6 July 2017

KUNCI HATI HANIM BAB 1

BAB 1

SURAH YASIN dibaca untuk kali ketiga. Hati yang merindu beransur tenang tetapi air mata masih setia menitis membasahi pipinya yang mulus. Dengan nafas yang tersekat dia meneruskan bacaan. Walaupun matanya tunak memandang pada surah yasin di tangan, namun fikirannya jauh melayang mengimbau kenangan-kenangan silam. Makin terdera rasa hati namun dia cuba untuk bertahan dan setia meneruskan bacaannya.
            Usai bacaannya yasin ditutup rapat dan dikucup lama. Bergenang lagi mata yang sudah sedia terhenti seketika tadi. Lalu nafas ditarik dalam bagi mengumpul segala kekuatan yang masih bersisa. Setelah apa yang telah terjadi, masih bersisa kah kekuatannya? Ya, masih...
            Air disiram dan bunga ditabur. Kuburan itu kelihatan segar dan berbau wangi. Nisan dipegang kemas dengan mata yang terpejam. Rindu... Hanim rindukan ibu. Terlalu cepat ibu tinggalkan Hanim sedangkan Hanim masih perlukan ibu di sisi. Sangat-sangat perlukan ibu. Hidup Hanim sudah berubah ibu. Semuanya sudah berubah. Hanim keseorang kini. Abang dan adik langsung tidak mahu cuba memahami keadaan Hanim. Bagaimana harus Hanim meneruskan hidup Hanim ibu?
            Hati Hanim berbisik sayu. Jiwanya meronta. Mahukan sedikit ketenangan dan juga kebahagian. Namun tiada siapa yang memahami kemahuan jiwanya. Hanya pusara ini lah tempaat dia mengadu segalanya. Walaupun jasad ibunya telah tiada, pusara ibunya bisa menjadi peneman yang setia.
            Terasa lama dia mengadu nasib di situ, Hanim bangun dan mengemas semua barang yang dibawa dan bersedia untuk pulang. Angin bertiup lembut membuatkan selendangnya berterbangan. Mujur saja selendangnya sudah dipin dengan kemas.
            “Hanim balik dulu ibu, nanti Hanim datang lagi. Assalamualaikum ibu ku sayang...” Ucap Hanim dengan nada yang sebak.
            Langkah diatur meninggalkan pusara Puan Humairah dengan hati dan jiwa yang walang. Langkahnya longlai, langsung tidak bertenaga. Hidup mesti diteruskan Hanim. Itu lah ayat keramat yang selalu disemat di dalam hati. Tetapi persoalannya, bagaimana?


BACAAN Izzat tidak lancar seperti kebiasaannya. Walaupun bibirnya tidak henti mengalunkan bacaan ayat suci al-quran, namun matanya tidak lepas daripada memandang susuk tubuh yang telah berlalu meninggalkan tanah perkuburan itu.  Sedikit terganggu bacaannya hari ini dengan kehadiran gadis berkurung hitam itu. Lama matanya tertacap pada si dia yang semakin menghilang sebelum lengannya dicuit oleh kakaknya yang turut berada di sisi.
            Sedar dengan kealpaannya, Izzat kembali fokus pada yasin di tangan. Walaupun matanya tertacap di situ, namun fikirannya tidak pernah berhenti dari memikirkan tentang gadis yang dilihatnya tadi. Ada satu keinginan yang mula hadir. Keinginan untuk melihat gadis itu sekali lagi.
            Selesai membaca yasin di pusara kedua ibu dan bapanya, Izzat dan kakaknya, Irma bangun dan berlalu meninggalkan kawasan perkuburan itu. Saat dia melintasi pusara yang dilawati gadis berkurung hitam, matanya terus terarah pada tanah kubur yang basah dan dipenuhi degan taburan bunga. Pusara siapa agaknya ini? Rasa ingin tahu mula mencucuk tangkai hati dan spontan langkah kakinya terhenti.
            “Izzat?”
            Izzat memandang Irma yang sedikit terkehadapan.
            “Kenapa?” Soal Irma dengan kerutan di dahi.
            Izzat hanya menggeleng sebagai jawapan dan kembali mengatur langkah untuk ke kereta. Irma yang ditinggalkan di belakang merenung tajam ke arah adiknya itu. Kenapa pelik sangat kelakuan adiknya hari ini? Dari tadi lagi dia perasan yang Izzat seperti kehilangan fokus dan fikiran adiknya itu seperti sedikit terganggu. Tetapi kenapa?
            Pintu kereta ditutup perlahan dan Irma terus menoleh ke arah Izzat yang sudah mula meneruskan pemanduan. Walau pun riak pada wajah adiknya itu kelihatan biasa saja, namun dia pasti yang fikiran adiknya tidak setenang raut pada wajahnya itu.
            “Ada masalah ke?” Soal Irma tanpaa dapat ditahan.
            Izzat menoleh ke arah Irma seketika sebelum kembali memandang ke hadapan. “Tak ada.”
            “Habis tu kenapa kakak tengok macam ada yang tak kena saja dengan Izzat hari ini.”
            “Apa yang tak kena?”
            “You are not being you. Seems like you’re lost in your own thoughts. Fikir apa?”
            “Nothing.”
            Irma mendengus geram. Izzat selalu macam tu, tak suka nak berkongsi apa pun dengan dia. Mereka dah lah ada dua beradik saja, tapi dia rasa seperti dia anak tunggal pula. Izzat ni, suka buat hal sendiri. Kalau ada apa-apa masalah langsung tak nak kongsi.
            “Kakak ni, kakak Izzat tau.” Irma menjeling Izzat yang sedang fokus memandu.
            “Tak ada siapa pun yang cakap kakak tu bukan kakak Izzat.”
            Irma mendengus lagi. “Habis tu, share la dengan kakak. Tak kan semuanya nak simpa sendiri.”
            “Tak ada apa yang nak dikongsikan kakak.” Ucap Izzat tanpa nada.
            Dia Izzat Hazril. Seorang yang lebih suka buat hal sendiri tanpa mempedulikan pandangan orang sekeliling termasuklah kakaknya Irma. Selama mereka hidup Irma tidak pernah kisah dengan perangai ‘lone ranger’ dia tu, tapi hari ni tiba-tiba kakak dia bertukar kepochi pula. Entah apa yang tidak kena dengan kakak dia hari ni.
            “Izzat memang selalu macam tu kan, tak pernah anggap kakak ni kakak Izzat.” Tangan membelit dada sendiri. Ye, dia dengan Izzat bukan lah rapat seperti adik dan kakak yang lain. Tapi sekurang-kurangnya dia mencuba untuk rapat semula dengan adiknya itu. Tapi Izzat...
            “Jangan nak mengarut la kakak.”
            “Kakak tak mengarut, I’m telling you the truth. Izzat tu je yang tak nak terima kenyataan...”
            Tangan Izzat mula menekan punat yang terdapat pada steering kereta dan keretanya mula bergema dengan suara Josh Groban. Volume dinaikkan dan suara Irma terus ditenggelami oleh suara merdu Josh Groban itu.
            “Ish... Dia ni!” Irma hanya mampu mendengus geram dan membuang pandang ke luar tingkap. Manakala Izzat pula meneruskan pemanduan seperti tiada apa yang berlaku.


KAKI terpasak di hadapan pintu rumah saat mendengar suara orang bertengkar dari dalam. Jelas kedengaran suara abang dan ayahnya sedang bertelingkah tetapi Hanim tidak pasti tentang apa. Dia cuba untuk mendengar dengan teliti namun butir bicara mereka semakin lama semakin kurang jelas. Lalu tanpa dapat ditahan Hanim terus menyerbu masuk ke dalam rumahnya.
            “Kenapa bising-bising ni abang?”
            Semua mata terarah pada Hanim yang tercegat di muka pintu rumah besar itu. Kelihatan Tuan Yazid dan Hasif sedang berhadapan dengan wajah yang menyinga. Manakala Hazrul pula berdiri agak jauh daripada abang dan ayahnya, seperti tidak mahu ikut campur dalam pergaduhan itu.
            “Ayah?”
            Hanim berjalan menghampiri kedua lelaki yang sangat dia sayangi dengan wajah yang kusut dan penuh dengan persoalan.
            “Ask your brother,” jawab Tuan Yazid dengan suara yang keras.
            Hanim mengalihkan pandangan ke arah Hasif yang masih menyinga. Jelas kelihatan rahang abangnya yang bergerak menahan marah. Begitu lah Hasif bila marah sedang merajai hatinya.
            “Orang tua tak sedar diri ni nak rampas hak kita Hanim!”
            Memetir suara Hasif di dalam rumah peninggalan arwah Puan Humairah. Terjungkit bahu bahu Hanim dan Hazrul kerana terkejut. Tuan Yazid yang sudah sedia maklum dengan kemarahan anaknya memandang tajam ke arah Hasif. Dari tadi itu sajalah gelaran yang Hasif berikan kepada dia, orang tua tak sedar diri.
            “Ayah… Betul ke?” Mata Hanim mula berkaca. Hatinya masih ragu dengan kenyataan yang baru didengari itu tadi, tetapi mustahil abannya menipu kalau dah begini keadaan Hasif.
            “Aku cuma nak tuntut hak aku, itu saja.”
            “HAK APA?!”
            Terpejam mata Hanim mendengar jerkahan abangnya.
            “Hak apa yang kau nak tuntut ha? Rumah ni? Kereta dekat luar tu? Tanah dekat kampung? Tak cukup lagi ke dengan duit pencen arwah mak yang kau dah bolot selama ni? Tak cukup lagi ke?” Berang dengan kata-kata Tuan Yazid, habis dimuntahkan semua amarahnya.
            “Abang, jangan la cakap macam tu. He is our father, hormat la sikit.” Hanim menegur dalam ketakutan. Kurang senang dengan kata-kata yang Hasif lemparkan kepada ayahnya.
            “Nak hormat buat apa? Orang tua yang busuk hati macam ni tak layak untuk kita hormat.”
            “Walau apa pun, ayah tetap ayah kita abang.”
            “No Hanim! Abang tak nak dengar kau cakap macam tu lagi.”
            “Tapi…”
            “Kakak.” Hazrul mencelah. Tidak mahu Hanim meneruskan bicaranya lagi, bimbang kalau Hanim pula yang menjadi mangsa kata-kata kesat Hasif. Faham dengan isyarat yang diberikan, Hanim terus terdiam.
            “Kau keluar sekarang. Aku tak nak tengok lagi muka kau dekat sini.”
            “Bukan aku yang sepatutnya keluar, tapi kau orang semua yang perlu keluar dari rumah ini.”
            Wajah diangkat dan Hanim memandang Tuan Yazid dengan riak tidak percaya. Air mata yang memberat juga sudah mula menitis. Jari jemari mula terketar-ketar, tidak sangka seorang ayah sanggup menghalau anak-anaknya dari rumah mereka sendiri.
            “Kau…”
            Hazrul terus berlari mendapatkan Hasif dan badan abangnya itu dipeluk kemas, menghalang Hasif daripada bertindak luar batasan.
            “Sabar lah abang,” pujukan Hazrul bagaikan angin lalu pada pendengaran Hasif. Sedaya upaya dia cuba melepaskan diri daripada pelukan adiknya itu. Ingin ditumbuk wajah tidak malu seorang ayah. Sudah lah arwah ibunya diperlakukan seperti orang tidak berperasaan, sekarang giliran mereka adik beradik pula yang perlu menghadap ketamakan seorang lelaki yang bergelar ayah.
            “Ayah, baliklah. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan tentang perkara ini.” Hazrul terpaksa bersuara lagi bila melihat ayahnya langsung tidak bergerak dari tempat dia berdiri. Tegar benar ayahnya menuntut hak yang sememangnya milik mereka adik beradik.
            “Kalau bukan sekarang bila lagi?” Tuan Yazid masih bersuara keras.
Sudah lama dia menantikan saat ini, saat untuk menuntut segala aset yang ditinggalkan oleh arwah bekas isterinya. Tetapi anak-anak dia sangat susah untuk dibawa berbicang. Tengok sajalah apa yang terjadi hari ini. Elok-elok dia datang, semburan kata-kata kesat pula yang dia terima.
            “Ayah, cuba lah faham keadaan kami sekarang ni.”
            Sungguh Hazrul kesal dengan tindakan ayahnya itu. Langsung tidak mahu bertolak ansur padahal mereka bukannya orang lain. Anak-anak dia juga. Kenapa lah ayah dia boleh berubah sekejam ini.
            “Orang tua ni memang tak faham bahasa Hazrul. Kau lepas, biar aku tumbuk muka orang tua ni. Dah kena sebiji baru nak sedar agaknya.” Hasif masih berusaha untuk melepaskan diri daripada Hazrul tetapi badan tegap adiknya itu agak menyukarkan dia untuk bebas.
            “Ayah balik dulu ye, nanti Hanim cuba bincang dengan abang dan Hazrul. Bila semuanya dah reda Hanim cari ayah ye,” pujuk Hanim dengan hati yang hiba. Walau marah macam mana sekalipun dengan Tuan Yazid, rasa hormat terhadap seorang ayah tetap menebal.
            Tangan Tuan Yazid ditarik lembut supaya mengikutnya keluar dari rumah itu. Nasib baik lah tanpa sebarang kata Tuan Yazid mengikut langkah kaki Hanim. Anak perempuan tunggalnya ini baik orangnya. Hanya Hanim yang masih setia hormatkan dia.
            “Ayah akan datang semula untuk tuntut hak ayah.”
            Kata-kata terakhir Tuan Yazid sebelum berlalu meninggalkan Hanim yang tercegat di laman rumah. Belakang ayahnya yang semakin menghilang dipandang dengan rasa tidak percaya. Hingga ke saat ini ayahnya tetap juga mahu menuntut hak yang sudah terang bukan milik dia. Hanim mengeluh berat.saraya berpaling untuk melangkah ke dalam semula. Namun langkahnya terhenti bila melihat Hasif dan Hazrul berdiri di muka pintu sambil memeluk tubuh.
            “Itu lah orang tua yang kau hormatkan sangat tu. Orang tua tak sedar diri. Sampai ke sudah soal hak saja yang dia ungkapkan. Tak ada kata kasih atau sayang langsung Hanim. Untuk apa lagi kau hormatkan orang tua macam tu. Tak ada gunanya Hanim, tak ada gunanya...” Hasif menggelengkan kepala sebelum melangkah meninggalkan adik-adiknya.
            Hanim dan Hazrul saling berpandangan.
            “Rul sayangkan ayah, tapi lepas apa yang terjadi rasa sayang itu hilang dengan sendirinya kakak. Maafkan Rul. Rul dah tak boleh terima ayah dalam hidup Rul lagi kak. Never.”
            Hazrul juga turut berlalu meninggalkan Hanim. Hampir melurut jatuh tubuh yang lemah itu. Sungguh la dia tidak kuat untuk menghadapi semua ini. Apa lagi yang bakal terjadi nanti?



No comments:

Post a Comment