3 February 2016

Ivy Raihana Bab 8

BAB 8
FAYED melangkah ke arah ruang tamu dan melabuhkan  duduk di atas sofa kulit ummi nya.  Menghilangkan penat setelah seharian menghabiskan masa di farmasi. Fayed menyandarkan badannya ke belakang dan kepala didongakkan sebelum mata terpejam rapat. Tuan Irham yang baru turun dari tingkat atas merapati anaknya yang sedang berehat di tengah ruang tamu itu.
            “Yed...” Panggil Tuan Irham sebelum turut melabuhkan duduk di atas sofa yang masih kosong. “Kenapa tak naik berehat dekat atas?” Soal Tuan Nasrul.
            Fayed membukakan mata dan memandang ke arah babahnya sebelum tersenyum. “Penat sangat la bah, tak larat nak panjat tangga. Ummi mana bah?” Fayed memandang sekeliling. Dari tadi senyap saja rumah dia ni, bayang ummi dan adiknya juga tidak kelihatan.
            “Duduk bersembang dengan adik dekat atas.”
            “Patut la. Babah macam mana? Ubat ada lagi tak?” Soal Fayed sambil membetulkan duduknya.
            “Ada Yed.”
            “Makan on time tak?”
            Tuan Irham menjeling anak bujangnya itu. “Ah kamu ni, mengalahkan doktor pula.” Fayed ketawa. Fayed memang mengambil berat tentang pengambilan ubat-ubatan babah dan umminya. Bimbang kalau ada yang tertinggal, lain pula jadinya nanti.
            “Yed...” Seru Tuan Irham.
            “Ada apa bah?
            “Hujung minggu ni babah dengan ummi nak ke rumah papa, ada kenduri sikit. Kamu tak nak ikut ke?” Tuan Irham memandang wajah Fayed yang sudah berubah riak.
            “Kenduri apa bah?”
            “Kenduri doa selamat. Leona dapat sambung belajar dekat Ireland.”
            Fayed hanya diam. Sejak dia pulang ke Malaysia, belum pernah dia menjejakkan kaki ke rumah sahabat baik babahnya itu. Berat rasa hati untuk melangkah ke rumah yang pernah dihuninya suatu ketika dulu.
            “Jangan bimbang Yed, Lidiya tak ada. Dia masih dekat sana.”
            Fayed mengangkat wajah memandang ke arah Tuan Irham. “Bukan sebab dia bah.” Jawab Fayed perlahan. Cuba melindungi rasa hati.
            “Habis tu sebab apa? Tak elok la macam ni. Apa lah salahnya kalau Fayed ke sana. Papa dengan mama teringin sangat nak jumpa dengan Yed. Babah rasa tak ada salahnya kalau Fayed berjumpa dengan mereka, kan?”
            Fayed menghembuskan nafas perlahan-lahan. Memang tiada salahnya, tetapi dia yang bermasalah sekarang. Rasa tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke sana lagi.
            “Yed, walau apa pun yang jadi Fayed tak boleh lupakan papa dan mama. Mereka kan papa dan mama angkat Fayed, merangkap sahabat baik ummi dan babah. Tak kan lah hanya kerana perkara itu, Fayed mahu memutuskan semua hubungan yang pernah terjalin di antara Fayed dengan papa dan mama. Tak elok buat macam tu Yed.” Sedaya upaya Tuan Irham cuba memujuk Fayed. Sudah lama dia dan isterinya berbincang tentang perkara ini dan mereka sependapat bahawa Fayed tidak sepatutnya menjauhkan diri daripada keluarga Lidiya. Mereka tidak mahu hubungan baik yang selama ini terjalin dicemari oleh permasalahan di antara Fayed dan Lidiya.
            Fayed mengeluh perlahan. “Entah la bah. Yed tak tahu.” Fayed menggelengkan kepala sebelum menutup mukanya dengan kedua belah tangan. Serabut rasanya bila memikirkan tentang perkara ini.
            “Abang... jangan la push sangat. Beri ruang untuk Yed juga.” Tegur Puan Fadilah yang baru melangkah ke ruang tamu.
            Tuan Irham memandang ke arah Puan Fadilah seketika sebelum mengalihkan pandangan ke arah Fayed. “Okay, just take your time. Tapii babah harap Yed dapat pertimbangkan apa yang babah cakapkan tadi.” Tuan Irham bangun dan terus berlalu. Petang-petang macam ni adalah waktu untuk dia meluangkan masa dengan tanamannya di belakang rumah.
            “Yed...” Puan Fadilah melabuhkan duduk di sebelah Fayed lalu meletakkan tangan di atas bahu Fayed. “Yed jangan la stress macam ni. It is okay kalau Yed tak nak ikut ummi dengan babah ke sana, kami tak paksa. Yed jangan stress ye, jangan marah pula dekat babah tu.”
            Fayed tersenyum dan menggeleng. “Tak la ummi, Yed tak marah babah pun. Betul la apa yang babah cakapkan tu. Tapi sejujurnya Yed belum bersedia ummi.” Fayed menggenggam tangan Puan Fadilah yang di atas bahunya.
            Puan Fadilah menarik nafas dalam. “Anak ummi sangat terluka. Ummi nampak tu. Tapi salah satu cara untuk menghilangkan luka itu adalah berhadapan dengan semuanya. Semakin Yed menjauhkan diri, semakin dalam luka itu Yed. Face the fact, walaupun payah. Percayalah, lama-lama luka itu akan hilang.”
            Fayed menggenggam kemas tangan Puan Fadilah. “Dia ada call ummi lagi tak?”
            Puan Fadilah angguk.
            “Dia cakap apa?” Soal Fayed sambil memandang ke dalam anak mata umminya.
            “Just tanya khabar ummi dan family kita.”
            “Dia ada tanya pasal Yed tak?”
            Sekali lagi Puan Fadilah angguk.
            “Dia tanya apa?”
            “Dia tanya Yed dah ada pengganti ke belum.” Jawab Puan Fadilah perlahan. Rasa kesian bila melihat Fayed memendam rasa begini. Namun apa lah daya, semuanya sudah kehendak takdir. Tangan Puan Fadilah naik mengusap bahu Fayed.
            Lama Fayed diam sebelum bangun berdiri. “Yed naik atas dulu ummi.” Kata Fayed sebelum berlalu ke tingkat atas. Puan Fadilah hanya mampu berdoa semoga luka di hati Fayed akan sembuh juga nanti.

AYED!!!”
            Pantas Fayed berlari ke arah Lidiya yang sedang berdiri di dapur. “Ada apa Dee?” Soal Fayed dengan nafas yang termengah-mengah. Dia sedang mencuci kereta sewaktu Lidiya menjerit memanggil nama dia tadi.
            “Macam mana nak goreng telur ni?”
            “What?!” Fayed tercengang. “Tak pandai goreng telur? Seriously Dee?” Soal Fayed dengan nada tidak percaya. Seketika kemudian dia ketawa. Sampaikan berair matanya kerana ketawa kuat sangat.
            “Not funny okay!” Marah Lidiya dengan sudip di tangan.
            “Dee, serious la.”
            “Dee serious la ni. Ayed tu yang tak serious, asyik ketawa je.” Lidiya menjeling Fayed yang masih terbongkok-bongkok menahan ketawa. Over sangat.
            “Meh sini sudip tu. Fatin yang masih sekolah tu pun pandai goreng telur tau.” Fayed bergerak ke arah kuali yang Lidiya letakkan di atas dapur seketika tadi. “Pecahkan telur macam ni je sayang oii... tak kan itu pun tak pandai.”
            “Takut la...”
            “Takut apa?” Fayed menoleh ke arah Lidiya seketika. Telur yang sudah siap digoreng diletakkan di atas pinggan.
            “Takut kena minyak panas.” Jawab Lidiya dengan senyuman di bibir.
            “Eii... manjanya dia ni.” Fayed mencubit geram pipi Lidiya. “Habis macam mana bila duduk jauh nanti? Siapa yang nak tolong gorengkan telur untuk Dee nanti?” Fayed meletakkan pinggan yang berisi telur goreng di atas meja lalu melabuhkan duduk di atas kerusi sebelum menarik pinggang Lidiya supaya mendekat.
            Lidiya tarik muncung. “Kalau tak nak pergi boleh tak?” Soal Lidiya dengan mulut yang masih memuncung. Kalau sebelum ni dia memang teringin sangat nak sambung belajar dekat luar negara. Tetapi sekarang, rasa macam malas pula. Lebih-lebih lagi bila terpaksa berpisah dengan Fayed.
            Fayed mencuit pucuk hidung Lidiya. “Mana boleh macam tu sayang. Kan memang itu cita-cita Dee selama ni. Dah dapat peluang ni, tak kan nak lepaskan pula.”
            “Tapi nanti kena berjauhan dengan Ayed, dengan family kita.” Lidiya mencebik. Tiba-tiba rasa nak nangis pula.
            Fayed senyum. “Sekejap je sayang, bukan lama pun.”
            “Tiga tahun Ayed cakap sekejap? Lama tahu tak. Nanti kalau rindu macam mana?”
            “Kalau rindu Dee boleh datang dekat tempat Ayed.”
            Lidiya angguk. “Ye la, Toronto dengan Munich tu kan macam Kuantan dengan KL saja kan. Dekat sangat.”
            Pecah lagi ketawa Fayed. Tahu yang Lidiya sedang perli dia. “Nanti kalau cuti balik la sini, kita jumpa dekat sini je.”
            “Kalau cuti tak sama?”
            “Ayed pergi cari Dee dekat Munich tu je lah. Habis cerita.”
            “Betul?” Soal Lidiya dengan mata membulat.
            “Kalau ada duit lebih.”
            “Ayed!!!” Lidiya memukul manja bahu Fayed membuatkan ketawa Fayed terburai lagi.
            “Dah sampai sana jangan lupakan Ayed pula.” Rambut Lidiya yang berjuntaian Fayed selit di tepi telinga.
            “No worries, Dee tak akan pernah lupakan Ayed. Ayed tu ha, jangan lupakan Dee pula. Mana la tahu kut nanti terjatuh hati dengan gadis mata biru pula.”
            “Tapi hati Ayed dah jadi milik gadis bermata hitam ni ha. Dia dah ambil hati Ayed lepas tu simpan dalam hati dia. Ayed dah tak ada hati dah nak jatuhkan untuk gadis mata biru dekat sana nanti.”
            “Amboiii... manisnya mulut.” Lidiya mencubit pipi Fayed.
            “Mulut manis dengan Dee sorang je.” Fayed kenyit mata membuatkan Lidiya senyum sampai telinga.

LIDIYA berdiri berhadapan dengan Fayed. Kaum keluarga yang lain berdiri agak jauh daripada mereka, memberi ruang untuk Lidiya dan Fayed mengucapkan selamat tinggal. Mata Lidiya mula memberat. Tidak lama kemudian air jernih mula mengalir membasahi pipi.
            “Why we have to do this? Tak boleh ke kalau Dee ikut Yed? Sambung belajar dekat tempat Yed?” Soal Lidiya dalam tangisan. Tangannya menggenggam kemas tangan Fayed seakan tidak mahu dilepaskan.
            Fayed menggeleng. “It is not easy Dee. Just proceed with our plan, tak perlu nak merumitkan keadaan. Okey? Semuanya sudah sedia Dee, tinggal nak masuk kelas dan belajar saja. Kalau nak tukar sana sini, banyak masa yang rugi nanti.”
            “Tapi Dee tak sanggup nak berpisah dengan Yed.” Semakin lebat tangisan Lidiya.
            “It is just for a while sayang. Yed janji, nanti bila semuanya sudah selesai, Yed pergi Munch. Okey?”
            Lidiya diam tidak menjawab. Kenapa lah mereka harus berpisah macam ni sedangkan dia baru saja merasa hidup bahagia bersama Fayed. Fayed mengeluh lemah. Bahu Lidiya ditarik ke dalam pelukan. “Be strong sayang. Kita berpisah untuk sementara saja. Anggap lah kita pergi berjuang. Dan sememangnya belajar itu kan adalah salah satu daripada jihad. Anggap lah kita sedang berjihad sekarang sayang.” Fayed mengusap belakang badan Lidiya.
            Lama Lidiya diam sebelum bersuara. “Yed janji akan datang jumpa Dee dekat Munich nanti?”
            “Janji.”
            “Yed janji tak akan lupakan Dee nanti?”
            “Janji.”
            “Yed janji tak akan menduakan Dee nanti?”
            “Janji.”
            “Dee sayang dan cintakan Yed.”
            “Yed pun sama Dee.” Fayed mengemaskan pelukan pada Lidiya. Kalau lah dia dapat hentikan masa, akan dia lakukan supaya dia dan Lidiya tidak harus berpisah.
Fayed menggosok mata yang mula basah. Kenangan empat tahun lalu sentiasa berputar di mindanya setiap kali nama itu dibangkitkan. Tak siapa yang sangka dan tak siapa yang menduga kebahagian yang dibina hancur di tengah jalan. Dia sudah berusaha sehabis daya, tetapi jika hanya sebelah pihak saja yang berusaha  memang tidak akan berjaya. Akhirnya, dia harus akur dengan kehendak takdir yang tidak menginginkan mereka untuk terus bersatu.
Fayed bangun dari perbaringan bila telefonnya berbunyi, menandakan ada mesej yang masuk. Tanpa lengah Fayed membuka mesej yang baru diterimanya. “Haish, budak ni lagi. Tak bosan ke asyik mesej orang je.” Bebel Fayed dengan mata tertacap pada mesej yang baru diterimanya...

‘We met for a reason. Either a blessing or a lesson.’ – Minawel

No comments:

Post a Comment