30 June 2016

Ivy Raihana : Ramadan + Syawal Part 2


HARI ini Fayed sekeluarga akan berbuka puasa di rumah Kak Sal dan Abang Rahim diatas jemputan keluarga tersebut. Bagi menghargai jemputan jiran mereka, Ivy turut menyediakan dessert sebagai buah tangan.
            “Buat susah-susah saja lah Vy nih. Kak Sal ajak dia datang buka puasa dekat sini tapi dia siap bawa bekal lagi ha.” Bekas yang dibawa Ivy diletakkan di atas meja untuk dihidang.
            “Bukan bekal lah Kak Sal. Saja lah buat dessert sikit boleh kita pakat makan ramai-ramai.” Ivy turut membantu Kak Sal di dapur sementara Fayed sedang berbual dengan Abang Rahim di ruang tamu dan Irine pula sedang bermain dengan anak-anak Kak Sal, Anis dan Aqib.
            “Kak Sal raya dekat mana tahu ni?”
            “Dekat Johor Vy. Tahun ni giliran kampung Abang Rahim. Dengarnya family Abang Rahim nak beraya sampai ke Singapura nanti.”
            “Ouh ye ke? Seronok la Kak Sal, boleh merasa beraya dekat Singapura.”
            Kak Sal tersenyum mendengar kata-kata Ivy. “Dekat mana-mana pun sama je Vy.”
            “Lain kak. Lain tempat lain budayanya kan.”
            “Betul juga tu. Vy tak balik KL ke?”
            “Tak kak, lusa mama dengan ayah balik sini. Abang-abang Ivy pun sama, kebetulan semua giliran sebelah sini tahun ni boleh berkumpul dekat kampung ramai-ramai. Lagi pun memang kampung Ivy dekat sini pun. Lepas raya lah kut balik KL kejap, nak ziarah family mama.”
            “Wah, meriah la raya nanti ye.”
            Ivy senyum. “Memang meriah kak. Nak pula bila saudara yang lain pun balik beraya dekat kampung juga.”
            “Itu lah untungnya kalau ada keluarga besar Vy. Sebab tu orang dulu-dulu suka beranak ramai. Orang sekarang je yang sibuk merancang. Tapi macam akak ni, belum ada rezeki nak tambah ahli keluarga.”
            “Sama lah kak, belum ada rezeki Ivy juga untuk tambah ahli. Irine pun dah besar rasanya sesuai sangat dah kalau nak bagi dia adik.”
            “Tak apa Vy, in shaa Allah ada rezeki Vy nanti.” Kak Sal mengusap lembut bahu Ivy. “Haa ni lupa pula Kak Sal nak bagi tahu, Kak Sal jemput Syed datang berbuka dengan kita juga Vy. Kesian budak tu berbuka sorang-sorang.” Baru teringat yang dia jemput orang lain juga.
            “Ouh tak apa kak, Ivy okey je.” Tapi dalam hati dah mula risau. Jangan la Syed macam-macam dekat depan Fayed nanti. Bukan Fayed je yang tak suka, dia pun kurang senang dengan kelakuan Syed tu.

SELESAI mengaminkan doa, masing-masing hanya diam menikmati hidangan di atas meja. Mata Syed sibuk memandang suasana di meja makan itu. Abang Rahim dan Kak Sal sibuk melayan Anisa dan Aqib makan manakala Ivy pula sibuk menyuap anaknya yang berada di atas riba Fayed. Sesekali kelihatan Fayed berbisik dengan Ivy sambil menyuakan makanan ke arah isterinya itu.
            “Pandai Ivy layan anak, suka betul saya tengok.”
            Spontan Ivy dan Fayed memandang ke arah Syed yang sedang tersenyum. “Dah jadi ibu, memang lah kena pandai layan anak. It’s normal Syed.” Kata Fayed sebelum meneruskan suapan.
            “Ya, but she is special. Terserlah rasa kasih dan sayang Ivy tu dekat Irine.” Balas Syed dengan mata yang hanya terarah pada Ivy sahaja.
            Ivy ketap bibir. Meremang tiba-tiba mendengar kata-kata Syed. Fayed pula sudah semakin kurang senang dengan bicara Syed. Ni kalau dilayan entah melalut sampai ke mana lagi entah. “Makan la Syed, banyak lagi makanan ni.” Pelawa Fayed seperti dia pula tuan rumah.
            “Haaa makan la, jangan malu-malu. Maaf lah abang ni sibuk melayan si kecil ni tak sempat nak layan kamu semua makan.” Abang Rahim mencelah.
            “Tak apa bang, kami okey je ni.” Balas Fayed yang kembali fokus kepada Irine dan Ivy.
            “Ni semua Kak Sal ke yang masak?” Syed bersuara lagi.
            “Ye Syed, maaf lah kalau tak sedap. Bulan puasa ni tak boleh nak rasa, akak main campak je semua.” Jawab Kak Sal membuatkan semua yang mendengar ketawa.
            “Tak apa kak, Syed faham. Ivy, tak masak ke?” Soal Syed kepada Ivy pula.
            “Erk...” Ivy menoleh ke arah Fayed seketika sebelum kembali memandang ke arah Syed yang sedang tersenyum ke arahnya. Fayed hanya diam menahan rasa. Tak habis lagi ke mamat ni nak beramah mesra dengan isteri dia. Dengan dia ni tak nak pula tanya macam-macam.
“Urm tak... Saya buat dessert je tadi.” Jawab Ivy perlahan.
“Ouh ye? Tak sabar nak rasa dessert yang Ivy buat.”
Ivy menjeling Fayed yang hanya diam di sebelah. Serius dia tak tahu nak cakap apa. Diam lebih baik kut.
“Dessert yang Ivy buat sedap tau Syed, akak pernah rasa. Sekali cuba mesti nak lagi.” Kak Sal cuba bergurau. Tak sedar yang orang dah tak senang duduk dah melihat wajah serius suami di sebelah.
“Ye ke kak? Nak rasa dessert dulu lah kalau macam tu.”
“Habis kan nasi tu dulu Syed. Tak lari dessert dikejar, kan Ivy?” Abang Rahim pun sama dengan Kak Sal, suka bergurau juga. Tak nampak ke orang tu tengah makan hati.
Semakin melebar senyuman Syed mendengar kata-kata Abang Rahim. Ivy dan Fayed hanya diam dan meneruskan suapan.

PULANG dari masjid Fayed terus naik ke atas dan manyambung bacaan al-quran yang terhenti siang tadi. Ivy yang sedang melayan Irine bermain di bawah langsung tak ditegur. Biar lah dia bersendirian untuk seketika.
            Ivy menolak perlahan pintu biliknya, tidak mahu mengganggu Fayed yang sedang mengaji.
            “Daddy!” Irine ingin menerkam ke arah Fayed tetapi dihalang oleh Ivy.
            “Daddy mengaji sayang, jangan ganggu daddy ye. Jom bobok dengan mummy.” Irine ditarik ke arah katil.
            “Tadi dah ngaji.”
            “Tak apa lah mengaji banyak-banyak nanti dapat pahala lepas tu dapat masuk syurga. Kan semua orang nak masuk syurga.”
            “Masuk syurga best ke mummy.”
            “Best sayang, sebab tu semua orang nak masuk syurga.”
            “Mummy nak masuk syurga tak?”
            “Mesti lah nak. Mummy nak masuk syurga dengan Irine dengan daddy dengan semua orang. Irine nak masuk syurga tak?”
            “Nak! Tapi Kak Yeen tak ngaji macam daddy. Kak Yeen ngaji sikit je. ”
            Ivy tersenyum. “Tak apa nanti mummy suruh daddy ajar Irine ngaji banyak-banyak ye.” Kepala Irine diusap perlahan.
            “Okey mummy.”
            “Dah, jom bobok dengan mummy.” Irine terus memanjat dan berbaring di tengah katil. Ivy menarik anaknya ke dalam pelukan dan belakang Irine diusap perlahan. Seketika kemudian dia menjenguk wajah Irine yang sedang lena. Dahi anaknya itu dikucup sebelum dia turun merapati suami yang masih dengan al-quran.
            Sungguh tenang kedengaran bacaan Fayed membuatkan hati dia tiba-tiba menjadi sayu. Lalu dia duduk bersimpuh di belakang Fayed dan kepalanya disandarkan ke belakang Fayed. Damai, itu yang dia rasakan sekarang.
            Sepuluh minit kemudian Fayed menamatkan bacaan lalu quran ditutup. Diam. Terasa berat belakang badannya dengan kepala Ivy. Dah tidur ke isteri dia ni?
            “Ivy...”
            Diam.
            “Vy...”
            Diam.
            “Baby...”
            Diam.
            “Baby boo...”
            Kepala diangkat. “Fayed...” Suara Ivy yang sedikit serak mula kedengaran.
            Fayed berpusing mengadap Ivy. “Tidur ke?”
            Ivy menggeleng. “Tak...”
            “Habis tu?”
            “Sedih.”
            Lama Fayed diam setelah mendengar jawapan Ivy. “Awak marah saya ke?” Soal Ivy dengan suara yang masih serak. Ah, jangan demam pula lepas ni sudah la.
            “Tak, saya tak marah awak pun. Cuma...” Ivy memandang ke dalam anak mata Fayed, menunggu kata-kata Fayed yang selanjutnya. “Cuma saya geram dengan Syed tu. Nampak sangat yang dia sukakan awak Vy.”
            Pipi Fayed diusap perlahan. “Biar lah dia yang... dia syok sendiri je tu. Saya tak suka dia pun. Awak jangan la macam ni, tak seronok la tengok awak emo macam ni yang.”
            Fayed mengeluh perlahan. “Saya pun tak suka Vy, but I can’t help it. Dia tu... ish! Geram betul lah.”
            Tangan Ivy bergerak mengusap dada suaminya pula. “Awak jealous eh?” Soal Ivy dengan mimik muka nakal. Tak suka tengok muka Fayed yang stress, terus dia cuba mengusik si suami. Entah menjadi ke tidak usikan dia tu.
            “Of course I am. Suami apa kalau tak jealous Vy.”
            “Tapi saya tak layan dia pun awak. Fayed...” Tangan Fayed ditarik ke dalam genggaman. “Kalau kita saling percaya isu cemburu ni tak akan timbul tau.”
            Nafas ditarik dalam. “Ivy...” Genggaman tangan Ivy turut dibalas. “Guys don’t get jealous because we don’t trust but we get jealous because we know exactly what the other guy is trying to do. Syed suka awak Vy.”
            Ivy mengeluh perlahan. “So, what should we do? Soal hati dan perasaan kita tak boleh nak halang.”
            “Tapi kita boleh sedarkan. Tak apa lah, give me some time. Nanti saya slow talk dengan dia. Sebenarnya tak elok jatuh cinta dengan isteri orang, berdosa. Tapi tak apa lah, mungkin dia tak tahu ke apa.”
            Sejuk hati Ivy mendengar kata-kata Fayed. “So, can we sleep now?” Dah memang jadi takbiat dia kalau ada masalah semuanya harus diselesaikan sebelum tidur. Kalau tidak tak aman rasanya dia nak lelap, boleh bawa masuk mimpi kut.
            Fayed angguk dengan senyuman. Ivy bangun menyimpan al-quran yang digunakan oleh Fayed dan kemudian tangan Fayed ditarik ke katil. Semoga hari esok baik-baik saja.

SETELAH pulang dari tempat kerja, Faye terus naik ke atas untuk membersihkan diri dan solat. Kemudian dia turun semula ke laman untuk menyusun pasu bunga agar laman rumah mereka kelihatan lebih luas. Senang lah Tuan Ilias nak letak kereta nanti. Irine turut mengekori Fayed ke laman rumah manakala Ivy pula sedang sibuk menyediakan juadah berbuka di dapur.
            “Daddy buat apa?” Soal Irine dari belakang.
            “Daddy nak susun pasu ni kejap. Sayang duduk dekat sana ye.” Arah Fayed. Bimbang kalau terlanggar Irine sewaktu dia mengangkat pasu nanti. Mendengar kata daddynya, Irine terus melabuhkan duduk di atas kerusi batu yang berhampiran.
            “Kenapa daddy angkat pasu tu.”
            “Daddy nak bagi ruang untuk kereta tok ayah. Nanti boleh tok ayah letak kereta dekat sini.”
            “Tok ayah nak datang ke daddy?”
            “Iye sayang, sekejap lagi sampai lah tu. Mummy tak bagi tahu Irine ke?” Sabar sungguh Fayed melayan celoteh anaknya.
            “Tak...” Jawab Irine pendek. Kemudian dia mula memberi fokus pada mainan yang dibawa keluar bersamanya tadi.
            Satu-persatu pasu disusun rapat ke arah pagar yang memisahkan rumah dia dengan rumah Abang Rahim dan Kak Sal yang sunyi tanpa penghuni. Pagi tadi Abang Rahim sekeluarga telah bertolak pulang ke kampung keluarga Abang Rahim di Johor. Yang tinggal hanya jiran sebelah kiri dia saja lah. Tak balik kampung ke jiran dia yang sorang ni. Sedang Fayed sibuk menyusun pasu, Syed yang baru pulang dari tempat kerja menjengah ke laman rumah Fayed.
            “Daddy...” Panggil Irine perlahan.
            “Ye sayang?” Fayed menoleh ke arah Irine dan kelihatan anaknya itu sedang memandang ke sebelah kiri rumah mereka.
Fayed turut memandang ke arah yang sama. Dia dan Syed saling berpandangan. Tidak menunggu lama, Syed mengambil langkah untuk berlalu tetapi langkahnya terhenti bila Fayed memanggil namanya.
“Saya nak cakap dengan awak sekejap.”
“About?” Soal Syed kurang minat. Saja lah dia menjengah tadi bila nampak Irine dengan Fayed di laman rumah mereka. Ingatkan Ivy ada sama tapi langsung tak nampak bayang.
“About you.”
“Me? Kenapa dengan saya?” Jelas kelihatan kerutan di dahi Syed.
Fayed mengelap peluh di dahi dengan belakang tangan. “Macam ni Syed... Saya rasa awak tahu apa yang saya ingin katakan, tapi tak apa lah, biar saya sendiri yang cakap supaya lebih jelas.”
“Shoot.”
“Saya tak suka cara awak menegur dan bercakap dengan isteri saya. Saya juga tak suka cara awak pandang isteri saya.”
Syed ketawa. “Apa yang awak merepek ni?”
“Saya tak merepek Syed. Saya nampak semuanya dan saya faham cara pandangan awak tu. Awak sukakan isteri saya bukan?”
“Habis tu apa masalahnya?”
Giliran Fayed pula yang ketawa. “Memang masalah lah bro... Yang kau suka tu bini aku. Kau tahu tak berdosa kalau kau sukakan isteri orang. Nak pula kau duk menggedik macam tu dengan bini aku walaupun dia tak layan.” Terus berubah panggilan bila rasa amarah mula menguasai diri.
“Dah bini kau tak layan yang kau gelabah sangat kenapa?” Syed menyoal dengan nada mencabar.
Tangan digenggam kemas dan nafas ditarik dalam. Dalam diam dia beristighfar supaya dapat mengawal rasa amarah yang semakin memuncak bila mendengar kata-kata Syed itu tadi. Belum sempat Fayed menjawab, terdengar Irine menjerit memanggil namanya.
“Nek ma dengan Tok ayah dah sampai... yeay!” Sorak Irine keriangan.
Fayed menoleh ke arah dua buah kereta yang berhenti di hadapan pagar rumahnya. Sebuah Vellfire milik Tuan Ilias dan sebuah Range Rover milik Iman. Remote ditekan dan pintu pagar automatik terus terbuka. Saat dia kembali menoleh, Syed sudah hilang dari pandangan. Dah masuk ke dalam rumah agaknya.
Kereta Tuan Ilias yang dipandu oleh Irfan meluncur masuk ke dalam laman rumah Fayed dan Ivy diikuti oleh keretan Iman. Masing-masing keluar dengan wajah kepenatan. Memandu jarak jauh dalam bulan puasa agak memenatkan juga.
Irine  meluru ke arah Tuan Ilias dan masuk ke dalam pelukan Tok ayahnya itu. Fayed turut mendekat untuk bersalam dengan ahli keluarga yang lain. Suara anak-anak kecil mula riuh kedengaran. Masa mula-mula keluar tadi semua macam monyok saja. Sekarang bila dah jumpa geng terus riuh.
“Ivy mana Yed?” Soal Puan Intan bila wajah Ivy langsung tak kelihatan.
“Ada dekat dapur ma. Tak sedar la tu mama dengan ayah dah sampai. Ni, Abang Iq dengan Mad mana? Tak datang sekali ke?” Fayed bergerak mendekati Irfan untuk membantu abangnya itu membawa keluar beg pakaian yang dibawa.
“Malam karang kut diorang sampai, gerak lambat sikit tadi sebab Imad ada hal.” Jawab Irfan.
“Eh ma, jemput lah masuk. Ayah...” Fayed mempelawa mertuanya sementara dia membantu Irfan dan Iman memunggah beg yang dibawa oleh mereka. Puan Intan, Fatihah dan Faye terus masuk ke dalam rumah manakala Tuan Ilias pula sibuk mengawal cucu-cucunya supaya masuk bermain di dalam pula.
“Ada lagi Abang Im?” Fayed mendekati kereta Iman pula.
Hujung kening digaru dengan nafas yang sedikit lelah. “Ada sikit lagi Yed. Haila, dah kata nak cuti seminggu kan, habis semua barang diangkutnya. Beg anak-anak pun dah bertimbun.” Pecah ketawa Fayed dan Irfan mendengar kata-kata Iman.
“Alah bukan selalu Im, setahun sekali kut. Nak pula time raya, mesti budak-budak dengan mak budak nak melaram kan.” Kata Irfan pula. Dia lagi la, anak tiga kut. Kalau dah seorang pun dekat sepuluh pasang baju, haa kira lah yang lagi dua tu. Tambah pula dengan yang isteri dia punya. Memang patut la dia naik Vellfire dengan ayah dia hari ni, senang nak muat beg.
“Itu lah Abang Ipan, sebab fikir macam tu la Im turutkan saja kemahuan Faye dan anak-anak. Kerana sayang ku turutkan.” Iman bercanda. Boleh tahan juga Iman ni bila dia buka mulut. Sekali lagi ketawa mereka bergabung.
“Mari lah Yed tolong Abang Im...”
Sementara di dalam rumah pula....
“Ivy...” Puan Intan menjengah ke ruang dapur bila bayang Ivy tidak kelihatan di ruang tamu. Ivy yang sedang sibuk mengacau gulai ayam kampung di atas dapur terus berpaling dengan senduk di tangan.
“Ma!!!” Jeritnya sekuat hati bila melihat Puan Intan serta Fatihah dan Faye yang sedang tersenyum ke arahnya. Sebijik macam Irine sewaktu melihat Tok ayahnya keluar dari kereta tadi.
“Masak apa Vy?” Soal Puan Intan sambil menjenguk ke arah periuk yang berasap di atas dapur.
“Haah Vy, dari luar lagi dah bau. Masak apa?” Faye turut mencelah.
“Gulai ayam kampung, ayah’s favourite.” Ivy tayang sengih. Percubaan pertama dia, harap-harap menjadi lah.
“Wahhh... Patut la sedap je bau.” Fatihah menarik nafas dalam, menghidu bau gulai ayam kampung Ivy.
“Eee... Bau je yang sedap, rasa tak tahu lah macam mana Kak Tihah, Kak Faye.”
“Alaa kalau bau sedap mesti rasa pun sedap juga. Kan ma?”
“Haah Faye. Anak mama ni kan dah pandai masak sekarang, mesti lah sedap.” Kepala Ivy diusap sayang. Tersengih saja lah anak dia tu.
“Mari la kami tolong. Sempat lagi ni nak masak barang satu dua juadah, kan Faye.” Fatihah mula bergerak ke arah island table yang terdapat bahan mentah di atasnya. Entah apa lagi lah agaknya yang adik ipar dia nak masak agaknya.
“Jom Kak Tihah. Tengok barang banyak macam ni terus rasa nak masak.” Lengan baju dilipat dan tangan mula bergerak membuat kerja.
“Eh, tak payah la. Mesti Kak Tihah dengan Kak Faye penatkan. Pergi lah berehat dekat atas. Semua ni biar Vy saja yang uruskan.” Ivy mendekati kakak-kakak iparnya yang sudah mula memotong sayur dan segala macam bahan untuk dimasak.
“Tak apa lah Vy, kami tak penat pun. Abang Vy je lah yang penat drive jauh.” Faye menruskan tugasannya tanpa mengendahkan Ivy yang menghalang.
“Vy pergi lah jumpa dengan ayah dekat luar dulu. Kesian ayah kena layan budak-budak tu sorang diri. Fayed tengah tolong Abang Ipan dengan Im dekat luar rasanya.” Kata Fatihah pula.
“Habis tu mama nak buat apa?” Puan Intan mencelah. Dari tadi dia hanya diam memandang gelagat anak menantunya.
“Mama teman ayah dekat luar ye. Yang dekat dapur ni biar Faye dengan Kak Tihah yang uruskan.” Jawab Faye dengan senyuman. Bila dia dengan birasnya yang lain ada, memang Puan Intan tidak dibenarkan untuk masuk ke dapur. Biar mama mertuanya berehat saja dan segala kerja di dapur biar anak menantu yang uruskan.

“Kalau macam tu Vy ke depan dulu ye kakak-kakakku sayang.” Tangan Puan Intan ditarik untuk ke hadapan. Fatihah dan Faye hanya tersenyum melihat gelagat Ivy bila bersama dengan Puan Intan. 

PULANG dari solat terawih semua duduk berkumpul di tengah ruang tamu. Bersembang sambil menunggu Iqbal dan Imad yang masih belum tiba. Walaupun sudah hampir ke pukul sepuluh malam, cucu-cucu Tuan Ilias dan Puan Intan masih seronok berkejaran. Hanya Idris, anak kedua Iman dan Faye saja yang sudah lena di pangkuan ibunya.
            “Ni mama dah belikan biskut raya yang Ivy pesan tu.” Kata Puan Intan sambil menjinjit beg kertas di kiri dan kanan. Kemudian beg kertas tersebut diletakkan di tengah-tengah ruang tamu. Terus Ivy bergerak merapati mamanya.
            “Kak Tihah pun ada belikan biskut raya untuk Ivy juga. Sekejap kakak pergi ambil dekat dalam bilik.”
            “Banyak ke Kak Tihah?”
            “Tak lah...” Fatihah terus berlalu ke tingkat atas.
            “Tart ada tak ma?”
            “Mesti lah ada. Kalau tak ada karang merajuk pula anak mama ni.” Satu-persatu bbekas yang berisi biskut raya dikeluarkan. Pantas saja tangan Ivy bergerak membuka bekas yang berisi tart nenas lalu dimasukkan ke dalam mulut.
            “Macam mana? Sedap tak?”

            Laju Ivy angguk dengan mulut yang penuh. “Sedapnya ma. Letak je dalam mulut terus cair. Kak Faye, meh la rasa.” Kakak iparnya turut diajak sama.
            “Abang...” Faye memberi isyarat mata kepada Iman.
            “Meh la abang pegang Idris tu.” Kata Iman yang faham dengan bahasa isyarat isterinya. Terus melebar senyuman di wajah Faye lalu Idris diserahkan kepada Iman. Lena sungguh anak dia tidur langsung tak bergerak.
            “Kak Faye nak tart juga Vy.”
            “Nah...” Sebiji tart nenas disuapkan ke mulut Faye. Kembung pipi kakak iparnya itu menerima suapan Ivy. “Sedap kan kak?” Faye hanya mampu angguk kerana mulutnya masih penuh dengan tart nenas yang disuap oleh Ivy tadi. Puan Intan senyum puas hati.
            Kemudian Fatihah turun dengan membawa dua bekas biskut di tangan. “Ni yang adik Kak Tihah buat.” Bekas tersebut dihulurkan kepada Ivy dan Faye.
            “Adik Kak Tihah buat sendiri? Rajinnya....”
            “Iye Faye. Dia memang dari dulu suka buat biskut raya ni semua. Kak Tihah suka makan je.”
            “Tak cakap pun dah tahu yang.” Irfan mencelah. Jelingan dihadiahkan kepada si suami yang sedang tersenyum.
            “Sama lah dengan yang kat depan Kak Tihah tu.” Iman turut ikut sama mengusik si isteri. Tapi lain pula reaksi Faye, selamba saja angkat tangan tanda peace dengan mulut yang penuh dengan biskut Fatihah. Reaksi Faye membuatkan semua yang melihat ketawa.
            “Fayed? Tak nak tambah apa-apa ke?” Soal Tuan Ilias kepada menantu lelaki tunggalnya itu.
            Fayed menggeleng membuatkan Ivy tersenyum senang hati. “Tak kut ayah. Kalau dah import dari mama tu tak payah nak cakap apa lagi lah kan yah.”
            “Fayed!”
            Sekali lagi ruang tamu rumah Ivy dan Fayed bergema dengan ketawa mereka sekeluarga.
            “Nanti Faye nak buat kek lah ma. Baru lah complete kan.” Faye kembali bersuara.
            “Faye nak buat kek apa?”
            “Mama nak makan kek apa?”
            “Ivy suka cheese cake.”
            “Kak Tihah pun suka cheese cake. Faye buatkan kami cheese cake boleh?”
            “Alright, boleh. Mama, nak request kek apa?”
            “Urm... Mama nak kek batik Sarawak.”
            “Alaaa... Yang tu tak mampu la ma. Faye tak pandai.”
            Puan Intan ketawa. “Tak ada lah, mama gurau je. Kek apa pun okey.”
            “Tengok tu, orang perempuan kalau bercakap pasal kek ke biskut ke tak pandang kiri kanan dah. Itu belum masuk bab baju raya lah, langsir raya lah, perabot raya lah. Haa... bab perabot tu boleh buat yang lelaki pengsan.” Kata Tuan Ilias.
            “Kenapa ayah?”
            “Macam mana tak pengsan Yed kalau dah tiap kali raya nak tukar perabot. Boleh botak lah kita.” Ketawa anak menantu mendengar celoteh Tuan Ilias. Boleh tahan juga Tuan Ilias ni bila bercakap.
            Puan Intan sudah menjeling. “Melampau lah tu...” Tuan Ilias hanya tersengih mendengar komen Puan Intan.
            Sedang mereka asyik berbual, tiba-tiba Fiya datang meluru ke arah Irfan sambil menangis. “Kenapa ni kakak?” Kepala anak perempuannya diusap perlahan.
            “Gaduh lah tu.” Fatihah pula yang menjawab.
            “Abang tak kasi kakak main.” Adu Fiya dengan mata yang basah.
            “Main apa?” Soal Irfan lagi.
            “Main menan Is. Kakak nak main sejap je.” Adu Fiya lagi. Irfan cuba memujuk tetapi langsung tak jalan. Malah semakin kuat pula tangisan Fiya.
            “Slow down your voice kakak. Baby Idris tengah tidur tu.” Tegur Fatihah yang sedang mendukung anak bongsunya, Fizz yang baru berusia setahun.
            Irine turut menghampiri daddynya dan memanjat ke atas riba Fayed, meninggalkan Faiz yang sedang bermain dengan Iskandar. Kesian melihat Fiya yang menangis tapi dia tak mampu nak tolong. Dia dan Faiz, anak sulung Irfan dan Fatihah sebaya. Manakala Fiya pula sama umur dengan anak sulung Iman dan Faye iaitu Iskandar yang berumur dua tahun.
            “Sian Fiya tu daddy.” Bisik Irine.
            “Kenapa sayang?”
            “Abang Faiz jahat.”
            “Tak baik cakap macam tu Irine.”
            “Opps! Sowy...” Mulut ditutup dengan kedua belah tangan. Nampak comel saja gaya Irine tu membuatkan Fayed tersenyum lebar melihat. Kepala anaknya diusap sayang.
            “Dah mengantuk sebenarnya, itu yang meragam tu. Dah lah main, pergi masuk tidur.” Arah Tuan Ilias.
            “Cucu-cucu Nek ma kan baik semuanya, tak mau la nangis sayang.” Tegur Puan Intan sambil mengemas bekas biskut dengan dibantu oleh Ivy.
            “Fiya ikut ibu masuk tidur. Abang tu nanti baba uruskan.” Fiya diletakkan ke bawah dan anaknya itu diserahkan kepada Fatihah. Kemudian dia bergerak ke arah Faiz yang masih ralit bermain bersama Iskandar.
            “Tihah bawa anak-anak masuk tidur dulu ma.” Kata Fatihah sebelum meniti anak tangga ke tingkat atas.
            “Kak Faye nak tidurkan anak-anak dulu ye Vy. Biskut ni...”
            “Okey Kak Faye. Tak apa yang ni biar Vy dengan mama uruskan.”
            Faye terus bangun mencari Iskandar. Iman pula sudah berlalu ke tingkat atas sambil mendukung Idris.
            “Kita naik tidur ye sayang.” Kepala Irine diusap. Banyak main sampai berpeluh.
            “Nanak. Kak Yeen nak duduk sini dengan Tok ayah.” Terus dia terjun dari riba Fayed dan memanjat ke atas riba Tuan Ilias pula. Ketawa saja Tuan Ilias melihat gelagat Irine. Sebijik macam Ivy waktu kecil dulu.
            Sedang mereka semua sibuk menguruskan hal masing-masing, kedengaran bunyi hon di luar pagar rumah. Bergegas Fayed menekan remote pintu pagar automatiknya. Sejurus kemudian mereka bergerak ke luar rumah untuk menyambut keluarga Iqbal dan Imad yang baru tiba dari KL.
            “Kenapa lambat?” Soal Tuan Ilias yang sedang mendukung Irine saat terpandangkan wajah penat Iqbal. Seperti siang tadi, Fayed terus bergerak ke arah kereta abang-abang iparnya bagi membantu mereka mengeluarkan beg dan barang-barang yang dibawa.
            “Jem ayah, ada accident tengah jalan tadi.”
            “Anak-anak okey?”
            “Okey.” Jawab Iqbal sambil memandang ke arah Mai yang sedang berbual dengan Puan Intan, Ivy dan Hajar sambil mendukung anak tunggal mereka, Marissa. “Hai Irine. dah besar dah mana boleh dukung lagi dah. Berat tau.” Pipi Irine dicuit. Tersipu malu anak saudaranya itu.
            “Dik, kenapa tak ada panjut? Tak meriah la tak ada panjut weh.” Imad bersuara di sebalik pintu kereta.
            “Haah kan Mad, ada panjut baru lah meriah dik. Baru ada feel nak raya.” Sampuk Iqbal pula.
            “Ayah pun lupa nak tanya tadi. Ivy tak nak pasang panjut ke?” Soal Tuan Ilias pula.
            Ivy dan Fayed saling berpandangan. Dalam fikiran mereka langsung tidak terlintas untuk menghias laman rumah dengan pelita. Memang sebelum ni pun mana pernah mereka pasang pelita dekat rumah ni. Kat rumah Nek Munah saja lah ada pelitanya.
            “Ivy lupa la yah nak beli panjut. Tak pernah pun pasang panjut dekat rumah.”

            “Esok la Mad kita pergi beli.” Kata Fayed pula.
            “Apa pula beli, buat sendiri lah Yed. Guna buluh.” Imad ni memang adventure orangnya. Semua benda pun  nak buat sendiri.
            “Nak cari buluh kat mana Abang Mad? Sini mana ada buluh.” Ivy memandang sekeliling. Memang rare lah kalau ada buluh dekat kawasan perumahan dia nih.
            “Kat rumah nenek ada la dik. Kau ni malas betul nak fikir luar kotak.” Selamba saja Imad mengutuk Ivy.
            “Imad!” Ivy menjeling tajam. Abang dia yang sorang ni memang la. Fayed hanya memandang dengan senyuman. Tak habis-habis bergaduh.
            “Dah lah, sambung gaduh dekat dalam pula. Kesian Marissa dengan Haris ni. Tapi cerah saja mata budak berdua ni. Tak mengantuk ke cucu-cucu nenek ni ha?” Kata Puan Intan sambil membawa masuk cucunya ke dalam rumah.
            “Dari tadi lagi ma tak nak tidur. Lama sangat Haris ni tidur petang tadi.” Jawab Hajar yang mengekori Puan Intan dari belakang. Mai juga turut masuk ke dalam meninggalkan Ivy dan yang lelaki saja di luar.
            Kemudian Fayed dan Iqbal mula memunggah barang-barang Iqbal sekeluarga masuk ke dalam.
            “Dik, mari lah tolong Imad angkat beg ni.”
            Ivy mencebik. “Malas lah.”
            Imad mula bercekak pinggang. “Eee... Pemalas betul kau kan.”
            “Siapa suruh bawa beg banyak-banyak, lepas tu gelabah nak suruh orang tolong.”
            “Eee... Ivy Raihana ni sungguh la...”
            “Sudah, tak payah nak gaduh sangat. Dah lewat dah ni, bawa barang tu masuk cepat.” Tegur Tuan Ilias. Bosan aih asyik dengar Imad dengan Ivy gaduh saja. Lalu dia terus masuk ke dalam rumah meninggalkan Ivy dan Imad di luar.
            Tersengih-sengih Ivy memandang ke arah Imad. “Adik gurau je lah. Meh sini adik tolong.” Ivy mencapai beg di sebelah Imad.
            “Ish budak nakal ni.” Sempat Imad menolak pipi Ivy sebelum ketawa dia dengan Ivy bergabung.

No comments:

Post a Comment