4 February 2016

Ivy Raihana Bab 9

BAB 9
‘I choose the later.’ – Aping
            Mata Ivy membuntang. Dia pilih lesson? Kenapa bukan blessing? Apa teruk sangat ke aku ni? Ivy mendengus geram. Eh kejap... Pengajaran? Pengajaran apa yang dia dapat ye? Mesti yang positif kan? Tanpa membuang masa, laju tangan Ivy bergerak membalas mesej Fayed.
            ‘What lesson?’- Ivy
            Selesai membalas mesej Fayed, Ivy duduk meniarap sambil menongkat kepala. Agak-agak apa yang Fayed akan balas ye. Ah, tiba-tiba rasa tak sabar pula nak tunggu balasan daripada Fayed.
Sejak kejadian di bengkel kereta dua minggu lepas, hampir setiap hari Ivy menghantar mesej kepada Fayed. Kenyataan Fayed supaya Ivy tidak lagi menghubungi dia langsung tidak diendahkan. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa sayang pula untuk memutuskan hubungan dengan Fayed walaupun perkenalan mereka hanya seketika dan sentiasa dibungai dengan perbalahan.
Hampir sepuluh minit menunggu, baru lah dia menerima balasan daripada Fayed. Lambat betul.
‘Stay away from a girl named Ivy or your life will be mess. And that’s what I’m doing right now. So cik kak, please stop send me a message while I’m still using proper words. Jangan sampai saya mencarut pula. – Aping
            Pffttt... Itu je? Tak membina langsung. Sombong teruk la pakcik ni, tak boleh nak buat kawan langsung. Kutuk Ivy di dalam hati.
            “Hoi!!!”
            Tercampak ke bawah telefon Ivy akibat terkejut dengan jerkahan dari belakang. Wajah Ivy juga sudah berubah pucat. “Aieen!!!” Jerit Ivy. Aieen pula sudah ketawa berdekah-dekah. Geli hati tengok Ivy yang terperanjat tadi. “Sengal lah kau.” Marah Ivy sambil mengusap dada sendiri.
            “Kau buat apa tadi Vy?” Soal Aieen sambil menyapu air mata yang keluar akibat ketawa kuat sangat. Kemudian dia mencapai telefon Ivy yang jatuh ke lantai. Nasib baik tak pecah. Kalau tidak memang kena pancung la dia dengan Si Ivy ni.
            “Aping?” Soal Aieen dengan wajah pelik. Secara tak sengaja terbaca pula mesej yang terpapar di skrin telefon Ivy.
            “Ish, sibuk la dia ni. Bak sini telefon aku.” Ivy bangun dan merampas telefonnya di tangan Aieen.
            “Siapa Aping tu Vy? Kumpulan K-Pop tu ke?” Aieen bangun dan duduk bersila di sebelah Ivy.
            Tangan Ivy laju menekan telefon, menutup semua mesej. “Yang itu Apink la Aieen, K dekat belakang. Jangan nak mengarut sangat.
            “Ooo... Aku ingatkan yang kumpulan K-pop tu. Tapi macam tak logik pula kan kalau kau mesej dengan diorang..”
            “Tahu pun tak logik. Yang kau tanya macam tu kenapa?”
            Aieen menolak bahu Ivy. “Alah kau tak payah la nak garang sangat. Yang kau nak marah-marah aku ni kenapa?”
            “Yang kau buat aku terperanjat tu kenapa?” Ivy menjeling.
            “Aku main-main je. Yang kau nak sentap sangat ni kenapa?”
            “Kau ingat kelakar ke? Yang kau nak main-main macam tu kenapa?”
            “Aku saja je nak usik kau. Yang kau banyak tanya sangat ni kenapa?”
            “Yang kamu berdua duk berbalas soalan tu dah kenapa? Tangah masuk pertandingan ke apa?” Nek Munah mencelah dari ruang tamu. Dari tadi dia dengar budak berdua tu asyik berbalas soalan saja. Entah bilanya nak habis. Dia yang dengar ni pun dah naik bosan.
            “Nek!!! Tengok Aieen ni, buat orang terkejut sampai telefon jatuh.” Jerit Ivy.
            “Nenek dah puas tengok dah budak Aieen tu. Sejak dari kecil zaman tak pakai baju sampai lah sekarang tak berubah-ubah. Ingat kan dah besar ni ada la rupa Kajol ke, Preety Zinta ke, duk rupa tu juga.” Jawab Nek Munah bersahaja.
            Aieen ketawa mendengar jawapan neneknya. Ibu jari diangkat tanda bagus. Saja nak menyakat Ivy. “Tapi nek, yang zaman tak pakai baju tu tak payah la sebut.”  Kata Aieen. Sempat lagi nenek dia selit yang itu.
            “Dah memang kamu tak suka pakai baju masa kecil-kecil dulu kan. Nasib baik tak bawa perangai tu sampai ke besar.”
            Giliran Ivy pula ketawa sambil mengangkat ibu jari. Aieen hanya mencebik. “Kau dari mana ni? Tiba-tiba muncul, buat terkejut orang je.” Soal Ivy sekaligus menamatkan perang mulut di antara dia dan Aieen.
            “Aku datang nak bawa nenek pergi ambil ubat dekat farmasi esok. Kau kan dah kerja sekarang, jadi aku la yang ambil alih tugas kau untuk ambil ubat nenek dekat farmasi tu.” Jelas Aieen. Mama dia la yang suruh dia datang, sebab risau kalau Nek Munah pergi ambil sendiri ubat dekat farmasi tu nanti. Kata mamanya tak nak susahkan Ivy ke sana ke mari.
            “Eh, tak payah... tak payah... Biar aku je yang bawa nenek esok. Kau tak payah susah-susah.”
            “La... Kenapa pula?” Soal Aieen.
            “Aku kan ada, biar aku saja lah yang bawa nenek tu.”
            “Tapi kau kan kerja esok.”
            “Aku half day esok.” Jawab Ivy pantas.
            Kening Aieen bercantum di tengah. “Eh, boleh pula macam tu, suka hati kau saja kan.”
            “Boleh la. Kak Liza tu okey dengan aku.” Jawab Ivy selamba. Yang sebenarnya dia belum bagi tahu Kak Liza yang dia half day esok. Ah, pandai-pandai lah dia bagi alasan dekat Kak Liza nanti.
            “Tapi...”
            “No but Aieen.” Potong Ivy. “Jom keluar makan ABC nak? Dah lama kita tak makan ABC dekat gerai Kak Milah tu kan.” Ivy bangun dari katil untuk menukar pakaian.
            “Petang-petang macam ni ada ABC lagi ke?” Aieen turut bangun.
            “Ada la. Kau tunggu aku dekat luar, aku nak tukar baju jap.”
            Aieen pandang Ivy atas bawah. “Pakai macam ni pun dah okey apa.”
            “Kau nak kena pelangkung dengan Nek Munah? Kau tunggu la dekat luar. Aku tukar kejap je.” Aieen hanya ketawa mendengar kata-kata Ivy dan berlalu keluar dari bilik sepupunya itu.

HABIS satu mangkuk ABC dan sepiring goreng pisang, Ivy tersandar kekenyangan. Aieen juga sama, turut tresandar kekenyangan. Elok perangai betul cucu-cucu Nek Munah ni. Kalau nampak dek Nek Munah, mahu kena kejar dengan lidi.
            “Macam mana kerja dekat kedai bunga Kak Liza tu Vy, seronok tak?” Soal Aieen. Sudah hampir seminggu Ivy bekerja di kedai bunga Kak Liza dekat pekan. Terkejut juga dia bila Ivy cakap nak kerja, kerja dekat kedai bunga pula. Ivy dengan bunga macam api dengan air, tak ngam.
            “Boleh la...” Jawab Ivy malas.
            “Boleh pula kau kerja dekat kedai bunga tu ye. Bukan kau tak suka bunga ke?” Soal Aieen lagi.
            “Dah situ je yang ada kerja kosong Aieen, aku terima saja lah. Daripada aku kena paksa kerja dengan ayah, lebih baik aku kerja dekat kedai bunga tu je.”
            “Kau kenapa sampai macam tu sekali tak nak kerja dengan Pak long?” Tak faham betul dia dengan Si Ivy ni. Dah ada yang mudah, cari juga yang payah. Pak Long bukan suruh dia kerja buruh pun, kerja tempat aircond kut. Itu pun Ivy tak nak. Sanggup pula kerja dengan bunga-bunga tu semua.
            Ivy mengeluh perlahan. “Susah la aku nak cakap Aieen. Kerja-kerja pejabat ni macam tak in tau dengan aku. Itu yang aku malas nak kerja dengan ayah. Lagi pun aku sayang nak tinggalkan tempat ini. Aku suka tinggal dekat kampung kau tau tak.”
            “Tak pernah lagi aku jumpa budak bandar suka tinggal dekat kampung.”
            “Well, kau dah jumpa lah ni.” Ivy tunjuk ke arah dirinya sendiri. “Aku tak nak tinggalkan nenek sorang-sorang la Aieen. Kau tak kesian ke tengok nenek tu?” Ivy menoleh ke arah Aieen.
            “Aku pun kesian juga. Tapi itu lah, bila diajak tinggal dengan kita, tak nak pula dia.” Aieen mengeluh lemah. Bukan mama dia tak pernah ajak Nek Munah tinggal dengan mereka, tetapi nenek tetap berkeras tidak mahu tinggalkan rumah pusakanya itu.
            “Banyak kut kenangan nenek dengan arwah atuk dekat rumah tu. Itu yang nenek payah benar nak tinggalkan rumah dia.”
            “Betul juga apa yang kau cakap tu Vy. Eh Vy, kau tak cerita dekat aku lagi tau pasal Aping tu tadi. Siapa Aping tu? Lelaki ke perempuan?” Aieen angkat kening ke arah Ivy. Curious betul pasal Aping ni.
            “Kau tak payah tahu la Aieen.” Ivy melemparkan pandangan ke arah jalan raya. Mood dia terus hilang bila teringat kembali mesej yang dihantar Fayed itu tadi.
            “Kau ni, dengan aku pun nak berahsia kan.” Aieen memuncung tanda tidak puas hati. Sejak bila entah Ivy suka berahsia dengan dia. Kalau sebelum ni elok saja semua cerita Ivy kongsi dengan dia.
            “Lain kali la aku cerita dekat kau.” Ivy menongkat dagu di atas meja dan Aieen pula duduk bersandar sambil berpeluk tubuh. Mereka hanya diam melayan perasaan masing-masing.
            “Kamu berdua memang nak jadi penunggu gerai akak ke?” Kak Milah menarik kerusi dan duduk di hadapan Aieen.
            “Eh kak, kenapa cakap macam tu?” Soal Aieen dengan wajah yang polos.
            “Dah nak maghrib dah sayang oii, orang lain dah lama dah balik. Akak pun  dah nak tutup gerai dah ni.” Kata Kak Milah sambil menongkat dagu. Dari dia duk perati budak beruda ni bersembang. Lepas tu sibuk layan perasaan pula. Gerai dia ni memang ‘port’ terbaik untuk budak-budak layan perasaan agaknya.
            “Dah nak maghrib?!” Jerit Aieen dan Ivy serentak. “Mati la nakkk....” Ivy dan Aieen bingkas bangun dan berlalu ke arah kereta Ivy. Datang gerai Kak Milah pun naik kereta budak berdua ni. Diva betul.

MAKAN ABC ke makan gerai Kak Milah?” Soal Nek Munah dengan riak wajah sarkastik. Ivy dan Aieen sudah tersengih-sengih. Ralit betul layan perasaan sampai tak sedar dah nak maghrib.
            “Ampun nek, seronok sangat makan ABC sampaikan tak perasan dah nak maghrib.” Ivy merapatkan kedua belah tapak tangan tanda maaf. Aieen di sebelah hanya mampu tersengih saja.
            “Dah, naik atas cepat. Mandi lepas tu ikut nenek pergi masjid. Malam ni ada ceramah, nenek tak nak terlepas ceramah tu pula nanti.” Arah Nek munah sebelum berlalu ke dalam biliknya.
            Ivy menggaru belakang leher. “Kalau Ivy tak ikut boleh tak nek?” Jerit Ivy.
            Nek Munah menjengukkan kepala ke luar. “Habis tu nenek nak pergi dengan apa? Jalan kaki?”
            “Okey, Ivy hantar nenek je. Boleh?” Soal Ivy. Seboleh mungkin cuba mengelak daripada mengikuti ceramah di masjid.
            “Lepas tu kamu nak balik membongkang di rumah, macam tu?” Soal Nek Munah pula. Ivy sudah mula tarik muncung.          
            Perlahan-lahan Aieen berundur ke belakang dan jalan berjingkiit-jingkit untuk masuk ke dalam bilik yang dihuninya setiap kali datang ke rumah Nek Munah.
            “Haa kamu jangan nak lari pula Aieen, kamu pun kena ikut nenek juga. Dah, pergi bersiap cepat.” Nek Munah bersuara tegas. “Jangan sampai nenek keluar bawa hanger pula.” Tambah Nek Munah lagi. Berdecit Ivy dan Aieen berlari mengambil tuala dan meluru ke bilik air. Jangan di buat main dengan Nek Munah.



No comments:

Post a Comment