25 May 2016

Kesayangan Rais Bab 13

TIBA saja di rumah, Rais terus berlalu masuk ke dalam biliknya. Andre dan Naqib yang sedang bersembang di tengah ruang tamu langsung tidak ditegur. Penat dengan kerja serta penat dengan perasaan yang membelenggu membuatkan dia tiada mood untuk berbicara dengan sesiapa pun. Dekat pejabat siang tadi pun dia lebih banyak diam daripada bercakap.
Beg kerja diletakkan di tepi meja sebelum badannya direbahkan di tengah katil.             Mata ditala pada siling lalu pandangannya menangkap kipas yang berpusing. Semakin dipandang semakin pening pula jadinya. Tidak mampu bertahan dengan lebih lama, tangan mula naik menutup kedua belah mata dan kemudian ditekan-tekan pangkal hidung. Segala rasa kecewa cuba diusir tapi tipu lah kalau seorang Rais mampu membuang segala rasa itu dengan mudah.
Selesai  mandi dan solat, Rais keluar semula ke ruang tamu lalu duduk bersebelahan dengan Naqib yang sedang ralit bermain dengan telefon. Andre pula sudah terlentang sambil menonton televisyen. Gaya orang bujang macam tu lah.
“Qib...”
Naqib menoleh ke arah Rais seketika sebelum kembali memandang telefon di tangan.
“Qib...” Sekali lagi Rais memanggil nama Naqib dan kali ini suaranya sedikit kuat berbanding tadi.
“Ada apa Rais? Panggil aku macam tu macam budak minta susu dengan mak dia tahu tak.” Kata Naqib tanpa memandang ke arah Rais.
“Macam mana dengan tunang kau hari tu?” Rais menyoal tanpa mempedulikan kata-kata Naqib.
“Kami dah putus.” Jawab Naqib dengan tangan yang masih sibuk menekan telefon sana sini.
“Macam tu je?” Naqib angguk mengiakan. Keluhan lemah dilepaskan lalu Rais menyandarkan kepala ke belakang sofa. Naqib dah tahap tunang siap nak berkahwin dah tiba-tiba putus tapi selamba saja pegang telefon main game. Dia ni, baru je jumpa semula setakat kawan-kawan je dah frust tahap nak mereput bila dapat tahu yang Cempaka dah ada kekasih. Apa kes?!
“Kau tak frust ke Qib?” Soal Rais dengan kepala yang disandarkan ada belakang sofa.
Game ditutup lalu telefon diletakkan ke tepi. Naqib mula menarik sila sambil berpusing mengadap Rais di sebelah. “Orang yang aku cinta minta putus tunang Rais, gila lah aku kalau aku tak frust. Tapi soal hati dan perasaan aku tak boleh nak paksa. Dah rasa cinta dia terhadap aku dah tak ada, dah habis, aku nak buat macam mana lagi. Kalau aku paksa dia kahwin dengan aku pun bukan setakat dia saja yang terluka, aku lebih lagi.” Jelas Naqib panjang lebar.
“Tapi kan rasa cinta boleh dipupuk Qib. Mana tahu lepas kahwin nanti dia akan kembali cintakan kau.”
Naqib menggeleng dengan senyuman. “Aku tak rasa yang dia akan kembali cintakan aku bila kami dah nikah nanti. Sekarang ni pun dia dah ada pengganti aku kut.”
“Tak kan lah kau tak ada keinginan langsung untuk mempertahankan hak kau Qib?”
“Hak apa lagi Rais kalau dah dia sendiri yang tolak aku dan memilih lelaki lain.”
Rais menegakkan badan dan berpusing supaya berhadapan dengan Naqib. “Aku tak sangka yang kau boleh setenang ini Qib.”
“Kalau aku mengamuk pun bukan dia nak datang balik dekat aku.” Naqib ketawa dengan kata-kata sendiri. Rais turut tersenyum dengan senyuman tanpa rasa. “Kau kenapa Rais? Macam orang putus cinta saja aku tengok.” Sambung Naqib bila perasankan kelainan pada wajah Rais.
Lama Rais diam sebelum menyoal... “Is it too obvious?”
“Aku belum buta tau. Rabun pun tak. So, it’s obvious yang kau macam tengah kecewa sekarang. Kenapa? Kau ada masalah dekat tempat kerja ke? Tapi Andre tak cakap apa-apa pun tadi.” Sinar pada mata Rais menyerlahkan rasa yang terbuku di dalam hati. Sudah bertahun mereka tinggal bersama, luar dan dalam Rais sudah Naqib hafal.
Rais mengeluh perlahan. “Aku tak tahu nak cakap macam mana, tapi yang pasti aku memang tengah kecewa sekarang.”
“Pasal Cempaka ke?” Andre mencelah.
“Eh, dengar saja kau.” Kata Naqib yang memandang ke arah Andre. Bukan kawan dia tu tengah fokus dekat rancangan dalam tv tu ke.
Andre bangun dari pembaringan dan turut menarik sila sambil memeluk bantal kecil yang dijadikan alas kepalanya tadi. “Dah korang berdua bukan berbisik pun kan, mesti la aku dengar. Kau kecewa dengan Cempaka ke Rais?” Andre mengalihkan pandangan ke arah Rais pula.
Kedua belah tangan naik meraup muka dengan perasaan hampa dan kecewa yang semakin berbuku. Tarasa panas tiba-tiba membuatkan Rais bangun dan bergerak ke arah balkoni yang terbuka luas. Kepala didongakkan ke atas memandang langit kelam dengan tangan yang disilangkan ke belakang. “Dia dah ada kekasih rupanya.” Kata Rais dengan suara yang perlahan.
Andre dan Naqib saling berpandangan sebelum masing-masing bangun dan bergerak menghampiri Rais yang masih memandang langit. “Mana kau tahu yang dia dah ada kekasih?” Soal Andre yang berdiri di sebelah kanan Rais.
“Kau ingat tak dato suruh aku uruskan S&P anak Tan Sri Rafael?” Andre angguk tanda ingat. “Tadi aku jumpa dengan anak dia, Armand Hazriq. Masa aku tengah bincang dengan Armand tentang penthouse yang dia nak tu tiba-tiba kekasih dia muncul dan kekasih dia...”
“Kekasih dia ada lah Cempaka?” Teka Naqib yang berdiri di sebelah kiri Rais. Perlahan-lahan Rais angguk.
“Oh man!” Andre dan Naqib bersuara serentak. “So, kau macam mana?” Andre menarik bahu Rais supaya memandang ke arahnya.
“Aku macam yang kau tengok lah, hampa dan kecewa...”
Naqib menepuk bahu Rais beberapa kali. “Rilex Rais, ada ramai lagi perempuan dekat luar sana.” Kata Naqib yang cuba menenangkan Rais. Tapi malangnya bukan itu yang Rais mahu dengarkan.
Laju Rais menggeleng. “No Qib, yang ramai tu tak sama dengan yang satu ni. Aku cuma mahukan yang satu ni je Qib.” Rais bersuara perlahan.
“Kau tak boleh macam ni la Rais. Dia dah ada pilihan hati dia sendiri, tak kan kau nak paksa dia terima kau pula.” Marah Andre. Memang tepat lah firasat dia yang tak sukakan Cempaka tu. Kalau dulu dia tak suka Cempaka kerana mengandaikan Cempaka adalah seorang gadis yang lemah. Tetapi sekarang dia tak sukakan Cempaka kerana telah membuat sahabat baiknya ini menjadi lemah begini hanya kerana seorang perempuan.
“Aku tak cakap pun yang aku nak paksa dia terima aku Andre.” Jawab Rais dengan tegas. Berang bila Andre menuduhnya sebegitu.
“Tapi dengan gaya kau ni...”
“No! Aku tak akan buat macam tu. Ye aku kecewa tapi aku bukan perampas.” Potong Rais dengan nada yang sedikit meninggi.
“Jadi tak payah la kau nak lemah sangat macam ni.” Dan Andre turut membalas dengan nada yang sama.
“Weh korang tak payah la nak bergaduh macam ni.” Naqib cuba menenangkan keadaan bila melihat Rais menggenggam kemas kedua belah tangannya. Risau kalau Rais dan Andre bertumbuk pula lepas ni. Dengan perasaan Rais yang tidak stabil macam tu, tidak mustahil kalau Rais bertindak di luar kawalan.
“Aku bukan nak gaduh dengan dia Qib, aku cuma nak dia fikir secara rasional. Tak payah nak layan perasaan sangat. Perempuan tu pun dah ada orang yang dia sayang kan, so move on la!” Marah Andre lagi. Geram pula dia bila tengok Rais lemah macam ni.
Rais mendengus geram. “Aku tak suka kau panggil dia macam tu.”
“Tak payah nak emosi sangat lah. Bukan aku panggil dia dengan nama yang bukan-bukan pun.”
“Dah la Andre...” Naqib menarik tangan Andre sedikit menjauh dan memberi ruang kepada Rais untuk bertenang.
Rais bergerak ke depan dan tangannya mula memegang kemas pagar besi di hadapannya bagi melempiaskan segala rasa. “Mulai saat ini aku akan cuba lupakan dia.”
“Rais...” Naqib kembali mendekati Rais. “Kau jangan la paksa diri kau macam ni.” Kedengaran Andre di belakang mereka mendengus kasar tetapi Naqib buat tidak tahu saja. “Kau rilex je dulu okey.” Sambung Naqib lagi.
“Tapi akhirnya aku harus lupakan dia jugakan?” Rais menoleh ke arah Naqib dengan kening yang terangkat.
“Exactly! Memang itu pun yang kau kena buat.” Andre kembali mencelah di belakang.
Rais menoleh ke arah Andre seketika sebelum kembali memandang ke hadapan. “Tak apa lah, mungkin benar dia bukan jodoh yang aku tunggu. Jadi, aku akan cuba lepaskan dia kepada yang lebih berhak.” Kata Rais dengan nafas yang dihela perlahan.
“Rais...”
“Tinggalkan aku sendiri Qib.” Potong Rais.
“Tapi...”
“I need some space.” Kata Rais tanpa memandang ke arah Naqib.
Andre memberi isyarat kepada Naqib untuk berlalu dan memberi ruang kepada Rais untuk bersendirian. Dengan langkah yang berat Naqib mengikut langkah Andre. Dia risaukan Rais. Bukan dia tidak tahu betapa terlukanya Rais sekarang kerana dia tahu betapa dalamnya cinta Rais terhadap Cempaka. Namun apa daya dia, jika itu kehendak takdir dia tidak mampu mengubahnya.

Rais kembali mendongak ke langit cuba mencari bintang untuk menerangi hatinya yang kelam. “Adakah saya sudah terlambat untuk mendapatkan cinta awak Cem?” Bisik Rais dengan rasa yang terdera. Mata dipejam rapat, cuba mengusir bayang gadis yang menjadi penghuni hatinya. Semoga hari esok segala rasa sakit, pedih dan kecewa ini hilang dibawa masa. 

1 comment:

  1. kesian Rais. Mungkin ada gadis yg lebih baik utk Rais

    ReplyDelete