30 December 2015

Ivy Raihana Bab 6

KERETA Fayed menderu laju membelah kepekatan malam. Ivy yang sedang resah gelisah memandang ke arah Fayed yang tenang memandu. Laju gila! Tapi dia boleh buat muka selamba je. Mamat ni memang tak ada rasa takut ke apa.
            “Perlahan sikit boleh tak? Tak lari Nek Mun dikejar la.”
            Fayed menjeling Ivy sekilas. “Tadi awak juga yang risau Nek Mun cari awak kan. Kalau bawa perlahan bila nya nak sampai?” Fayed kembali memberi tumpuan kepada pemanduan.
            “Habis tu kalau yang sampai nanti saya yang dah keras kaku macam mana?” Ivy menyoal dengan mata yang membulat. Hati dia dah sekecil hati ayam dah ni. Takut gila!
            Tanpa amaran Fayed terus memberhentikan keretanya di bahu jalan. Disebabkan tindakan Fayed yang tiba-tiba itu, dahi Ivy nyaris saja tercium dashboard di hadapan.
            “Awak ni dah kenapa?” Jerit Ivy sekuat hati. “Memang ada niat nak kasi saya yang keras kejung ni dekat Nek Mun ke?” Marah Ivy lagi. Jantung dia sikit lagi nak pecah sebab terkejut dengan tindakan Fayed itu.
            Mata Fayed mencerun ke arah Ivy. “Yang mulut awak tu cabul sangat kenapa?” Soal Fayed dengan nada yang sama. “Minta lagi benda yang tak elok macam tu. Nak sangat agaknya jadi macam tu.” Marah Fayed lagi.
            Badan Ivy sudah melekat ke sisi pintu. Tadi jantung rasa nak pecah sebab terkejut dengan Fayed yang berhenti mengejut. Sekarang jantung rasa nak pecah sebab terkejut tengok pandangan mata membunuh Fayed. Fayed tengah marah kau la Ivy. Tapi dah kenapa rasa macam tersuka pula Fayed pandang dia macam tu.
            “Hah! Yang tengok orang macam nak telan tu kenapa? Duduk elok-elok. Pakai seatbelt tu.” Marah Fayed lagi sebelum meneruskan perjalanan mereka. Kalau duk layan budak tiga suku ni entah bila la nak sampai rumah Nek Mun.
            Ivy membetulkan kedudukan. Tangan melekap pada dada sebelah kiri. Rasa getaran saat terpandangkan renungan membunuh Fayed itu tadi masih belum hilang. Kenapa ni? Apa yang dah jadi ni? Ivy mengetuk kepala sendiri.
            “Haa tu dah kenapa pula? Dah mereng ke ketuk kepala sendiri macam tu.” Tegur Fayed tanpa memandang ke arah Ivy.
            Ivy mendengus geram. “Mulut awak tu memang takde insurans kan. Mulut busuk, mulut longkang, mulut nak kena cabai... huh!”
            “Jangan awak minta mulut ni cium awak nanti sudah lah.” Balas Fayed dengan riak muka garang.
            Ivy tercengang. Automatik tangannya naik menutup mulut sendiri. “Ap... ap... apa maksud awak cakap macam tu?” Jantung semakin kuat mengepam. Dup dap dup dap tak berhenti. Kenapa dia cakap macam tu? Apa maksud dia cakap macam tu?
            “Jangan nak perasan sangat lah.” Fayed menolak pipi kanan Ivy supaya memandang ke arah kiri. Terganggu konsentrasi dia nak memandu kalau macam ni.
            “Fayed!”
            “Apa Fayed Fayed? Bising la awak ni. Diam boleh tak? Orang nak memandu pun tak senang.” Marah Fayed. Sungguh konsentrasi dia terganggu bila ada makcik ni dekat sebelah. Mulut tu memang tak boleh diam agaknya.
            Ivy mencebik. “Dasar asam keping, tak boleh orang tegur sikit terus nak melenting.” Bisik Ivy sambil membuang pandang ke arah luar.
            “Tak payah nak banyak bunyi sangat la. Asam keping ni juga yang baik hati tolong awak. Kalau tidak, sampai sekarang awak masih tersadai dekat tepi jalan tu tau. Entah-entah dah jadi lauk.”
            “You!” Jari telunjuk Ivy hampir saja mencungkil biji mata Fayed. “Mulut jangan nak celupar sangat ye. Kalau tak ikhlas tak payah nak tolong la.” Marah Ivy. Sungguh-sungguh dia marah. Hilang dah dup dap dup dap jantung dia bila pandang muka Fayed. Rasa macam nak cakar pula muka ketat tak reti senyum tu. Tadi bukan main marah cakap orang mulut cabul la apa la. Dia tu yang mulut cabul tak sedar pula.
            “Shhh! Bising lah...” Fayed meneruskan pemanduan tanpa mempedulikan jelingan tajam Ivy itu.

TERIMA KASIH Fayed. Nasib baik ada kamu. Kalau tidak, tak tahu la nak jadi apa dengan cucu nenek ni.” Nek Mun menepuk perlahan bahu Fayed. Tuhan saja yang tahu betapa risaunya dia bila Ivy langsung tidak dapat dihubungi. Nak minta tolong Aieen, budak tu tak ada dekat sini pula.
            “Tak ada apa lah nek, benda keci je.” Jawab Fayed sambil menjeling Ivy yang berdiri sambil berpeluk tubuh di sisi Nek Mun.
            Nek Mun menyenggol cucunya di sebelah. Ivy angkat kening, menyoal neneknya tanpa suara. “Dah cakap terima kasih belum?” Bisik Nek Mun. Ivy kembali memandang Fayed yang berdiri tegak di hadapan dia dan neneknya. Yang tak reti nak balik lagi ni kenapa? Tadi bukan main laju lagi bawa kereta macam dah tak sabar sangat nak balik.
            Ivy hanya mencebik. Langsung tak hingin nak ucapkan terima kasih walaupun Fayed dah banyak tolong dia hari ni.
            “Ish budak ni. Cakap terima kasih, cepat!” Bisik Nek Mun. Tapi macam tak bisik je. Fayed dekat depan ni pun dengar apa yang Nek Mun cakap.
            “Tak nak lah...” Ivy menggeleng. Hati dia masih panas dengan kata-kata Fayed tu tadi.
            “Eh budak ni, nak cakap terima kasih pun susah ke...”
            “Kan nenek dah cakap tadi, cukup la. Nak tunggu Ivy cakap terima kasih buat apa, bukan dapat duit pun.” Jawab Ivy. Matanya masih lagi gigih menjeling Fayed yang berdiri tanpa riak.
            Tanpa isyarat, Nek Mun terus menolak badan Ivy agar sedikit membongkok. “Terima kasih...” Ucap Nek Mun bagi pihak Ivy. Ivy yang langsung tidak bersedia hanya menurut saja.
            Fayed tergelak melihat gelagat Nek Mun dengan cucunya yang degil tu. “Tak apa lah Nek, mungkin dia ingat saya tak ikhlas nak tolong dia. Itu yang payah sangat nak ucap terima kasih. Lagi pun saya tak harap sangat dengan terima kasih dia tu.” Sindir Fayed dalam ketawa. Haa boleh gelak juga mamat muka ketat ni rupanya.
            “Eh awak tu memang tak ikhlas ye nak tolong saya. Kalau tidak...”
            Pap!!! Nek Mun menampar bahu Ivy.
            “Aduh nek! Apa ni?” Ivy menggosok bekas tamparan neneknya. Pedih juga. Boleh tahan juga tangan kecik nenek ni ye. Nasib baik kena dekat bahu. Kalau kena pipi harus berbekas tapak tangan.
            “Banyak bunyi la kamu. Orang dah tolong tu, bersyukur la Ivy oiii....”
            “Dari tadi lagi banyak bunyi nek. Bila orang cakap, marah...” Fayed mencelah.
            Ivy memandang geram ke arah Fayed. “You!!!”
            “Yed balik dulu nek. Assalamualaikum...” Fayed pantas mengundurkan diri. Kalau tercegat dekat sini memang sampai ke esok la dia tak balik.
            “Waalaikumussalam. Bawa kereta elok-elok Yed.” Pesan Nek Mun sebelum Fayed berlalu ke keretanya.
            Ivy hanya mencebik. Dah buat orang marah, tahu pula nak lari.
            Pap! Sekali lagi Nek Mun menampar bahu Ivy. “Suka sangat gaduh dengan Fayed tu. Nenek nikahkan kamu dengan dia nanti baru tahu.” Nek Mun mula menapak ke dalam rumah. Lenguh dah kaki dia duk tercegat dari tadi tunggu budak Ivy tu.
            “Nenek! Nak sangat ke asam keping tu jadi cucu menantu?” Ivy memuncung. Tangan kembali naik menggosok bekas tamparan Nek Mun itu tadi. Dua kali kena dekat tempat yang sama. Perit juga.
            “Nak la!”
            “Nenek!” Jerit Ivy sekuat hati. Tak hingin la kahwin dengan mamat asam keping muka ketat macam tu.



No comments:

Post a Comment