21 September 2015

Cinta Han & Nadia Bab 3

 BAB 3
“MA, Nad nak keluar dengan adik sekejap lagi. Mama nak ikut tak?” Nasi goreng disuap ke dalam mulut sambil mata memerhati Puan Azura yang juga sedang makan di hujung meja.
            “Nak keluar ke mana?”
            “Mall kot. Adik cakap nak cari hadiah untuk kawan dia.”
            “Siapa kawan adik? Lelaki ke perempuan?” Soal Puan Azura lagi.
            “Ma...” Nampak dah aura busybody mama tu. Puan Azura gelak. Haish, tahu saja anak dia ni lah.
            “Nad pergi dengan adik je lah, mama nak duduk kat rumah je. Tengah hari karang Kak Lara dengan Abang Hafiz kamu sampai.”
            “Eh, hari ni ke kakak balik?” Puan Azura geleng kepala. Nadia ni apa saja lah yang dia tahu. Keadaan seliling mana dia nak kisah. Kakak balik honeymoon pun dia tak tahu. Ada ke patut.
            Banyak perkara yang terjadi dalam masa dua tahun selepas pembedahan Aisya. Alhamdulillah pembedahan adiknya itu berjalan dengan lancar. Minor surgery saja iaitu pembedahan buang tiroid. Tapi kalau dah namanya pembedahan, siapa pun risau kan. Sehinggakan adik terpaksa menangguh pengajian selama satu semester kerana dipaksa oleh mama.
Mama memang seorang yang cepat risau lebih-lebih lagi kalau perkara yang berkaitan dengan kami adik beradik. Selepas ketiadaan ayah mama menjadi lebih protective. Nak membesarkan anak-anak perempuan seorang diri, sesuatu yang agak mencabar juga. Mungkin sebab itu lah mama jadi macam tu.
            Enam bulan selepas pembedahan adik, Kak Lara telah mendirikan rumah tangga dengan rakan sekelasnya sewaktu di universiti. Bila entah kakaknya ini jatuh cinta dia pun tak tahu. Yang dia tahu, Kak Lara adalah seorang yang gila kerja.   
            “Nad... mama tanya ni. Mengelamun pula.”
            “Eh, mama tanya apa?”
            “Kamu berangan eh Nad?”
            Nadia gelak. “Adoi mama ni, mana ada Nad berangan.”
            “Habis tu dari tadi mama panggil kamu buat tak tahu je. Duk sengih-sengih macam orang angau.”
            “Ma don’t start. Please...” Suara mengada-ngada Nadia dah keluar dah. Jangan lah mama ungkit pasal jodoh. Masak dia nak menjawab nanti.
            “Merengek macam budak kecil la anak mama ni.” Puan Azura menghirup perlahan kopi di dalam cawan.
            “Mama tanya apa tadi ma?” Suapan yang terhenti di sambung.
            “Mama tanya macam mana dengan kelas mengaji yang Nad nak buat tu, dah renovate ke belum?”
            “Ouh pasal tu. Belum ma. Tapi Abang Kamal dah datang tengok dah hari tu. Barang-barang untuk renovation pun Abang Kamal dah belikan. Dalam masa dua tiga hari lagi dah boleh mula la kot. Mama tak nak pergi tengok ke? Nanti boleh la mama kongsi idea untuk penambah baikan kelas tu nanti.”
            Kerusi di sebelah Nadia ditarik. Baru nak turun Cik Aisya yang seorang ni, lama betul bersiap.
 “Kelas apa Kak Nad?” Tanya Aisya. Telinganya sempat menangkap perbualan mama dengan Kak Nad nya seketika tadi.
“Kelas mengaji yang Kak Nad cakap hari tu.” Aisya angguk sambil menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan.
“Nanti kalau dah lima puluh peratus siap renovate mama pergi ye. Sekarang ni biar je lah Kamal yang uruskan semuanya.”
Nadia angguk. “Okay ma. Harap-harap semua berjalan lancar lah lepas ni.”
“In shaa Allah sayang, niat dan pekerjaan yang baik Allah akan permudahkan.” Puan Azura menggenggam kemas jemari Nadia di atas meja.
“In shaa Allah ma.”
“Kak Nad, adik tanya sikit boleh?” Tiba-tiba Aisya bersuara.
Nadia senyum. “Boleh adik. Nak tanya banyak pun boleh.”
“Urm... macam mana boleh timbulnya idea untuk buat kelas mengaji tu?”
“Ouh, pasal tu ke?” Soal Nadia. Aisya angguk kepala.
“Hari tu Kak Nad singgah kat masjid depan sana tu. Terjumpa dengan dua orang makcik tapi bukan orang sini. Singgah solat. Makcik-makcik tu tanya akak, kat masjid ni ada buat kelas mengaji ke tidak. Yang mama pergi masjid tiap-tiap pagi sabtu tu kelas mengaji lah kan ma?”
Puan Azura angguk.
“Ha jadi, Kak Nad cakap la tiap hari sabtu ada kelas mengaji kat sini makcik. Alhamdulillah makcik-makcik tu cakap. Rupanya kat kawasan mereka susah nak cari kelas mengaji untuk orang dewasa. Kebetulan singgah solat kat masjid kawasan kita, itu yang mereka tanya.”
“Mereka tinggal kat kawasan mana Kak Nad?”
“Ish, Kak Nad tak tanya la pula.”
“Jadi, apa kaitan cerita tadi dengan idea Kak Nad tu?”
“Lepas tu Kak Nad terfikir, why not Kak Nad buat kelas mengaji untuk orang dewasa memandangkan sekarang ni agak kurang kelas mengaji untuk orang dewasa kan. Kebetulan pula ada lot kosong kat atas butik Kak Nad tu, memang rezeki Kak nad lah nampaknya. Jadi, orang-orang sekitar boleh lah datang belajar mengaji kat kelas tu nanti.”
“Waaa, bagusnya kakak adik ni.” Aisya memeluk bahu Nadia kemas.
“Baru tahu ke?” Riak Nadia riak.
“Lagi satu kan adik, hari tu Kak Nad terdengar ceramah dekat radio semasa on the way nak ke butik. Ustaz tu cakap kat akhirat nanti bukan saja amal ibadat kita yang akan disoal, apa yang kita lakukan semasa umur muda kita dan apa yang telah kita lakukan untuk agama kita juga akan turut disoal. Betul kan ma apa yang ustaz tu cakap?”
Puan Azura angguk lagi.
“Takut tak adik?”
Aisya angguk laju. Puan Azura dan Nadia ketawa melihat telatah Aisya.
“Eh ketawakan adik pula. Orang tengah serious la.”
“Ye, kami pun tengah serious juga. Tapi tengok adik angguk macam tu, lawak la.” Jawab Nadia dalam ketawa yang masih bersisa. Akhirnya Aisya turut ketawa.
“Sejuk hati mama tengok anak-anak macam ni.”
Nadia dan Aisya memandang ke arah mama mereka.
“Kita ni hidup saja di dunia, tapi yang penting yang akhirat sana. Mama bersyukur sangat bila anak-anak mama dapat mengimbangi kedua-dua nya.” Kata Puan Azura dalam senyum yang panjang.
“Nad cuba ma. Walau bengkang bengkok macam mana sekalipun hidup Nad, Nad akan cuba untuk luruskan kembali. Nad harapkan bimbingan mama juga, sampai bila-bila.” Nadia menggenggam kemas tangan mamanya.
“Adik pun sama ma. Kalau nampak adik macam terumbang ambing di lautan yang dalam, tolonglah tarik adik kembali ke daratan.”
Nadia pandang adiknya di sebelah. “Amboi bahasa, metafora sangat. Siap dengan gaya terumbang ambing tu ha. Dasyat betul adik ni.” Usik Nadia.
Aisya ketawa lepas. “Apa lah Kak Nad ni, orang nak serous sikit pun tak boleh. Suka buat orang gelak sampai menangis macam ni tau.”
Puan Azura terus ketawa melihat gelagat anak-anaknya. Alhamdulillah, semuanya Allah permudahkan.





“ALONG nak ke mana?” Tanya Puan Maria bila melihat Farhan yang kemas berpakaian menuruni anak tangga satu persatu.
            “Along nak keluar mom.”
            “Ke mana? Hari cuti macam ni lebih baik rehat kat rumah saja along.”
            “Along nak keluar jumpa Seri Khairani.” Jawab Farhan ringkas sambil melabuhkan punggung di sebelah Puan Maria.
            Puan Maria terdiam. Anaknya itu sudah bersetuju dengan cadangan dia tu ke? Bisik hati Puan Maria perlahan.
            “Along, pasal rancangan mommy tu...”
            “Kenapa mom?” Soal Farhan tak sabar.
            “tak payah lah along teruskan.” Jawab Puan Maria jujur.
            Berkerut dahi Farhan mendengar jawapan mommynya. Dah kenapa pula tiba-tiba. Hari tu bukan beria ke mommy nak suruh dia keluar dengan Seri. Hari ini dah tak payah keluar pula. Yang mana satu sebenarnya mommy ni.
            “Mommy tak nak along jadi macam angah.”
            “Maksud mommy?” Makin keliru Farhan jadinya.
            Puan Mara mengeluh perlahan. “Mommy tak nak jodoh yang mommy pilihkan untuk along menjadi penyebab along hilang kebahagian, macam angah. Along faham kan maksud mommy?” Tangan Farhan di atas riba digenggam kemas.
            Farhan merenung ke dalam anak mata Puan Maria. Nampak riak kesedihan di dalam mata mommy. Adakah sejak perkahwinan angah mommy sentiasa sedih? Sudah hilangkah rasa bahagia dan gembira mommy. Lalu apa yang harus dia lakukan untuk mengembalikan semua itu?
            “Along dah berjanji dengan Seri mom.”
            “Jangan paksa diri along. Tolong lah...” Sudah sampai tahap merayu pula jadinya.
            “Mommy jangan la macam ni.” Farhan menggosok lembut bahu Puan Maria.
            “Mommy tolong jangan sedih-sedih macam ni. Along jumpa Seri sekejap saja, itupun sebab along dah terlanjur berjanji untuk jumpa dia. Mommy jangan risau, along tak akan buat keputusan yang tidak membahagiakan along. Lagi pun, Seri dah ada pilihan hati dia sendiri kan.”
            Puan Maria terkejut. “Along tahu?”
            “Along terdengar perbualan mommy dengan daddy hari tu.”
            “Jadi, untuk apa pertemuan ini?”
            “Hanya pertemuan biasa mommy. Kawan berjumpa dan minum bersama, itu saja.”
            “Maafkan mommy along.” Puan Maria memeluk Farhan erat. Menyesal sungguh dia rasa bila mengikut saja cadangan Nora.
            “You don’t have to mom. Mommy tak salah pun.” Belakang badan Puan Maria digosok selembut mungkin bagi menenangkan hati ibu yang tengah rawan.
            “Along, mommy, kenapa ni?”
            “Eh achik, tak kerja ke?” Soal Puan Maria sambil menyapu air mata yang sempat menuruni pipi.
            “Kerja, achik balik ambil dokumen yang tertinggal kejap. Mommy dengan along okay tak ni?”
            Farhan senyum. “Kami okay. Mommy ni je yang touching sikit.”
            “Mommy kenapa? Tak sihat ke?” Daniel mendekat.
            “Mommy sihat achik, jangan risau.” Puan Maria senyum.
            Anak ada empat orang, semua karakter berbeza. Farhan Shah yang sulong, agak pendiam dan lebih tenang berbanding yang lain. Amri Shah yang kedua, sentiasa ceria walau pelbagai masalah menimpa. Daniel Shah yang ketiga, seorang yang banyak cakap tapi cepat risau. Entah macam mana lah dia handle masalah kat pejabat. Yang bongsu, Nabila Iman. Semua karakter abang-abang dia sapu. Tiga Shah dalam satu Iman, cuba bayangkan. Agak huru hara juga lah.
            “Betul mommy sihat?” Soal Daniel lagi.
            “Yes Daniel Shah.”
            “Okay kalau dah keluar aura naga memang betul-betul sihat lah tu. Achik naik dulu, nak cari dokumen yang tertinggal tadi. Gelabah ni.” Tangga di panjat laju.
            “Perlahan sikit langkah tu achik, jatuh karang.” Sempat Puan Maria berpesan.
            Farhan gelak. Kelakar betul adik dia yang seorang ni, kalut semedang.
            “Along gerak dulu mommy.” Tangan Puan Maria disalami.
            “Jaga diri along, bawa kereta elok-elok.”
            “In shaa Allah mom.”
            Farhan melangkah perlahan ke arah keretanya. Jumpa Seri. Makan kemudian sembang sekejap, then balik. Semoga hari ini berlalu dengan pantas.

DARI satu kedai ke satu kedai yang lain mereka berjalan. Tapi satu apa pun tak beli. Penat betul melayan kerenah adik bongsu dia ni, cerewet bukan main. Tak tahu lah apa sebenarnya yang dia nak beli.
            “Lama lagi ke adik? Kak Nad dah penat la berjalan ke hulu ke hilir macam ni, tapi satu apa pun adik tak beli.” Nadia berpeluk tubuh sambil memandang ke arah Aisya yang masih gigih memilih bed sheet di atas rak display.
            “Ala dah penat ke? Lembik la Kak Nad ni.”
            “Amboi! Tak sayang mulut nampak.”
            Aisya sengih. “Nak bagi bed sheet ke eh? Kak Nad, sesuai ke kalau adik bagi bed sheet as a wedding gift?”
            “Sesuai je adik. Cepat la, Kak Nad dah lapar ni tau.” Rengek Nadia.
            “La, tadi kan dah makan nasi kat rumah. Lapar lagi ke?”
            “Dah lama sangat berjalan perut kenyang pun boleh lapar balik tau adik. Cepat la...” Merengek je tak jalan, tangan Aisya pula yang ditarik Nadia.
            “Ish, macam budak-budak la Kak Nad. Jom lah kita pergi makan, adik pun dah lapar juga sebenarnya.”
            “Okay jom. Nak makan kat mana?”
            “Okay jom ikut adik.” Laju Aisya menarik tangan Nadia untuk ke tingkat atas.

“HAN dah tahu semuanya?” Soal Seri.
            Farhan angguk.
            “I’m sorry Han, Seri pun tak sangka boleh jadi macam ni. Padahal mama dah tahu yang Seri dah ada someone special.” Jelas Seri lagi. Rasa bersalah pula bila Farhan turut terlibat sama dalam konflik mereka sekeluarga.
            “Tak apa Seri, Han faham.”
            “Tapi tak patut mama buat rancangan macam tu.” Seri kesal.
            “Mama Seri cuma nak yang terbaik untuk anak dia.”
            “Tapi bukan macam ni caranya Han.”
            Farhan diam. Entah lah, dia sendiri pun tak faham. Perkara simple saja sebenarnya, tapi sengaja diperbesarkan. Kalau semua duduk berbincang, masalah macam ni tak akan timbul.
            “Jadi, Han setuju ke dengan rancangan mama dan auntie?”
            Farhan geleng.
            Seri lega.
            “At first, macam nak cuba. Tapi bila Han tahu yang Seri dah ada kekasih, Han tak sampai hati. Tak sanggup Han nak hancurkan kebahagian orang lain sedangkan Han sendiri tak pasti yang Han akan gembira dengan keputusan yang Han buat tu nanti.”
            “Ouh thanks so much Han, lega Seri dengar.”
            Farhan senyum. Jelas kelegaan di wajah Seri. Kalau lah dia setuju dengan rancangan mommy dan Auntie Nora, semuanya pasti akan menjadi lebih kusut. Soal hati dan perasaan, tiada yang mudah.
            “Tapi nanti Seri cuba lah berbincang dengan Auntie Nora tentang hal ni.”
            Seri mengeluh. “Mama tu Han, susah Seri nak cakap. Sudah banyak kali Seri terangkan kat mama, tapi mama sengaja buat tak faham. Seri dah tak tahu nak cakap macam mana lagi dah.”
            “Uncle pula macam mana?”
            “Papa memang sebelahkan Seri, tapi you know la mama kan. Tapi Han jangan risau, walau macam mana sekalipun perkahwinan di antara kita tak akan terjadi. Seri sayang sangat kat Riz.” Ucap Seri dengan penuh perasaan.
            Farhan senyum lagi. Bertuah Riz dapat kekasih yang setia macam Seri. Diri sendiri ni macam mana pula. Masih menanti orang yang entah di mana berada sekarang ini atau sudah bersedia untuk mencari yang lain?
            “Doktor Han?!”
            Tiba-tiba satu suara menegur dari belakang. Farhan pusing. Kelihatan seorang gadis tersenyum sambil melambaikan tangan dan yang seorang lagi hanya berdiri kaku dengan wajah yang pucat.

            Awak...

No comments:

Post a Comment