1 February 2016

Ivy Raihana Bab 7

KELIHATAN masih ramai pesakit dan orang awam yang sedang menunggu giliran untuk mengambil ubat. Jam pula sudah menunjukkan hampir ke pukul dua petang. Perut Fayed sudah berbunyi minta diisi. Keadaan di farmasi utama memang selalu sibuk jika dibandingkan dengan farmasi satelit. Kadang nak keluar makan pun tak sempat sebab orang ramai sangat.
            “Yed, dah makan belum?” Soal Ridhuan sewaktu Fayed sedang menyerahkan ubat kepada pesakit yang berdiri di depan kaunter. Fayed menoleh ke arah Ridhuan seketika sebelum menggeleng. Tugasnya diteruskan.
            “Kau pergi la makan dulu. Aku dah belikan nasi untuk kau, ada dekat belakang.” Kata Ridhuan sebelum mengambil alih tugas Fayed.
            “Thanks Wan.” Ucap Fayed sebelum bangun dan lalu berlalu ke pantri di belakang.
            Kelihatan sebungkus nasi dan segelas teh ais sudah tersedia di atas meja. Fayed tersenyum lalu duduk dan mengisi perut yang sedang berkeroncong. Sedang Fayed menjamu selera, Kak Anis iaitu salah seorang pegawai di situ masuk dengan membawa plastik berisi goreng pisang.
            “Baru makan Yed?” Tegur Kak Anis mesra. Goreng pisang yang dibawanya tadi diletakkan di atas meja dan dia melabuhkan duduk dihadapan Fayed.
            “Haah kak. Makan kak...”
            “Makan lah, akak dah makan dah tadi. Yed, ada dengar cerita tak?” Soal Kak Anis dengan suara berbisik.
            “Cerita apa kak?” Soal Fayed pula dengan kerutan di dahi.
            Kak Anis membuka plastik goreng pisang yang dibawanya tadi lalu diletakkan ke dalam pinggan. “Minggu lepas ada junior tersalah prescribe ubat.”
            “Junior mana kak? Habis tu, apa jadi?” Fayed meneruskan suapan yang masih berbaki.
            “Junior yang baru masuk lepas Fayed hari tu. Kaisara kalau tak silap nama dia. Jadi apa, overdose la. Nasib baik tak teruk.”
            Kaisara. Macam tak pernah dengar je nama tu. “Habis tu apa jadi dengan dia akak?”
            “Kena warning. Kesian dekat dia Yed, baru masuk kerja dah jadi macam ni pula.” Masih terbayang wajah muram Kaisara selepas dipanggil berjumpa dengan pegawai atasan. Bukan main pucat lagi. Kerja ahli farmasi bukan senang. Antara cabaran yang terpaksa dihadapi yang macam kes yang ni lah. Memang teruk nak menjawab bila dah tersalah bagi ubat macam ni.
            Belum sempat Fayed bertanya dengan lebih lanjut, telefon di dalam poketnya berbunyi. Kelihatan nama Amir yang tertera di skrin.
            “Waalaikumussalam bang.” Jawab Fayed.
            “Yed, kereta kawan kau dah siap dah ni. Petang ni dah boleh ambil.”
            “Ouh cepatnya bang.”
            “Tak banyak yang rosak Yed.”
            “Okey abang, nanti saya bagi tahu dekat tuan kereta tu.” Fayed sempat mengucapkan terima kasih kepada Amir sebelum menamatkan panggilan.
            “Akak keluar dulu la Yed.” Kak Anis bangun untuk beredar.
            “Goreng pisang ni akak.”
            “Akak tinggal dekat sini je. Nanti sesiapa yang nak boleh la makan. Akak gerak dulu ye.” Kak Anis terus berlalu meninggalkan Fayed sendirian.
            Setelah selesai makan, Fayed kembali mengambil telefon yang diletakkan di atas meja seketika tadi. Jarinya bergerak mencari nombor telefon minah senget dan seketika kemudian nombor tersebut dihubungi. Panggilan pertama tidak bersambut. Fayed mendengus kebosanan. Ini la yang dia paling tak suka, bila call tak ada yang jawab. Sekali lagi Fayed mencuba dan seperti tadi, panggilan tetap tidak bersambut.
            “Tenang Yed, tenang...” Fayed mengusap dada sendiri. Fayed mencuba untuk kali yang terakhir. Tetap juga tidak berjawab. “Okay that’s it.” Fayed mencampakkan telefon ke atas meja lalu mendengus geram. Nasib baik tak tercampak ke bawah.
            “Aku nak bagi nombor telefon Abang Amir hari tu tak nak. Sekarang dah menyusahkan aku pula.” Bebel Fayed.
            Seketika kemudian telefon dia pula yang berbunyi. Fayed mengambil telefon yang dicampaknya tadi. Tertera nama minah senget di skrin. Tanpa berlengah dia terus menjawab panggilan dari minah senget itu.
            “Hello... Siapa ni?” Kedengaran suara Ivy menyoal di sebelah sana.
            “Assalamualaikum.” Fayed memberi salam. Minah ni memang sejenis yang main terjah saja ke.
            “Waalaikumussalam.” Jawab Ivy pantas. “Awak ni siapa? Kenapa call saya?”
            “Kalau tak nak jawab telefon, campak je telefon tu ke sungai cik kak. Tak payah la nak menyusahkan orang call awak berkali-kali.” Marah Fayed. Dari tadi dia menahan rasa geramnya itu.
            “Eh, awak ni siapa ha? Orang tanya elok-elok bukan nak jawab elok-elok, marahkan orang pula. Yang awak sibuk call saya berkali-kali tu apa hal? Dah orang tak jawab, orang tengah sibuk lah tu. Tak payah la nak call banyak kali.” Marah Ivy pula.
            Fayed menahan nafas mendengar bebelan Ivy di sebelah sana. Memang kena ada kesabaran yang tinggi la kalau nak bercakap dengan minah ni. “Kereta awak dah siap, petang nanti dah boleh ambil.” Kata Fayed sebelum memutuskan panggilan. Menyesal pula dia tolong minah senget ni hari tu.
            Fayed bangun untuk ke keluar tetapi belum sempat dia melangkah, telefon di tangan berbunyi. Fayed mendengus geram. Apa lagi la yang minah ni nak.
            “Asam keping!” Jerit Ivy setelah panggilan bersambung. “So, awak nak datang ambil saya pukul berapa?” Soal Ivy dengan nada yang ceria. Dah lama dia tunggu panggilan daripada Fayed. Hari ni baru nak call.
            Kening Fayed terangkat. “Apa hal saya nak kena ambil awak pula?” Soal Fayed dengan kerutan di dahi.
            “Ye la, kan kita nak pergi bengkel petang ni. So, awak nak datang ambil saya pukul berapa? Lepas waktu kerja ke?” Soal Ivy dengan selamba.
            Fayed menjarakkan telefon seketika. Dia sedang bercakap dengan siapa sebenarnya ni? Dengan awek dia ke atau dengan minah senget tu. Dah kenapa pula minah ni bercakap dengan dia macam tengah bercakap dengan kekasih pula. “Hello cik kak, yang nak pergi bengkel tu awak, bukan saya. Kenapa pula saya nak kena ambil ambil awak?”
            “Eh, kan kereta saya ada dekat bengkel sekarang. Habis tu kalau awak tak datang ambil saya, saya nak ke sana naik apa?”
            “Teksi berlambak cik kak. Panggil je teksi.” Jawab Fayed mudah.
            “Dekat area rumah nenek ni susah la nak dapat teksi.”
            “Bukan masalah saya. Dah lah, saya nak sambung kerja ni...” Belum sempat Fayed memutuskan panggilan, Ivy memanggil... “Awak... tolong la. Habis tu dekat sana nanti macam mana? Tak kan saya nak uruskan semuanya sendiri? Saya mana tahu nak uruskan semua tu. Kalau saya kena kelentong dengan diorang macam mana?” Dia tak nak ke bengkel seorang diri. Lagi pula sejak dari awal Fayed yang uruskan semuanya. Apa lah salahnya kalau Fayed uruskan sampai habis, kan?
            “Itu bukan masalah saya.” Jawab Fayed dengan tegas.
            “Nenek!!!”
            Fayed mengeluh perlahan bila Ivy memanggil neneknya. Bila teringatkan Nek Munah, dia rasa tidak enak pula untuk membiarkan Ivy menguruskan semuanya sendiri. “Okay fine! Jumpa awak dekat bengkel petang nanti.”
            “Tak nak datang ambil saya ke?”
            “NO! Jangan nak banyak songeh. Nanti saya text alamat bengkel dekat awak.” Fayed terus memutuskan panggilan. Kenapa la dia boleh terjebak dengan minah senget ni pula. Fayed menggaru kepala yang tidak gatal.

IVY turun dari teksi yang berhenti betul-betul di hadapan bengkel Amir. Dari jauh dia sudah nampak susuk tubuh Fayed yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Mata Fayed sedang merenung tajam ke arah dia. Ivy memandang Fayed atas bawah. Dengan lengan baju kemeja yang di lipat hingga ke siku, Fayed nampak lebih kacak daripada biasa. Ivy meletakkan tangan ke dada. Kenapa tiba-tiba jantung dia berdegup lebih kencang daripada biasa? Perlahan-lahan langkah kakinya diatur mendekati Fayed.
            “Tak reti tengok jam ke? Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?” Marah Fayed. Hampir sejam dia tunggu, sekarang baru nampak batang hidung Ivy. Amir juga terpaksa tutup bengkel lewat hari ini kerana tunggu Ivy datang ambil kereta.
            Erk! Hilang sudah wajah kacak Fayed tadi. Jantung dia juga sudah kembali normal. Mamat asam keping ni memang tak boleh nak cakap elok-elok agaknya. Asyik marah je. “Kan dah cakap tadi dekat area rumah nenek tu susah nak dapat teksi. Orang suruh ambil dekat rumah tak nak pula. Dah tu bising bila orang lambat. Menyampah betul.” Bebel Ivy.
            “Dah, tak payah nak membebel. Mari sini, Abang Amir nak bagi tahu apa yang rosak.” Fayed bergerak ke arah Abang Amir yang sedang menanti. Ivy hanya membontoti Fayed dengan mulut yang memuncung.
            “Banyak ke yang rosak bang?” Soal Ivy yang berdiri di sebelah Amir.
            “Dah berapa lama tak tukar minyak gear dengan filter semua?” Soal Amir pula.
            “Erk... urm...” Ivy diam berfikir. “Tak pernah tukar kut bang. Kenapa?” Soal Ivy dengan wajah yang polos.
            Amir dan Fayed menggelengkan kepala. “Patut la... Gear box kereta yang rosak dan abang terpaksa gantikan dengan yang baru. Nanti jangan lupa tukar minyak gear dengan filter ye. Dekat dalam tu abang dah tanda bila kena tukar semua tu.” Jelas Amir.
            “Ooo... saya tak tahu semua tu bang. Terim kasih.” Ivy tayang sengih. Memang satu apa pun dia tak tahu tentang kereta. Yang dia tahu pandu kereta je. Minyak tu pun baru je pandai isi sendiri.
            “Orang perempuan memang macam ni bang. Yang diorang tahu mekap tebal-tebal, pakai baju cantik-cantik. Itu je lah. Knowledge pasal kereta, zero.” Fayed angkat jari tanda kosong.
            Amir hanya tergelak mendengar kata-kata Fayed. “Betul apa yang kau cakap tu Yed. Dah ramai dah abang jumpa perempuan macam tu. Kadang kesian juga dengan diorang ni, satu apa pun tak tahu. Agak-agak kalau jumpa yang jenis kaki paw, memang teruk la diorang kena ketuk agaknya.” Amir dan Fayed ketawa.
            Ivy menjeling ke arah Fayed yang sedang saronok ketawa. “Tak kelakar okey. Dah lah, berapa total ni bang?” Ivy mengeluarkan beg duit untuk membuat pembayaran.
            “Ini resit nya.” Amir menyerahkan resit pembayaran kepada Ivy.
Selesai semuanya, Ivy bergerak ke arah kereta dan bersedia untuk pulang. Belum sempat dia masuk ke dalam kereta, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Ivy kembali menoleh ke arah Fayed dan Amir yang sedang berbual. Dan tanpa di sangka, sekali lagi jantung dia berdegup dengan kencang bila melihat Fayed yang sedang ketawa bersama Amir. Fayed kelihatan bertambah kacak bila ketawa macam tu. Ivy meletakkan tangan ke dada. Kepalanya sudah mula membayangkan wajah Fayed yang sedang tersenyum ke arah dia. Perlahan-lahan kepala melentok ke kanan dengan bibir yang semakin mekar dengan senyuman. Ah, indahnyaaa...
“Yang duk tersenyum sorang-sorang ni dah kenapa?”
PURFFF!!! Hilang semua bayangan Ivy. Mata dipejam celik. Fayed sedang berdiri di hadapan dia dengan kerutan di dahi. “Hah?!” Mulut Ivy terbuka luas.
Fayed menggelengkan kepala. “Sambung berangan dekat rumah la cik kak, dah nak senja dah ni.” Usai berkata Fayed terus berlalu ke arah keretanya. Bersedia untuk pulang.
Ivy menampar pipi sendiri. Apa daa... Buat malu depan Fayed je. “Errr... Awak!” Panggil Ivy. Baru teringat yang dia ada sesuatu nak cakapkan dekat Fayed.
Fayed menoleh ke arah Ivy dengan kening terangkat. “Ada apa?”
“Terima kasih.” Kata Ivy dengan senyuman yang melebar.
“Sama-sama.” Jawab Fayed sepatah lalu kembali mengatur langkah ke arah keretanya.
Ivy mencebik. Kerek betul. “Awak... nanti saya belanja awak makan eh. Tanda terima kasih sebab tolong saya.” Kata Ivy tanpa menghiraukan Fayed yang sedang melangkah ke arah keretanya.
Langkah kaki Fayed terhenti. Seketika kemudian Fayed berpusing memandang ke arah Ivy yang masih tercegat memandang ke arah dia. “Saya harap setakat ini saja pertemuan kita. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan awak cik kak.” Fayed terus berlalu meninggalakan Ivy yang tercengang di tempat dia berdiri.

“Yed... Sombong nya awak...” Bisik Ivy.

No comments:

Post a Comment