29 June 2016

Ivy Raihana : Ramadan + Syawal Part 1



SETELAH selesai mengemas bilik tetamu di tingkat atas, Ivy turun semula ke ruang tamu mencari Fayed dan Irine. Dari tadi sunyi saja rumah mereka, entah apa la yang dibuat oleh dua beranak tu.
            “Fayed...” Panggil Ivy sewaktu meniti anak tangga untuk ke bawah. Tetapi langsung tiada sahutan daripada suaminya. Mata mula melilau kiri dan kanan mencari suami dan anak.
            “Sayang... Awak kat mana?” Bergema lagi suara Ivy memanggil si suami. “Ish, ke mana pula la dua beranak ni. Orang panggil bukan nak menyahut.” Bebel Ivy yang sudah tiba di ruang tamu yang kosong. Kemas saja ruang tamu mereka, mesti Fayed dah tolong kemaskan tadi. Kalau tidak, serupa kapal pecah saja lah ruang tamu mereka tu. Penuh dengan barang mainan si kecil Irine.
            “Mummy!” Jerit Irine beserta sengihan dari arah pintu.
            Pantas Ivy berpaling setelah mendengar suara anaknya itu. Kemudian tangan naik mencekak pinggang. “Irine pergi mana? Dari tadi mummy panggil tak jawab pun. Daddy mana?” Ivy buat-buat marah. Mana sanggup nak marah anak tunggal dia ni. Nak pula dengan wajah comel macam tu. Ah, tak sampai hati sungguh.
            “Kak Yeen la mummy.” Irine mencebik bila Ivy tidak memanggil dia kakak seperti yang dijanjikan.
            Ivy menjulingkan mata ke atas. Sempat lagi tu. “Okey lah, Kak Yeen pergi mana? Puas mummy cari tau. Daddy mana?”
            Irine senyum sebelum berlari ke arah Ivy. “Kak Yeen makan aiskrim dekat luar tu, acik sebelah bagi. Daddy ada dekat luar.” Irine menunjukkan ke arah luar rumah.
            “Daddy buat apa dekat luar?”
            “Tatau mummy.” Irine terus bergerak ke arah barang mainannya yang elok tersimpan di tepi sofa dan terus bermain tanpa menghiraukan Ivy yang sedang memandang.
            “Cuci muka dulu sayang, comot sangat ni.” Ajak Ivy. Baru perasan yang muka anaknya comot dengan  aiskrim di muka.
            “Nanak mummy, Kak Yeen nak main...”
            “Kejap je Irine.”
            “Nanak...”
            “Mummy panggil daddy lah kalau macam ni.”
            “Sekejap je mummy...” Irine bersuara dengan nada meleret. Haih lemah betul kalau dengar suara anak dia macam tu. Irine dibiarkan bermain sendirian dan Ivy terus melangkah ke luar rumah mencari Fayed.
            “Fayed...” Melilau mata Ivy mencari suaminya. “Sayang, awak kat mana?” Selipar disarungkan ke kaki dan Ivy terus menapak ke luar pagar bila pagar rumahnya itu terbuka luas.
            “Fayed...”
            “I’m here Vy...”
            Mata Ivy membulat. “Homai sayang! Buat apa dekat dalam longkang ni?” Separuh daripada badan Fayed berada di dalam longkang. Maunya tak terkejut mak cik ni tengok. Ivy mengusap dada, jatuh longkang pula ke suami dia ni.
            “Nak ambil ni.” Fayed mengangkat anak kucing di dalam pegangan. “Jatuh tadi...” Perlahan saja bunyi anak kucing tu, mungkin masih terkejut bila jatuh dalam longkang tu tadi.
            Ivy menyambut anak kucing yang dihulur Fayed. “Nak letak mana ni yang?” Kepala anak kucing diusap perlahan. Nasib baik dia bukan jenis yang tak suka kucing. Kalau tidak dia pula yang meloncat masuk dalam longkang tu agaknya.
            “Bawa masuk dalam rumah dulu Vy, bagi makan. Kesian, lapar agaknya tu.”
            “Tapi kita tak tahu pun kucing siapa ni yang. Agaknya kucing jalanan je.”
            “Habis tu kalau kucing jalanan tak boleh bagi makan ke?” Soal Fayed dengan nada sinis. Perangai yang satu tu masih ada ye.
            Ivy mencebik. “Tak ada lah macam tu.”
            Fayed memanjat naik ke atas. “Kucing ni haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w tau. Kalau kita bagi makan dekat kucing nanti bertambah-tambah lagi rezeki kita Vy. In shaa Allah... Nak tahu sebab apa?” Ivy jongket kening menyoal kenapa. “Sebab kucing tu akan doakan kita tiap kali kita berbuat baik dengan mereka. Sebab itu lah kita dilarang menyepak atau mendera kucing. Faham my baby boo?” Fayed mendekatkan wajahnya dengan wajah Ivy.
            Laju pula Ivy angguk dengan senyuman melebar. Suka betul bila Fayed buat macam tu. “Faham ustaz ku sayang.”
            “Good. Anak mana?”
            “Ada dekat dalam tengah main. Haa ni tadi Irine cakap acik sebelah bagi dia aiskrim. Betul ke?”
            “Haah. Kak Sal yang bagi. Kebetulan tadi Irine ternampak Aqib makan aiskrim terus merengek nak aiskrim juga. Saya ingat nak bawa Irine pergi kedai tapi Kak Sal dah bagi dulu.”
            “Baik betul la Kak Sal ni.” Ivy sempat mengintai ke arah rumah jiran sebelah. Di sebelah kiri rumah mereka adalah rumah Kak Sal dan Abang Rahim. Irine selalu juga main dengan anak-anak Kak Sal. Dia dengan Fayed pun selalu juga ke rumah Kak Sal dan Abang Rahim tu.
            Fayed hanya tersenyum mendengar kata-kata Ivy. “Jom masuk Vy, dah makin panas dah dekat luar ni.” Ajak Fayed seraya menutup pintu pagar. Belum sempat dia dan Ivy melangkah ke dalam, ada suara yang menegur dari arah kanan rumah mereka.
            “Hai Ivy.” 

            Ivy dan Fayed terus menoleh. Jiran baru mereka rupanya, Syed. Baru pindah masuk minggu lepas. “Eh, hai Syed.” Balas Ivy.
            “Woww! Anak kucing... Awak suka kucing ke Ivy?” Soal Syed dengan nada teruja bila terpandang anak kucing di dalam pelukan Ivy.
            “Tak lah. Suami tolong selamatkan anak kucing ni tadi, jatuh longkang.”
            “Ouh...” Mata Syed beralih ke wajah Fayed pula. “Hai Fayed.” Tegur Syed.
            “Hai...” Fayed angkat tangan membalas teguran Syed. Baru nampak ke dia duk tercegat dekat sebelah Ivy ni.
            “Urm okey lah Syed, kami masuk dulu.” kata Ivy bila nampak riak kurang senang pada wajah Fayed. Terus lengan Fayed ditarik ke dalam pelukan.
            “Kami masuk dulu.” Kata Fayed yang sudah berubah serius. Mata Syed duk melekat kat Ivy saja, buat Fayed makin geram.
            Syed hanya angguk dengan senyuman hambar. Matanya tetap terpaku pada wajah Ivy sehingga lah pasangan suami isteri itu masuk ke dalam rumah mereka. Kemudian Syed turut melangkah masuk ke dalam rumahnya.
            Fayed terus masuk ke dalam bilik air manakala Ivy pula sibuk memberi anak kucing tadi makan. Seketika kemudian Fayed keluar dari bilik air dan terus melabuhkan duduk di atas sofa di ruang tamu. Irine masih lagi leka dengan mainannya, langsung tidak mempedulikan daddynya.
            “Irine...”
            “Ye daddy.”
            “Pergi mandi sayang.”
            “Nanak. Kak Yeen nak main.”
            “Later sayang. Pergi mandi dulu.”
            “Nanak...”
            Fayed mendengus geram. Sejak bila pula anak dia jadi degil ni. Terasa usapan lembut di bahu. Tak perlu menoleh, Fayed sudah tahu tangan siapa yang sedang mengusap lembut bahunya itu.
            “Sayang...”
            Kepala Fayed mendongak mencari wajah Ivy.
            “Marahkan Syed ke?”
            Fayed diam tidak menjawab. Ivy pula sedaya upaya cuba menyorok senyuman. Kelakar betul la suami dia ni. Dah lama juga Fayed tak cemburu macam ni. “Puasa yang puasa... Jangan marah-marah tak elok, kurus pahala puasa nanti.” Pesan Ivy sebelum bergerak menghampiri Irine. Terus anaknya itu didukung tanpa mengendahkan raungan Irine.
            “Mummy nak sejukkan Irine dulu, lepas ni mummy nak sejukkan daddy pula. Membara sangat api cemburu dia tu.” Kata Ivy sambil mengenyit mata ke arah Fayed. Kakinya diatur ke tingkat atas, meninggalkan Fayed sendirian.
            Lama mata Fayed tertacap pada Ivy sehinggalah bayang isterinya itu hilang. Kepala digeleng perlahan. “Nakal!”

“AWAK tak suka dia eh?” Ivy melangkah ke arah katil sebelum memanjat dan berbaring di sebelah Fayed.
            “Yup.” Jawab si suami dengan penuh yakin. Buku di tangan diletakkan di atas meja di sebelah katil. “Dia suka awak, saya tahu tu.”
            “How did you know?”
            Fayed berbaring mengiring ke kanan. Pipi gebu isterinya itu diusap dengan penuh kasih dan sayang. “Saya ni lelaki Vy, faham sangat dengan maksud pandangan mata dia tu.” Rambut isterinya diselit ke celah telinga.
            “Apa maksudnya?” Soal Ivy dengan nada mengusik. Memang suka sangat la kalau bab menyakat Fayed. Kalau dia yang kena sakat mula lah tarik muncung bagai.
            Fayed menjeling. “Suka main-main kan.”
            “Mana ada. Betul ni nak tau apa maksud dia.”
            “Dah lah, saya nak tidur.” Badan kembali direbahkan dan selimut ditarik hingga paras pinggang.
            “Sayang...” Lengan Fayed digoncang-goncang dan kepalanya mula menyelit ke bawah ketiak si suami. “Jangan la tidur lagi...”
            “Tidur la baby boo, nanti nak bangun solat lagi.” Balas Fayed dengan mata yang terpejam rapat.
            “Alah sayang, sekejap je. Mata saya tak boleh nak lelap ni.” Rengek Ivy lagi. Tak berputus asa langsung.
            Fayed diam dengan mata yang terpejam. Berpura-pura tidur. Kepala mendongak mencari wajah Fayed. Heleh mata pejam tapi nampak biji mata tu bergerak. Tanpa teragak-agak tangan kanan Ivy naik ke muka Fayed, mengusap lembut pipi suaminya itu.
            “Baby...” Tangan Fayed menolak.
            Ivy cuba menahan daripada ketawa. Sekali lagi tangan dia naik mengusik pucuk hidung Fayed. “Baby boo... Saya nak tidur ni, jangan lah kacau.” Tangan Fayed tetap menolak tangan Ivy yang merayap di mukanya.
            Tidak berputus asa, Ivy meletakkan  tangan di atas dada Fayed. Kemudian perlahan-lahan tangannya naik merayap ke muka si suami yang berpura-pura tidur. “Ish, Ivy!” Fayed merenung tajam wajah Ivy yang hanya sinci dari wajahnya. “Geram betul la dengan dia ni.” Ivy ditarik ke dalam pelukan dan dipeluk kemas seperti tidak mahu dilepaskan. Terkekek Ivy ketawa. Itu lah, nak menipu tapi tak pandai. Kan dah kantoi...
            Sedang mereka suami isteri ketawa di dalam pelukan, Ivy dan Fayed diterkam oleh tidak lain tidak bukan, Irine a.k.a Kak Yeen.
            “Kak Yeen nak bobok dengan mummy...” Meleret suara Irine dengan mata dipejam celik melihat gelagat mummy dan daddynya.
            “Eh?!” Ivy dan Fayed saling berpandangan. “Irine bukan dah tidur ke tadi?” Soal Ivy seperti orang kebingungan.
            Fayed angguk. “Awak kan yang letak dia dekat dalam baby court tadi.” Jawab Fayed dengan yakin. Memang Ivy pun yang angkat dan letakkan Irine di dalam katil bayi setelah Irine terlena di atas katil mereka.
            Kemudian Ivy dan Fayed memandang ke arah Irine yang meniarap di tengah ruang antara Ivy dan Fayed. “Kak Yeen nak bobok dengan mummy.” Ulang Irine lagi.
           
“Macam mana sayang daddy ni boleh ada dekat sini? Irine panjat eh?” Fayed bangun dari perbaringan lalu menarik Irine dan dibaringkan di antara dia dan Ivy. Dengan bantal peluk Irine tu lagi, memang berhimpit la mereka malam ni.
            “Kak Yeen panjat.” Jawab Irine mengiyakan telahan Fayed.
            “Ya Allah Irine, bahayanya. Awak, macam mana la kita boleh tak perasan yang Irine panjat katil tu tadi.” Kata Ivy dengan nada yang kesal. Macam mana lah dia dengan Fayed boleh terlepas pandang tadi.
            Fayed hanya diam tak menjawab. “Irine nak tidur sini ke?”
            “Kak Yeen nak bobok dengan mummy.” Irine terus masuk ke dalam pelukan Ivy. Langsung tidak meninggalkan ruang untuk Fayed menyelit sama.
            Ivy tayang sengih manakala Fayed pula hanya mampu mengusap belakang leher. “Nasib baik katil kita ni king size Vy. Boleh la Irine nak menempel sama.” Fayed kembali berbaring di belakang Irine. Anak dan isterinya itu ditarik ke dalam pelukan.
            Tangan Ivy mengusap perlahan belakang badan Irine. “I think we should buy a new bed for Irine. Katil tu dah tak sesuai, dah pandai panjat-panjat pula sekarang.” Kata Ivy dengan suara yang perlahan. Bimbang kalau Irine yang terjaga semula.
            “Kalau beli katil baru dah kena letak dalam bilik lain dah Vy. Boleh ke Irine tidur dalam bilik seorang diri?” Fayed bersuara dengan nada yang sama.
            Ivy tunduk memandang wajah Irine yang sedang lena. Dahi anaknya itu dikucup lembut. “Rasanya bukan Irine yang tak boleh...”
            “Awak yang tak sanggup kan?”
            Ivy angguk dan Fayed tersenyum. Dah agak dah. Pipi isterinya diusap perlahan. “Dah lah Vy, nanti kita fikirkan kemudian. Lets sleep, nanti nak bangun solat dan sahur lagi.”
            “Okey. Good night sayang, assalamualaikum...”

            “Good night baby boo, waalaikumussalam...”


p/s: bagi yang belum  ada Ivy Raihana versi cetak boleh dapatkan Ivy di kedai-kedai buku berhampiran anda atau pm facebook Penerbitan LoveNovel II untuk order. 

Have fun reading guys!

No comments:

Post a Comment