit dan menuruni pipi mulusnya itu.
Dalam diam Izzat membuat kesimpulan. Cinta yang tidak kesampaian adalah punca kepada duka yang terlahir dari sinar mata yang bundar itu. Hanim kecundang dalam kisah cintanya. Hanim kecewa dalam kisah rumah tangganya. Hanim menderita dalam kisah penceraiannya. Dan yang pasti, Hanim masih terluka…
“Kegagalan dalam perkahwinan yang terdahulu membuatkan saya takut untuk berkahwin lagi. Saya memang tidak ditakdirkan untuk menjadi seorang isteri Encik Izzat. Ilmu rumah tangga saya sangat cetek dan saya tidak yakin yang saya mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik. Saya juga tidak yakin yang saya mampu memberi sepenuh komitmen pada rumah tangga saya.” Matanya yang bersinar duka mula membalas renungan mata Izzat.
“Perkahwinan kami gagal berpunca daripada kami sendiri. Membuat keputusan untuk berkahwin dengan orang yang saya kenal dalam waktu yang singkat adalah satu kesilapan yang tak akan pernah saya lupa sampai bila-bila. Untuk melalui kegagalan yang sama, saya tidak mampu Encik Izzat. Saya tak mampu…” Lemah Hanim menggeleng dan air mata yang ditahan akhirnya tumpah juga.
“Hanim…”
“Saya harap Encik Izzat faham kenapa saya berkeras menolak encik dalam hidup saya.” potong Hanim sebelum dia bangun dan berlalu meninggalkan Izzat yang hanya terdiam di tempat duduknya.

Izzat menutup wajahnya dengan kedua belah tangan. Itu lah wanita yang kau cuba bantu Izzat, itu lah wanita yang kau mahu lindungi. Dia pernah terluka dan masih terluka. Mampukah kau mengubah hidupnya yang kelam menjadi ceria? Sanggupkah kau berkahwin dengan seorang janda?

No comments:

Post a Comment