30 November 2015

Hessa, It's Me! Bab 15

SUDAH seminggu usia perkahwinan kami. Masih baru dan masih hijau. Masih ada banyak perkara tentang Niyaz yang perlu aku pelajari. Sekarang kami sudah tinggal bersama dengan daddy Niyaz di rumah keluarga mereka. Rutin harian aku yang lain masih sama cuma sedikit bertambah kerana aku turut menjaga makan dan pakai daddy. Hal kecil saja, tiada yang susah pun.
            Satu persatu bahan mentah di dalam peti sejuk aku keluarkan. Memandangkan hari ini adalah hari minggu, aku bercadang untuk menyediakan nasi lemak dengan ayam goreng berempah. Malam tadi aku dah tengok, semua bahan mentah masih cukup.
Sedang aku mengeluarkansatu persatu bahan dari peti ais, kedengaran suara orang bercakap di bahagian depan. Terus aku meninggalkan bahan-bahan tersebut dan berlalu ke bahagian depan. Kelihatan Niyaz dan daddy sudah lengkap berbaju melayu dan bersongkok di kepala.
“Abang dengan daddy nak ke mana?” Aku mendekati Niyaz dan daddy yang sudah bersedia untuk keluar.
Niyaz tersenyum seketika. “Kami nak ke kubur sekejap. Hessa buat apa dekat dapur?”
“Hessa ingat nak masak nasi lemak tadi, untuk sarapan. Abang, Hessa nak ikut abang dan daddy ke kubur mummy.”
Niyaz dan daddy saling berpandangan. “Hessa pergi naik bersiap, kami tunggu. Tak payah masak nasi lemak lah, kita sarapan dekat luar saja nanti.” Kata daddy. Niyaz hanya tersenyum dan angguk dengan kata-kata daddy.
“Okey kejap, Hessa nak kemaskan barang yang dapur dulu.” Aku terus berlalu ke dapur, mengemas semula yang bahan-bahan yang telah aku bawa keluar tadi. Kemudian aku terus berlalu ke tingkat atas untuk bersiap.
Baju kurung cotton berwarna krim aku padankan dengan instant shawl berwarna dusty pink. Instant shawl pemberian Tok nek. Aku faham maksud disebalik pemberian itu, tapi entah kenapa rasa untuk bertudung sepenuhnya masih belum ada.

BUNGA-BUNGA kemboja berguguran di atas tanah. Harumannya tetap berbau segar walau sudah terkulai layu. Aku hanya mengikut langkah kaki Niyaz dan daddy. Ini adalah pertama kali aku dibawa ke sini kerana tidak pernah berkesempatan untuk menziarah kubur mummy. Sewaktu pengkebumian mummy dulu pun aku tidak datang.
            Langkah kaki kami terhenti di sisi kubur yang kelihatan kemas terjaga. Langsung tiada rumput yang tumbuh di atas kubur mummy. Nampak tenang saja semuanya.
            “Ini lah kubur mummy Hessa...” Kata daddy sambil memegang batu nisan yang dipacak di atas kubur. Niyaz pula sudah duduk di sisi kubur dan bersedia untuk membaca yasin. Aku memberikan salam. Masih aku ingat pesan Along supaya memberi salam sewaktu masuk ke kawasan perkuburan dan sewaktu berada di sisi kubur yang kita ziarahi. Memang itu yang selalu kami lakukan tiap kali menziarahi kubur arwah mak dan ayah.
            Bacaan yasin kami mulakan dengan tenang. Hati terasa sayu. Rasa rindu mula mencengkam. Rindukan arwah mak, ayah dan juga mummy. Air mata mula memberat. Namun sedaya upaya aku cuba menahannya daripada jatuh ke pipi. Tak elok menangis di kubur Hessa.
            Bacaan yasin kami diakhiri dengan bacaan doa oleh daddy. Selesai semuanya, kami menyiram kubur mummy dengan air yang sempat aku bawa tadi. Kuntuman bunga juga bertaburan di atas kubur mummy. Setelah selesai menyiram kubur mummy, daddy meminta diri untuk beransur terlebih dahulu. Niyaz menyuruh daddy untuk menunggu kami di dalam kereta saja. Aku tahu, daddy mahu bersendirian buat seketika. Raut wajah duka daddy menceritakan semuanya.
            Aku memandang Niyaz yang masih duduk di sisi kubur. “Mummy... Niyaz bawa isteri Niyaz hari ni mummy.” Niyaz senyum dalam kepahitan. “Mummy nak tahu tak siapa isteri Niyaz?” Soal Niyaz kemudian mendongak memandang ke arah aku dan tersenyum.
            Niyaz kembali memandang ke arah kubur mummy. “Hessa mummy. Hessa dah jadi isteri Niyaz. Niyaz tahu, kalau mummy masih ada, mesti mummy gembira dengan pilihan Niyaz ni kan.” Seketika kemudian Niyaz menggeleng. “Tak. Bukan Niyaz yang pilih Hessa, tapi Hessa yang pilih Niyaz. Dan Niyaz bersyukur sangat sebab Hessa sudi pilih Niyaz untuk menjadi suami dia mummy.” Suara Niyaz sudah berubah sebak.
            “Abang...” Aku mengusap bahu Niyaz. Cuba menenangkan Niyaz.
            “Hessa baik mummy. Sanggup berkorban untuk keluarga kita. Dia rasa bersalah sangat dengan apa yang telah terjadi. Tapi Niyaz tahu yang mummy tak pernah salahkan Hessa bukan?”
            “Abang...” Sekali lagi aku menyeru nama Niyaz. Tidak mahu dia terlalu larut dalam perasaan nya.
            “Abang nak kongsikan semuanya dengan mummy.” Kata Niyaz perlahan. “Abang nak mummy tahu yang Hessa sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kami sekarang.” Niyaz menarik tangan aku supaya duduk di sisinya.
            “Niyaz doakan supaya mummy tenang di sisi Nya. Niyaz rindu sangat dekat mummy. Niyaz janji yang Niyaz akan jaga menantu mummy sebaik mungkin. Niyaz akan cuba untuk bahagiakan menantu mummy ni seperti mana dia berusaha untuk membahagiakan keluarga kita.” Niyaz menggenggam kemas tangan aku sepertinya menyalurkan satu semangat yang baru untuk kami meneruskan perkahwinan ini.
            “Hessa pun rindukan mummy juga. Walau singkat saja pertemuan di antara kita, rasa rindu itu tetap ada dalam hati Hessa untuk mummy. Semoga mummy tenang di sana. Aku turut membalas genggaman tangan Niyaz. Kami saling berpandangan dan tersenyum. Aku dapat rasa seperti ini adalah permulaan yang sebenar untuk rumah tangga kami. Semoga apa yang bakal terjadi nanti adalah perkara yang baik-baik saja.

SATU-PERSATU album lama dikeluarkan dari almari. Walaupun sudah lama, album itu semua masih kelihatan elok dan tersusun. Selesai sarapan di luar tadi, Niyaz terus memandu pulang ke rumah. Sewaktu kami melangkah ke tingkat atas, daddy mengajak aku duduk bersama dengannya kerana ada sesuatu yang dia ingin tunjukkan kepada aku. Rupa-rupanya album lama keluarga Niyaz.
            “Yang ini sewaktu kami di Armsterdam. Umur Niyaz waktu tu empat tahun kalau tak silap daddy.” Daddyu menghulurkan album yang berisi gambar mereka sewaktu di luar negara.
            “Wah... untung la abang. Kecil-kecil lagi dah berjalan ke luar negara.” Daddy ketawa mendengar kata-kata aku.
            “Terpaksa Hessa. Bukan berjalan suka-suka.” Kata daddy dengan senyuman yang masih menghiasi bibir. Daddy kelihatan lebih ceria sekarang berbanding sewaktu di tanah perkuburan tadi.
            “Terpaksa kenapa?”
            “Sebab terpaksa ikut daddy pergi kerja. Daddy pergi sana atas urusan perniagaan daddy. Mummy dengan Niyaz terpaksa ikut sebab daddy tak nak tinggalkan mereka dekat rumah. Mummy bukan main muncung lagi waktu. Dia tak suka ikut daddy sebab bosan katanya. Dekat negara luar macam tu bukan boleh keluar jalan-jalan ikut suka hati. Nak pula mummy berdua dengan anak kecil saja kan. Jadi, terpaksa dia terperuk dekat bilik hotel saja. Itu yang dia tak suka. Tapi bila sampai masa untuk berjalan, haa lebar la senyuman dia macam yang dekat dalam gambar tu.” Jelas daddy.
            Aku kembali membelek album itu satu persatu. Ya, bukan main lebar lagi senyuman mummy dalam gambar ni semua. Cantik sangat. “Yang ini dekat mana daddy?” Aku menunjukkan sekeping gambar Niyaz yang berdiri di tepi perigi dengan hanya berseluar pendek saja. Kelakar betul muka Niyaz waktu tu. Muka terlebih excited ke apa ni.
            Daddy mengambil gambar yang aku tunjukkan kepadanya. Kemudian daddy ketawa. Sungguh-sungguh daddy ketawa. “Kenapa daddy?”
            “Kalau Hessa nak tahu, itu gambar Niyaz sewaktu dekat kampung. Umur Niyaz enam tahun waktu tu. Masa tu hari raya, kami semua balik berkumpul di rumah arwah nenek Niyaz ni ha. Waktu pagi semua lambat bangun lepas tu berebut nak guna bilik air. Sebab tak tahan lama sangat menunggu, daddy bawa Niyaz mandi air perigi. Tu muka excited sebelum kena siram tu Hessa. Sekali kena air perigi, terus dia terloncat tak nak mandi lagi dah. Sejuk sampai ke tulang.”
            Aku turut gelak. Muka sebelum kena siram pun dah kelakar. Lepas kena siram agak-agak macam mana lah rupa Niyaz tu ye. “Daddy memang rakam semua ye?”
            Daddy angguk dan senyum. “Memang dari dulu daddy suka rakam semuanya. Lepas tu bawa pergi kedai untuk cuci filem tu semua lepas tu simpan dalam album. Kenangan sepanjang zaman. Kan seronok bila kita buka balik album ni semua dan tengok ramai-ramai sambil mengimbau kenangan lama. It’s more memorable I think.”
            Aku turut bersetuju dengan kata-kata daddy. Memang cara dulu lebih memorable berbanding yang sekarang. Orang ramai lebih gemar untuk menyimpan gambar-gambar kenangan mereka di dalam telefon, pendrive atau laptop sahaja. Bila nak tengok, kena buka tu semua. Leceh betul.
            “Apa yang seronok sangat bersembang ni?” Tegur Niyaz yang baru naik ke atas dengan dulang di tangan.
            “Eh, abang buat air ke? Kenapa tak bagi tahu Hessa? Boleh Hessa tolong buatkan.” Aku bergegas bangun dan mengambil dulang dari tangan Niyaz untuk diletakkan dia tas meja.
            “Tak apa lah Hessa, bukan susah pun.” Niyaz mengusap kepala aku. Suka betul dia buat macam tu. Sejak sebelum kahwin lagi.
            “Ni, daddy tunjukkan Hessa gambar-gambar lama Niyaz dengan mummy.” Kata daddy setelah Niyaz melabuhkan duduknya di atas karpet sebelah aku.
            “Eh, malu la daddy...” Niyaz cuba menarik album di atas riba aku tetapi aku menghalang.
            “Tak payah nak malu sangat. Hessa dah tengok semuanya. Kan Hessa?” Daddy kenyit mata. Suka mengusik juga daddy ni.
            “Haah, Hessa dah tengok semuanya. Gambar yang tuttt... tuttt... pun Hessa dah tengok.”
            Niyaz menjengilkan mata ke arah aku. “Apa gambar tutt tutt... Daddy, ada gambar tak senonoh ke?” Niyaz terus merampas album dari tangan aku dan membelek album tersebut dengan rakus. Aku dan daddy hanya ketawa melihat gelagat Niyaz itu. Gelabah tak habis.
            “Dah tak payah nak kalut sangat. Mana ada gambar tak senonoh. Semua gambar sopan je.” Daddy menenangkan keadaan. Niyaz sengih kemudian nya. Risau sangat kalau aku tengok gambar tak senonoh dia tu.
            “Niyaz tak nak bawa Hessa pergi honeymoon ke?” Aku dan Niyaz saling berpandangan. “Dah seminggu kahwin, asyik terperap dekat rumah saja. Lepas tu pergi kerja. Bawa la Hessa keluar berjalan sama. Pengantin baru kan sepatutnya kena pergi honeymooon. Guna masa bercuti tu untuk kenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam.” Sambung daddy lagi.
            Serius aku memang langsung tak terfikir soal bulan madu. Yang aku fikirkan setelah menjadi isteri Niyaz hanyalah untuk menjalankan tugas aku sebagai isteri dan menantu di dalam rumah ini. Itu saja.
            “Hessa nak pergi honeymoon?” Soal Niyaz. Daddy pula asyik pandang-pandang. Dah kenapa Niyaz ni tanya macam tu depan daddy. Karang kalau aku angguk macam gatal pula. Bulan madu kan, faham-faham saja lah.
            “Erk... Hessa tak kisah. Hessa ikut abang je.” Aku sengih. Pipi dah rasa kebas dah ni.
            “Apa la tanya macam tu. Semua orang pun nak la pergi honeymoon ni semua Niyaz. Jangan buat-buat tak tahu pula.” Usik daddy dengan ketawa lepas. Niyaz menggaru kepala yang tak gatal. Segan lah cakap pasal ni depan daddy.
            “Habis tu nanti daddy tinggal sorang pula.”
            “Hessa, daddy bukan budak kecil lagi tau. Daddy dah tua, nak takut apa kalau tinggal sorang. Lagi pun, Hessa dengan Niyaz bukan pergi sebulan pun kan. Ke memang ada niat nak pergi honeymoon sebulan?” Usik daddy lagi dengan ketawa yang masih bersisa. Hadoi... Makin kebas pula muka aku.

            “Dah, tak payah nak buat muka segan macam tu lah.” Daddy ketawa lagi. Seronok betul daddy usik kami macam ni ye. “Niyaz bincang la elok-elok dengan Hessa. Daddy nak masuk berehat dalam bilik.” Daddy bangun dan terus berlalu ke dalam biliknya. Aku dengan Niyaz saling memandang. Nak kena pergi bulan madu juga ke?

3 comments: