30 December 2015

Ivy Raihana Bab 6

KERETA Fayed menderu laju membelah kepekatan malam. Ivy yang sedang resah gelisah memandang ke arah Fayed yang tenang memandu. Laju gila! Tapi dia boleh buat muka selamba je. Mamat ni memang tak ada rasa takut ke apa.
            “Perlahan sikit boleh tak? Tak lari Nek Mun dikejar la.”
            Fayed menjeling Ivy sekilas. “Tadi awak juga yang risau Nek Mun cari awak kan. Kalau bawa perlahan bila nya nak sampai?” Fayed kembali memberi tumpuan kepada pemanduan.
            “Habis tu kalau yang sampai nanti saya yang dah keras kaku macam mana?” Ivy menyoal dengan mata yang membulat. Hati dia dah sekecil hati ayam dah ni. Takut gila!
            Tanpa amaran Fayed terus memberhentikan keretanya di bahu jalan. Disebabkan tindakan Fayed yang tiba-tiba itu, dahi Ivy nyaris saja tercium dashboard di hadapan.
            “Awak ni dah kenapa?” Jerit Ivy sekuat hati. “Memang ada niat nak kasi saya yang keras kejung ni dekat Nek Mun ke?” Marah Ivy lagi. Jantung dia sikit lagi nak pecah sebab terkejut dengan tindakan Fayed itu.
            Mata Fayed mencerun ke arah Ivy. “Yang mulut awak tu cabul sangat kenapa?” Soal Fayed dengan nada yang sama. “Minta lagi benda yang tak elok macam tu. Nak sangat agaknya jadi macam tu.” Marah Fayed lagi.
            Badan Ivy sudah melekat ke sisi pintu. Tadi jantung rasa nak pecah sebab terkejut dengan Fayed yang berhenti mengejut. Sekarang jantung rasa nak pecah sebab terkejut tengok pandangan mata membunuh Fayed. Fayed tengah marah kau la Ivy. Tapi dah kenapa rasa macam tersuka pula Fayed pandang dia macam tu.
            “Hah! Yang tengok orang macam nak telan tu kenapa? Duduk elok-elok. Pakai seatbelt tu.” Marah Fayed lagi sebelum meneruskan perjalanan mereka. Kalau duk layan budak tiga suku ni entah bila la nak sampai rumah Nek Mun.
            Ivy membetulkan kedudukan. Tangan melekap pada dada sebelah kiri. Rasa getaran saat terpandangkan renungan membunuh Fayed itu tadi masih belum hilang. Kenapa ni? Apa yang dah jadi ni? Ivy mengetuk kepala sendiri.
            “Haa tu dah kenapa pula? Dah mereng ke ketuk kepala sendiri macam tu.” Tegur Fayed tanpa memandang ke arah Ivy.
            Ivy mendengus geram. “Mulut awak tu memang takde insurans kan. Mulut busuk, mulut longkang, mulut nak kena cabai... huh!”
            “Jangan awak minta mulut ni cium awak nanti sudah lah.” Balas Fayed dengan riak muka garang.
            Ivy tercengang. Automatik tangannya naik menutup mulut sendiri. “Ap... ap... apa maksud awak cakap macam tu?” Jantung semakin kuat mengepam. Dup dap dup dap tak berhenti. Kenapa dia cakap macam tu? Apa maksud dia cakap macam tu?
            “Jangan nak perasan sangat lah.” Fayed menolak pipi kanan Ivy supaya memandang ke arah kiri. Terganggu konsentrasi dia nak memandu kalau macam ni.
            “Fayed!”
            “Apa Fayed Fayed? Bising la awak ni. Diam boleh tak? Orang nak memandu pun tak senang.” Marah Fayed. Sungguh konsentrasi dia terganggu bila ada makcik ni dekat sebelah. Mulut tu memang tak boleh diam agaknya.
            Ivy mencebik. “Dasar asam keping, tak boleh orang tegur sikit terus nak melenting.” Bisik Ivy sambil membuang pandang ke arah luar.
            “Tak payah nak banyak bunyi sangat la. Asam keping ni juga yang baik hati tolong awak. Kalau tidak, sampai sekarang awak masih tersadai dekat tepi jalan tu tau. Entah-entah dah jadi lauk.”
            “You!” Jari telunjuk Ivy hampir saja mencungkil biji mata Fayed. “Mulut jangan nak celupar sangat ye. Kalau tak ikhlas tak payah nak tolong la.” Marah Ivy. Sungguh-sungguh dia marah. Hilang dah dup dap dup dap jantung dia bila pandang muka Fayed. Rasa macam nak cakar pula muka ketat tak reti senyum tu. Tadi bukan main marah cakap orang mulut cabul la apa la. Dia tu yang mulut cabul tak sedar pula.
            “Shhh! Bising lah...” Fayed meneruskan pemanduan tanpa mempedulikan jelingan tajam Ivy itu.

TERIMA KASIH Fayed. Nasib baik ada kamu. Kalau tidak, tak tahu la nak jadi apa dengan cucu nenek ni.” Nek Mun menepuk perlahan bahu Fayed. Tuhan saja yang tahu betapa risaunya dia bila Ivy langsung tidak dapat dihubungi. Nak minta tolong Aieen, budak tu tak ada dekat sini pula.
            “Tak ada apa lah nek, benda keci je.” Jawab Fayed sambil menjeling Ivy yang berdiri sambil berpeluk tubuh di sisi Nek Mun.
            Nek Mun menyenggol cucunya di sebelah. Ivy angkat kening, menyoal neneknya tanpa suara. “Dah cakap terima kasih belum?” Bisik Nek Mun. Ivy kembali memandang Fayed yang berdiri tegak di hadapan dia dan neneknya. Yang tak reti nak balik lagi ni kenapa? Tadi bukan main laju lagi bawa kereta macam dah tak sabar sangat nak balik.
            Ivy hanya mencebik. Langsung tak hingin nak ucapkan terima kasih walaupun Fayed dah banyak tolong dia hari ni.
            “Ish budak ni. Cakap terima kasih, cepat!” Bisik Nek Mun. Tapi macam tak bisik je. Fayed dekat depan ni pun dengar apa yang Nek Mun cakap.
            “Tak nak lah...” Ivy menggeleng. Hati dia masih panas dengan kata-kata Fayed tu tadi.
            “Eh budak ni, nak cakap terima kasih pun susah ke...”
            “Kan nenek dah cakap tadi, cukup la. Nak tunggu Ivy cakap terima kasih buat apa, bukan dapat duit pun.” Jawab Ivy. Matanya masih lagi gigih menjeling Fayed yang berdiri tanpa riak.
            Tanpa isyarat, Nek Mun terus menolak badan Ivy agar sedikit membongkok. “Terima kasih...” Ucap Nek Mun bagi pihak Ivy. Ivy yang langsung tidak bersedia hanya menurut saja.
            Fayed tergelak melihat gelagat Nek Mun dengan cucunya yang degil tu. “Tak apa lah Nek, mungkin dia ingat saya tak ikhlas nak tolong dia. Itu yang payah sangat nak ucap terima kasih. Lagi pun saya tak harap sangat dengan terima kasih dia tu.” Sindir Fayed dalam ketawa. Haa boleh gelak juga mamat muka ketat ni rupanya.
            “Eh awak tu memang tak ikhlas ye nak tolong saya. Kalau tidak...”
            Pap!!! Nek Mun menampar bahu Ivy.
            “Aduh nek! Apa ni?” Ivy menggosok bekas tamparan neneknya. Pedih juga. Boleh tahan juga tangan kecik nenek ni ye. Nasib baik kena dekat bahu. Kalau kena pipi harus berbekas tapak tangan.
            “Banyak bunyi la kamu. Orang dah tolong tu, bersyukur la Ivy oiii....”
            “Dari tadi lagi banyak bunyi nek. Bila orang cakap, marah...” Fayed mencelah.
            Ivy memandang geram ke arah Fayed. “You!!!”
            “Yed balik dulu nek. Assalamualaikum...” Fayed pantas mengundurkan diri. Kalau tercegat dekat sini memang sampai ke esok la dia tak balik.
            “Waalaikumussalam. Bawa kereta elok-elok Yed.” Pesan Nek Mun sebelum Fayed berlalu ke keretanya.
            Ivy hanya mencebik. Dah buat orang marah, tahu pula nak lari.
            Pap! Sekali lagi Nek Mun menampar bahu Ivy. “Suka sangat gaduh dengan Fayed tu. Nenek nikahkan kamu dengan dia nanti baru tahu.” Nek Mun mula menapak ke dalam rumah. Lenguh dah kaki dia duk tercegat dari tadi tunggu budak Ivy tu.
            “Nenek! Nak sangat ke asam keping tu jadi cucu menantu?” Ivy memuncung. Tangan kembali naik menggosok bekas tamparan Nek Mun itu tadi. Dua kali kena dekat tempat yang sama. Perit juga.
            “Nak la!”
            “Nenek!” Jerit Ivy sekuat hati. Tak hingin la kahwin dengan mamat asam keping muka ketat macam tu.



3 December 2015

Ivy Raihana Bab 5

FAYED menghidupkan enjin kereta lalu kembali berdiri di luar kereta. Orang yang lalu lalang masih ramai. Bukan orang lain pun, para pelawat dekat hospital ni juga. Macam-macam ragam ada. Ada yang gembira, ada yang biasa-biasa saja dan tak kurang juga ada yang berduka.
            “Yed, buat apa dekat luar ni? Kenapa tak masuk dalam kereta je?” Tanya Ridhuan yang kebetulan lalu di situ.
            Fayed berpaling ke arah suara yang menegur. “Eh Wan. Aku tunggu kereta ni sejuk kejap. Panas sangat la dekat dalam ni. Kau nak balik dah ke?”
            “Aku nak balik dah la, tunggu sini buat apa lagi kan.” Ridhuan gelak.
            “Bukan ada anak bini pun dekat rumah.” Usik Fayed pula. Ridhuan sama lah dengan dia, masih bujang trang tang tang... Bukan tak nak kahwin, cuma belum jumpa calon yang sesuai. Tapi dia...
            “Tak ada anak bini pun mak aku ada dekat rumah tu tunggu aku balik la.”
            “Anak mak ke bro?”
            Ridhuan ketawa. Selalu sangat dah kena gelar macam tu dengan kawan-kawan. Dah kalis dah dengan gurauan macam tu. “Anak mak dengan ayah aku la... Kau pun mesti mak ayah kau tunggu juga kan.” Ridhuan menumbuk perlahan bahu Fayed. Kemudian mereka sama-sama ketawa.
            Ridhuan menilik jam tangannya seketika. “Aku balik dulu Yed. Jumpa esok.” Ridhuan mula mengundurkan diri.
            “Kirim salam dekat mak ayah kau Wan.” Sempat Fayed menitipkan pesanan.
            “Kau pun sama. Assalamualaikum...”
            “Waalaikumussalam.” Fayed masuk ke dalam kereta dan bersedia untuk berlalu sebelum tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring minta di angkat. Tertera nama ummi di skrin telefonnya.
            “Ada apa mi?” Tanya Fayed setelah menjawab salam Puan Fadilah.
            “Yed dekat mana ni?” Soalan berbalas soalan.
            “Yed dekat dalam kereta ummi. Baru nak gerak balik. Ada apa mi?” Soal Fayed lagi. Gear kereta kembali ditukar kepada gear parking.
            “Ni adik nak kirim roti canai. Adik nak keluar beli sendiri tadi tapi ummi tak bagi. Dah nak senja dah ni kan. Boleh tak Fayed tolong beli kan?”
            Fayed ketawa. “Fayed ingatkan apa lah tadi ummi. Boleh je. Nak roti apa? Nak berapa biji? Nak kuah apa?”
            Giliran Puan Fadilah pula tergelak. “Amboi, ada dah tu...”
            “Ada apa mi?” Soal Fayed pelik.
            “Ada gaya mamak jual roti canai...” Pecah lagi ketawa Puan Fadilah. Bergabung dengan ketawa Fayed. Ummi dia ni kadang kelakar juga.
            “Main-main pula ummi ni. Karang Yed betul-betul jadi mamak jual roti canai baru tahu.” Usik Fayed pula.
            “Ummi tak kisah. Janji halal...”
            “Tapi Yed tak pandai tebar roti canai la mi.” Kata Fayed dengan nada dibuat sedih.
            “Aihhh... betul-betul nak jual roti canai ke cik abang?” Ketawa Fayed pula yang pecah mendengar kata-kata Puan Fadilah itu tadi.
            “Dah lah ummi, Yed nak drive ni. Nanti suruh adik text Yed nak roti apa, berapa biji, nak kuah apa, ye ummi.” Fayed kembali memasukkan gear ke drive.
            “Urm Yed...”
            “Ada apa-apa lagi ummi?” Soal Fayed penuh sopan.
            “Urm... tadi dia call ummi.” Kata Puan Fadilah perlahan. Bimbang kalau emosi Fayed terganggu dengan berita yang bakal disampaikan. Tapi nak tak nak dia kena bagi tahu juga.
            “Dia? Who?”
            “You know who Yed.”
            Fayed terus terdiam. Dia tahu siapa yang ummi dia maksudkan. Tak sebut nama pun mood dia dah boleh swing. Kalau sebut nama entah apa lagi yang swing agaknya. “Dia nak apa?” Soal Fayed malas.
            “Nak Yed la. Nak apa lagi.” Pantas Puan Faridah menjawab.
            Fayed mendengus. “Ummi, Yed nak drive ni. Talk to you later. Assalamualaikum.” Fayed terus memutuskan talian sebelum sempat Puan Faridah menjawab salam darinya.
            Fayed memegang kemas steering kereta. Hati tiba-tiba rasa sakit bila teringatkan tentang dia. Kalau lah dia ada dekat depan mata sekarang, lebam juga pipi dia Fayed kerjakan. Kereta diundur perlahan dan terus berlalu meninggalkan kawasan parking farmasi. She is not here Fayed. Don’t bother to think about her.

REMANG senja semakin jelas kelihatan. Beberapa minit saja lagi, matahari akan tenggelam dan siang akan bertukar malam. Selesai membeli roti canai yang dipesan oleh adiknya tadi, Fayed terus memandu pulang.
Sampai di satu selekoh, kelihatan ada satu kereta tersadai di tepi jalan. Fayed memperlahankan pemanduan. Kelihatan pemandunya hanya menongkat dagu di tepi tingkap dengan wajah muram. Perempuan? Buat apa pula dekat tepi jalan senja-senja macam ni. Ada masalah ke? Bisik hati kecil Fayed.
Tanpa berlengah, Fayed terus memberhentikan keretanya sedikit terkehadapan daripada kereta tadi. Fayed memandang cermin sisi. Pemandu itu tadi sedang mengendap keluar dari cermin kereta sambil mengintai ke arahnya.
Ivy cuba mengintai pemandu kereta yang tiba-tiba berhenti di depan keretanya. Tapi langsung tak nampak. Cermin gelap tak hengat. Ni orang baik ke jahat? Jangan-jangan dia nak apa-apa kan aku tak? Bisik Ivy. Tanpa membuang masa Ivy terus menutup cermin dan mengunci pintu kereta. Steering lock di pegang kemas, sebagai langkah berjaga-jaga.
Fayed melangkah keluar dari kereta. Lengan bajunya yang sudah dilipat hingga siku diperkemaskan. Tadi dah nampak muka, tapi sipi saja lah. Sekarang dah tak nampak langsung. Cermin pun dah dinaikkan. Ada masalah apa agaknya perempuan ni ye.
Ivy memandang ke arah lelaki yang sedang berjalan ke arahnya. Dari jauh nampak macam kenal. Tapi dia tak cam sangat. Pandangan mata difokuskan ke arah raut wajah lelaki itu. Semakin lelaki itu menghampiri, semakin pantas jantungnya berdegup. Please tell me that this is so not real.
Fayed mengetuk cermin kereta yang agak gelap itu. Heh, tadi mengata orang budak Ivy ni. Rupanya kereta dia pun sama gelap juga. Wajah yang samar-samar kelihatan itu seperti teragak-agak untuk menurunkan cermin. Sekali lagi Fayed mengetuk cermin kereta dan mengarahkan supaya cermin itu diturunkan dengan segera.
Ivy mengeluh perlahan. Dalam ramai-ramai manusia, kenapa la asam keping ni pula yang datang. Dengan teragak-agak Ivy menurunkan cermin keretanya.
“Hai asam keping!” Ivy melambaikan tangan dengan sengihan. Jangan la pak cik ni nak menyembur dia dekat sini pula.
“Minah sewel?!” Fayed membeliakkan mata. Dalam ramai-ramai manusia, kenapa la dia pilih untuk berhenti depan kereta minah sewel ni pula. “Buat apa dekat sini? Dah tak ada kerja sangat, nak tayang muka dekat tepi jalan ni pula?” Soal Fayed garang. Tiap kali jumpa dengan minah sewel ni asyik nak marah saja dia rasa.
“Amboi asam keping, sedap mulut je mengata orang.” Ivy menjeling Fayed yang sedang berdiri sambil bercekak pinggang di depannya. “Tak nampak ke orang tengah cuci kain ni?” Sindir Ivy geram. Mulut tu kalau tak mengata orang memang tak boleh agaknya.
Fayed menyilangkan tangannya ke dada. “Ooo... Rajin pula minah sewel ni cuci kain dekat tepi jalan ni ye. Kalau macam tu gteruskan lah ye. Hari pun dah nak malam ni, saya balik dulu.” Fayed bersuara lembut dan tersenyum sinis sebelum berlalu ke arah keretanya.
“Erk...” Ivy terus keluar dari kereta nya. “Weh asam keping!” Jerit Ivy. Asam keping pun asam keping lah. Dia saja lah harapan nusa dan bangsa kau sekarang Ivy.
Fayed tidak mengendahkan jeritan Ivy dan terus melangkah ke arah keretanya tanpa berpaling ke arah Ivy walau seketika. Tanpa membuang masa Ivy terus mengejar langkah kaki Fayed. “Asam keping!!!” Jerit Ivy sekuat hati.
“Stop calling me asam keping lah idiot!” Marah Fayed.
“What?! You called me idiot?!” Mata Ivy terbuntang luas. Sebelum ni minah sewel. Sekarang idiot pula. Memang kurang asam punya asam keping.
“Yeah you idiot. Mak ayah orang dah bagi nama elok-elok dipanggilnya asam keping pula.” Marah Fayed lagi. Sungguh dia geram dengan panggilan asam keping tu.
“Helloooo mister! Awak panggil saya minah sewel boleh pula? Jangan harap orang nak hormat orang lah kalau dah awak sendiri pun tak tahu nak hormat orang.” Marah Ivy. Bengang juga dengan kata-kata Fayed itu tadi. Tahu pula marah bila orang panggil dia dengan panggilan macam tu. Tapi dia nak panggil orang macam-macam tak apa pula.
Setepek kena dekat muka Fayed. Pipi dia rasa kebas tiba-tiba. Rasa macam baru kena tampar. “Nak apa?” Soal Fayed dengan marah yang masih bersisa. Kalau bergaduh dengan minah ni, sampai esok pun tak habis.
“Cakap elok-elok tak boleh ke? Asyik nak marah je.” Kata Ivy dengan nada yang sama.
Fayed mendengus geram. Hari dah makin gelap. Lagi lama dia layan kerenah Ivy, lagi lama lah dia dekat sini. “Fine! Nak apa cik adik?” Soal Fayed dengan nada tertahan.
“Tolong la...” Pinta Ivy dengan nada yang sedikit rendah berbanding tadi.
Boleh perlahan volume rupanya minah ni. “Tolong apa?” Soal Fayed sambil berpeluk tubuh. Ivy memuncung ke arah keretanya. Minta Fayed tolong tengokkan kereta dia yang tersadai dekat tepi jalan.
“Call me nicely then I’ll help you.” Ivy telan air liur sendiri. Nak panggil apa? Abang? Euwww... Nak panggil nama tak tahu la pula nama asam keping ni apa.
“Asam kepinggg...” Panggil Ivy dengan nada meleret.
Fayed terus berpaling untuk masuk ke dalam keretanya namun sempat ditahan oleh Ivy. “Kenapa pula?” Soal Ivy cemas.
“Told ya! Call me nicely then I’ll help you. If not, goodbye cik adik.”
“Dah panggil elok-elok dah tadi. Asam keping versi lembut cair leleh dah. Apa lagi yang tak cukup nya?” Bentak Ivy.
“Elok apa macam tu? My name is not asam keping lah.” Marah Fayed. Dia ingat call me nicely yang aku cakap tu refer kepada cara dia panggil ke. Kenapa ke laut sangat pemikiran minah ni.
“What should I call you then? Saya tak tahu pun nama awak siapa. Awak bukan nak kenalkan diri pun. Bila orang panggil asam keping marah pula.” Ivy sudah mula membebel.
“Fine! Nak tolong apa ni?” Fayed beralah. Langkah kakinya di atur ke arah kereta Ivy semula.
“Eh kejap lah, nama awak apa? Nak panggil apa ni?” Ivy kembali mengejar langkah kaki Fayed. Dari tadi asyik main kau lari aku kejar saja.
“Tanya Nek Mun nanti lah. Ada masalah apa ni?”
“Pula. Habis tu saya nak panggil awak apa?”
“Apa-apa saja lah. Ada masalah apa ni?” Sekali lagi Fayed menyoal.
“Panggil asam keping karang, marah pula...”
Fayed bercekak pinggang. “Jangan nak banyak cakap bleh tak? Nak saya tolong ke tak nak?” Marah Fayed kembali semula. Banyak bebel la budak ni. Orang dah nak tolong lagi dia nak membebel.
“Yela, yela... saya panggil awak saja lah.” Ivy menjuihkan bibir. “Tak tahu kenapa tiba-tiba tak boleh nak tuakr gear ni ha.” Ivy menunjukkan ke arah gear keretanya.
Fayed duduk di tempat pemandu. Tangannya memegang kemas gear kereta Ivy dan mencuba untuk menukarkan gear tersebut kepada drive tetapi tidak berjaya. Berkali-kali dia mencuba, satu pun  tidak berhasil.
Hari sudah mula gelap. Duduk berdua macam ni dalam keadaan gelap sangat tidak menyenangkan Fayed. Kereta yang lalu lalang pula langsung tidak ada yang berhenti. Susah betul nak minta tolong.
“Awak tunggu kejap, saya cuba call kawan saya.” Fayed bergerak sedikit menjauh. Nombor telefon rakan-rakannya di dail satu persatu untuk mendapatkan bantuan.

Ivy hanya memandang kelakuan Fayed dari kejauhan. Lalu dia mengeluh perlahan. Dari tadi tak dapat call nenek. Mesti nenek dah risau ni. Tangan mula menggaru sana sini. Gatal akibat digigit nyamuk. Fayed masih lagi bersembang di telefon.
“Ini Abang Amir ke?” Soal Fayed. “Saya Fayed. Saya dapat nombor telefon abang daripada kawan saya.”
“Ye saya Amir. Ada apa Fayed?” Jawab yang di sana pula.
“Abang boleh tolong saya tak? Kereta kawan saya rosak la bang. Ada dekat tepi jalan. Abang boleh datang sini?”
Dari kejauhan Ivy mendengar Fayed memperkenalkan dia sebagai kawan. Terharu pula rasa. Gerak laku Fayed dipandang atas bawah. Kenapa hati dia berdebar tiba-tiba ni? Pandangan mata Fayed yang tajam kalau tengok dari sisi nampak sangat memukau. Muka yang panjang, hidung yang sedikit mancung dan kulit yang putih membuatkan Fayed kelihatan agak kacak di matanya.
“Sekajap lagi abang mekanik sampai.” Suara garau Fayed mengembalikan Ivy ke realiti.
“Abang mekanik?” Soal Ivy seperti orang terpinga-pinga.
Fayed angguk. “Saya dah call dia tadi, kejap lagi dia sampai.” Usai berkata Fayed berlalu ke arah keretanya pula.
“Awak nak pergi mana?” Soal Ivy cemas bila melihat Fayed sudah kembali bergerak ke keretanya semula. Dia nak tinggal aku dekat sini ke apa. Bisik Ivy.
“Saya nak tunggu abang mekanik tu dekat dalam kereta saya.” Jawab Fayed tanpa memandang Ivy.
“Habis tu saya?” Soal Ivy dengan nada risau.
Fayed mengeluh perlahan dan berpaling ke arah Ivy. “Awak tunggu la dekat dalam kereta awak.” Jawab Fayed dengan nada bosan. Penat lah nak layan kerenah budak ni.
“Tapi gelap ni, saya takut.” Jawab Ivy dengan suara merengek.
“Saya lagi takut kalau kita duduk berdua dalam gelap.” Fayed terus berlalu tanpa mempedulikan Ivy yang masih memandang ke arahnya.
Ivy mendengus dan terus berlalu ke arah keretanya. Syukur lah Ivy. Dia nak tolong kau ni pun kira bagus dah.

“MEMANG tak boleh nak buat apa la Yed. Kena tolak masuk bengkel juga.” Abang Amir mengelap tangannya dengan kain yang dia bawa.
            “Teruk sangat ke bang?” Tanya Fayed. Ivy hanya diam menyepi di sebelah. Nak mencelah, dia bukan tahu apa pun pasal kereta. Tukang servis pun orang lain. Dia tahu bawa saja.
            “Tak ada lah teruk sangat tapi tak boleh nak buat kerja dekat sini. Benda ni pun makan masa dalam dua tiga hari juga baru siap.
            Fayed memandang Ivy yang hanya diam di sebelah. “Macam mana?” Soalnya kepada Ivy. Ivy hanya angkat bahu tanda tidak tahu. Fayed mengeluh perlahan. Kalau tolak masuk bengkel budak ni macam mana? Nak balik dengan apa?
            “Okey lah bang. Abang buat lah apa yang patut, kami ikut je.” Putus Fayed.
            “Kalau macam tu abang panggil kawan abang tarik kereta ni ke bengkel ye.” Kata Abang Amir dan Fayed hanya bersetuju saja. Abang Amir terus menelefon rakannya.
            “Habis tu saya nak balik naik apa?” Bisik Ivy. Bimbang kalau Abang Amir dengar. Padahal bukan cakap pasal benda sulit pun.
            “Balik naik teksi la.” Jawab Fayed senang.
            “Tak nak lah.” Ivy menyilangkan tangan ke badan.
            “Kenapa pula?”
            “Naik teksi malam-malam tak selamat la. Itu pun tak tahu ke?” Kata Ivy dengan nada tertahan.
            “Habis tu nak duduk sini? Lagi la tak selamat.” Kata Fayed pula. Langsung tak terfikir untuk menghantar Ivy pulang ke rumahnya.
            “Okey lah Yed, kejap lagi kawan abang sampai.” Kata Abang Amir setelah memutuskan talian. “Korang berdua kalau nak balik boleh la balik sekarang. Apa-apa hal nanti abang telefon.” Sambung Abang Amir lagi.
            “Terima kasih abang.” Fayed bersalaman dengan Abang Amir sebelum kembali ke keretanya. Tanpa membuang masa, Ivy terus mengikut jejak Fayed.
            “Saya tak kira, saya nak awak hantarkan saya balik rumah sekarang juga.” Bentak Ivy. Kalau tak balik dengan Fayed, dia nak balik dengan apa? Kalau balik dengan teksi memang dia tak sanggup. Macam-macam perkara negatif dah berlegar dalam kepala dia sekarang.
            “Saya dah lewat la. Ummi dengan adik saya dah lama tunggu saya dekat rumah tu.” Jwab Fayed tanpa nada dan terus membuka pintu kereta di bahagian pemandu.
            “Habis tu awak ingat nenek saya tak tunggu saya dekat rumah? Dah la dari petang tadi saya tak dapat call nenek saya. Telefon ni tiba-tiba saja mati. Harapkan harga saja mahal, tapi hampeh.” Kata Ivy dengan mata yang berkaca.

            Fayed terdiam seketika dan memakukan pandangan ke arah Ivy. Wajah Nek Mun tiba-tiba terbayang di ruang mata. “Okey fine! Saya hantarkan. Masuk sekarang.” Kata Fayed dengan tegas. Dan tanpa membuang masa Ivy terus masuk ke temat duduk di sebelah pemandu. Bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman. Yed... Nama awak Fayed rupanya. Ivy simpan senyum dalam hati.

1 December 2015

Hessa, It's Me! Bab 16

AKU memandang keadaan Brew Cafe yang agak sesak dengan orang ramai. Tapi ramai dengan remaja yang datang secara berkumpulan atau hanya berdua. Nasib baik aku datang awal tadi. Sempat la grab meja dekat sebelah cermin ni. Nak harapkan Aini, memang tak la. Selalu lambat.
            “Hessa! Sorry weh aku lambat.” Panjang umur. Baru cakap dah sampai. Aini meletakkan beg tangannya di atas kerusi sebelah aku.
            “Pergi la order air dulu, nanti ramai pula orang dekat kaunter tu. Beg kau tinggal sini, biar aku yang jaga.” Masih ramai yang sedang beratur di kaunter tetapi ramai juga yang berpusu masuk ke dalam kafe ni. Kalau lambat, lama lagi la kena tunggu agaknya.
            Aini terus bergerak ke kaunter. Keadaan kafe masih bising dengan orang ramai yang keluar masuk. Balik lambat nampaknya aku hari ni. Nasib baik Niyaz okey saja bila aku beritahu yang aku nak keluar dengan Aini hari ini.
            Aini kembali semula kemeja setelah hampir lima belas minit beratur untuk membeli minuman. “So, apa cerita?” Soal Aini setelah melabuhkan duduk di sisi aku.
            “Aku nak pergi honeymoon...”  
            “Wow! Interesting. Kau nak honeymoon dekat mana?” Aini menyisip perlahan cappucino iced yang dibelinya tadi.
            Aku angkat bahu. Aku dengan Niyaz masih belum buat keputusan ke mana destinasi bulan madu kami nanti. “Aku tak tahu la Aini. Kau rasa, kat mana best untuk honeymoon?”
            “Eh, tanya aku pula. Kau yang nak pergi kan, kau la yang decide.”
            “Tapi aku tak tahu nak pergi mana la Aini. Kau pun tahu kan, aku bukannya suka berjalan.”
            Aini ketawa. “Habis tu, tak kan lah Abang Niyaz tak ada cadangan nak ke mana?” Sekali lagi aku geleng. Niyaz pun sama, tak tahu nak pergi mana. Aini mengeluh perlahan. “Kau orang berdua ni, betul ke pengantin baru? Nak pilih destinasi bulan madu pun payah bukan main. Aku tak faham betul la. Kalau pasangan lain, hari ni nikah, semalam lagi dah siap pack barang untuk bulan madu.”
            “Itu pasangan lain Aini. Kami bukan macam tu...” Jawab aku perlahan. Betul, dalam fikiran kami langsung tak terlintas tentang bulan madu. Apa yang ada hanya lah hidup bersama di bawah satu bumbung. Itu saja. Kehidupan kami suami isteri juga hanya biasa-biasa saja. Aku jaga makan pakai Niyaz dan Niyaz jaga kebajikan aku. Itu saja. Tak ada nak mesra atau romantik macam pasangan lain. Macam tinggal sebilik dengan kawan sendiri.
            “Hessa... Kenapa cakap macam tu?”
            Aku geleng dan senyum. “Tak ada apa-apa lah Aini.” Tak kan lah nak cerita dekat Aini semuanya pula.
            “Aku rasa macam ada yang tak kena saja dengan kau ni. Kau dengan Abang Niyaz okey tak?” Soal Aini lagi.
            “Kami okey la. Apa nya yang tak okey.”
            “Abang Niyaz layan kau dengan elok tak?”
            “Yes Aini.” Jawab aku tanpa nada.
            Aini angguk. “Kau cintakan Abang Niyaz ke tak sebenarnya?” Out of nowhere, tiba-tiba Aini tanya soalan macam tu.
            “Kenapa?” Aini angkat bahu. “Aku rasa kau memang cintakan dia sejak dulu lagi. Dia pun sama.”
            “Kenapa kau cakap macam tu?”
            Aini senyum. “Kadang Hessa, kita tak sedar yang kita sudah jatuh cinta. Orang di sekeliling kita saja yang perasan tentang itu semua. Same goes to Abang Niyaz. Aku rasa dia cintakan kau. Cuma dia tidak sedar tentang itu. The way he talk, the way he act and the way he concern about you tells all.”
            Betul ke? Sebab tu ke dia selalu pesan dekat aku supaya jaga diri aku untuk dia? Sebab dia cintakan aku? Tapi... Itu semua andaian Aini. Belum tentu semuanya betul. Kalau betul, kenapa dia layan aku macam biasa saja. Nothing special. Cara kami berkomunikasi pun dah macam kawan-kawan saja. “Aku tak rasa macam tu la Aini. Mungkin dia sayangkan aku sama macam aku sayangkan dia. Tak lebih daripada itu.”
            “Kalau macam tu, ke mana arah tuju perkahwinan kau sebenarnya Hessa?” Aini memandang aku dengan wajah yang serius. Tak pernah lagi Aini serius macam ni bila bercakap dengan aku. Selalunya ada saja yang nak digelakkan.
            “Aku tak tahu. Yang pasti, aku nak bahagiakan Niyaz. Itu saja.” Yup. Aku akan pastikan Niyaz bahagia di samping aku.
            “But how?” Soal Aini dengan kening terangkat. Macam mencabar aku pun ada ni ha. “Dengan jaga makan pakai dia dan berikan sepenuh perhatian kepada dia, macam tu?” Soal Aini lagi.
            “Mungkin...” Aini gelak mendengar jawapan aku. “Hadoi la! Masalah betul bila bila bercakap dengan orang yang tak pernah bercinta ni la.”
            Dah gelak pula. Pelik betul la aku dengan Aini ni. “Kau nak cakap apa sebenarnya ni Aini? Cakap terus terang boleh tak? Soal aku macam-macam, lepas tu gelak pula. Tak faham betul la aku.” Air yang masih berbaki aku minum perlahan. Semoga sejuk lah hati aku yang tengah hangat ni. Hangat-hangat tahi ayam saja. Mana boleh nak hangat membara kalau dengan Aini ni.
            Semakin galak Aini ketawa. “Kau memang wajib kena pergi honeymoon la Hessa. Then you will know how to make Abang Niyaz the happiest man in the world.”
            “Ceh... Itu nak fikir songsang lah tu. Kau belum kahwin ye Aini, jangan nak fikir lebih-lebih.” Pipi aku dah tukar warna dah agaknya. Malu la cakap pasal ni. Menyesal pula bagi tahu Aini pasal honeymoon ni tadi.
            “Aku cakap betul Hessa. Kalau kau nak bahagiakan Abang Niyaz, kau kena curahkan semua kasih dan sayang yang kau ada. Kalau kau tak cinta tak apa, sebab cinta boleh datang kemudian. Tapi bila kau dah jatuh cinta dengan Abang Niyaz, kau kena pastikan juga yang Abang Niyaz juga cintakan kau. Mesti kau tak nak kan cinta bertepuk sebelah tangan?”
            Aku geleng. Memang la. Tak ada siapa pun yang nak cinta bertepuk sebelah tangan ni oii... “Jadi, kau boleh mulakan sewaktu honeymoon tu nanti. Kau berikan sepenuh kasih dan sayang kau kepada Abang Niyaz. Aku yakin dia akan bahagia. Tapi, aku tak payah cakap lah ye apa yang kau perlu buat dekat sana nanti. Pandai-pandai lah kau fikir sendiri.” Aini gelak lagi. Rosak dah kawan aku ni.
            Serius, pipi aku bukan setakat bertukar warna pink dah ni. Dah jadi warna merah dah agaknya. “Tapi, kau boleh tolong suggest tak tempat yang best untuk honeymoon.” Serius aku tak tahu nak pergi mana. Niyaz pula dah serahkan kepada aku untuk pilih destinasi bulan madu kami.
            Aini senyum penuh makna. “Dalam negara ke luar negara?”
            “Niyaz cakap tak kisah. Tapi kan Aini, kalau boleh aku nak ke tempat yang ada pemandangan yang cantik. A great scenery because I love sight seeing. Kalau tempat sejarah pun okey.”
            “Kau ingat kau nak pergi lawatan sekolah ke apa?” Soal Aini dengan mata yang dicelik luas. Kelakar betul. Tapi memang pun. Selalunya yang ikut lawatan sekolah je pergi ke tempat-tempat sejarah macam tu.
            “Aku ada la beberapa pilihan destinasi yang nak sangat pergi. Tapi aku takut Niyaz tak setuju pula.”
            “Kau nak pergi mana?”
            Aku senyum. Dalam kepala dah terbayang-bayang dah tempat yang aku nak pergi tu. “Bosnia, Alaska atau Iceland.” Memang dah lama teringin nak ke sana. Kalau lah dapat pergi...
            “Whoaaa... Semua luar negara. Tapi pasal apa tempat yang kau nak pergi ni semua rare punya tempat. Orang kalau nak honeymoon tak pergi la dekat tempat yang kau cakap ni.”
            “Ye ke? Betul ke tak ada yang honeymoon dekat sana? Mana kau tahu?”
            “Ye la. Orang kalau nak honeymoon biasanya pergi pulau macam Krabi ke, Bora Bora ke, Hawai ke. Tak pun pergi kota cinta macam Paris tu ke, Korea ke, London, New York, Turki. Haa... macam-macam pilihan aku bagi. Pilih je kau nak yang mana.”
            “Tapi pilihan kau tu mainstream sangat la Aini.” Kan dah selalu sangat orang pergi tempat tu semua.
            “Habis tu kau nak yang rare macam yang kau cakap tadi tu?” Aku angkat bahu tanda tak tahu. Kemudian Aini gelak lagi. “Kalau nak honeymoon kau pilih la tempat-tempat yang romantik dan private sikit Sa. Tempat yang kau cakapkan tadi tu kau ajak Abang Niyaz pergi lain kali saja. Nanti kau orang boleh buat backpack travel ke apa.”
            Pula. Bagus juga cadangan Aini tu. Tapi, nak ke Niyaz backpack travel dengan aku nanti? “Habis tu, tempat mana yang sesuai untuk aku honeymoon nanti?”
            Aini menyisip perlahan minuman dia. Dah cakap banyak dahaga pula. “Tempat-tempat yang aku cakap tadi la.”
            “Urm aku tak nak lah yang oversea.” Aku sengih je. Tak tetap pendirian betul.
            “Pula...” Aini tepuk dahi sendiri. “Habis tu, kau nak yang dalam Malaysia saja lah? Nak pulau ke apa?”
            “Aku nak pergi tempat sejuk. Tapi Cameron Highland dah selalu sangat aku pergi. Jangan cakap pasal Genting Highland. Sebab aku tak suka pergi sana. Kau tahu tak kawasan tanah tinggi yang mana paling best selain daripada dua highland tu tadi?”
            Aini diam memikir. “Aku rasa Kundasang is the perfect place for your honeymoon.” Kata Aini sambil memetik jari. Gaya dah macam orang baru selesaikan kes besar saja.
            “Kundasang, Sabah?”
            “Yes baby!” Jawab Aini dengan senang hati. “Kejap, aku cari info tentang Kundasang untuk kau.” Jari Aini bergerak laju di atas skrin telefon. Setelah jumpa apa yang dicari, Aini menghulurkan telefonnya kepada aku.
            “Cantik la Aini...”
            “Kan...”

            “Thanks buddy!” Aku memeluk Aini erat dan Aini turut membalas pelukan aku dengan senyuman yang tak lekang dari bibir. “You’re welcome pretty!” Akhirnya... We are so going for honeymoon baby!

30 November 2015

Hessa, It's Me! Bab 15

SUDAH seminggu usia perkahwinan kami. Masih baru dan masih hijau. Masih ada banyak perkara tentang Niyaz yang perlu aku pelajari. Sekarang kami sudah tinggal bersama dengan daddy Niyaz di rumah keluarga mereka. Rutin harian aku yang lain masih sama cuma sedikit bertambah kerana aku turut menjaga makan dan pakai daddy. Hal kecil saja, tiada yang susah pun.
            Satu persatu bahan mentah di dalam peti sejuk aku keluarkan. Memandangkan hari ini adalah hari minggu, aku bercadang untuk menyediakan nasi lemak dengan ayam goreng berempah. Malam tadi aku dah tengok, semua bahan mentah masih cukup.
Sedang aku mengeluarkansatu persatu bahan dari peti ais, kedengaran suara orang bercakap di bahagian depan. Terus aku meninggalkan bahan-bahan tersebut dan berlalu ke bahagian depan. Kelihatan Niyaz dan daddy sudah lengkap berbaju melayu dan bersongkok di kepala.
“Abang dengan daddy nak ke mana?” Aku mendekati Niyaz dan daddy yang sudah bersedia untuk keluar.
Niyaz tersenyum seketika. “Kami nak ke kubur sekejap. Hessa buat apa dekat dapur?”
“Hessa ingat nak masak nasi lemak tadi, untuk sarapan. Abang, Hessa nak ikut abang dan daddy ke kubur mummy.”
Niyaz dan daddy saling berpandangan. “Hessa pergi naik bersiap, kami tunggu. Tak payah masak nasi lemak lah, kita sarapan dekat luar saja nanti.” Kata daddy. Niyaz hanya tersenyum dan angguk dengan kata-kata daddy.
“Okey kejap, Hessa nak kemaskan barang yang dapur dulu.” Aku terus berlalu ke dapur, mengemas semula yang bahan-bahan yang telah aku bawa keluar tadi. Kemudian aku terus berlalu ke tingkat atas untuk bersiap.
Baju kurung cotton berwarna krim aku padankan dengan instant shawl berwarna dusty pink. Instant shawl pemberian Tok nek. Aku faham maksud disebalik pemberian itu, tapi entah kenapa rasa untuk bertudung sepenuhnya masih belum ada.

BUNGA-BUNGA kemboja berguguran di atas tanah. Harumannya tetap berbau segar walau sudah terkulai layu. Aku hanya mengikut langkah kaki Niyaz dan daddy. Ini adalah pertama kali aku dibawa ke sini kerana tidak pernah berkesempatan untuk menziarah kubur mummy. Sewaktu pengkebumian mummy dulu pun aku tidak datang.
            Langkah kaki kami terhenti di sisi kubur yang kelihatan kemas terjaga. Langsung tiada rumput yang tumbuh di atas kubur mummy. Nampak tenang saja semuanya.
            “Ini lah kubur mummy Hessa...” Kata daddy sambil memegang batu nisan yang dipacak di atas kubur. Niyaz pula sudah duduk di sisi kubur dan bersedia untuk membaca yasin. Aku memberikan salam. Masih aku ingat pesan Along supaya memberi salam sewaktu masuk ke kawasan perkuburan dan sewaktu berada di sisi kubur yang kita ziarahi. Memang itu yang selalu kami lakukan tiap kali menziarahi kubur arwah mak dan ayah.
            Bacaan yasin kami mulakan dengan tenang. Hati terasa sayu. Rasa rindu mula mencengkam. Rindukan arwah mak, ayah dan juga mummy. Air mata mula memberat. Namun sedaya upaya aku cuba menahannya daripada jatuh ke pipi. Tak elok menangis di kubur Hessa.
            Bacaan yasin kami diakhiri dengan bacaan doa oleh daddy. Selesai semuanya, kami menyiram kubur mummy dengan air yang sempat aku bawa tadi. Kuntuman bunga juga bertaburan di atas kubur mummy. Setelah selesai menyiram kubur mummy, daddy meminta diri untuk beransur terlebih dahulu. Niyaz menyuruh daddy untuk menunggu kami di dalam kereta saja. Aku tahu, daddy mahu bersendirian buat seketika. Raut wajah duka daddy menceritakan semuanya.
            Aku memandang Niyaz yang masih duduk di sisi kubur. “Mummy... Niyaz bawa isteri Niyaz hari ni mummy.” Niyaz senyum dalam kepahitan. “Mummy nak tahu tak siapa isteri Niyaz?” Soal Niyaz kemudian mendongak memandang ke arah aku dan tersenyum.
            Niyaz kembali memandang ke arah kubur mummy. “Hessa mummy. Hessa dah jadi isteri Niyaz. Niyaz tahu, kalau mummy masih ada, mesti mummy gembira dengan pilihan Niyaz ni kan.” Seketika kemudian Niyaz menggeleng. “Tak. Bukan Niyaz yang pilih Hessa, tapi Hessa yang pilih Niyaz. Dan Niyaz bersyukur sangat sebab Hessa sudi pilih Niyaz untuk menjadi suami dia mummy.” Suara Niyaz sudah berubah sebak.
            “Abang...” Aku mengusap bahu Niyaz. Cuba menenangkan Niyaz.
            “Hessa baik mummy. Sanggup berkorban untuk keluarga kita. Dia rasa bersalah sangat dengan apa yang telah terjadi. Tapi Niyaz tahu yang mummy tak pernah salahkan Hessa bukan?”
            “Abang...” Sekali lagi aku menyeru nama Niyaz. Tidak mahu dia terlalu larut dalam perasaan nya.
            “Abang nak kongsikan semuanya dengan mummy.” Kata Niyaz perlahan. “Abang nak mummy tahu yang Hessa sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kami sekarang.” Niyaz menarik tangan aku supaya duduk di sisinya.
            “Niyaz doakan supaya mummy tenang di sisi Nya. Niyaz rindu sangat dekat mummy. Niyaz janji yang Niyaz akan jaga menantu mummy sebaik mungkin. Niyaz akan cuba untuk bahagiakan menantu mummy ni seperti mana dia berusaha untuk membahagiakan keluarga kita.” Niyaz menggenggam kemas tangan aku sepertinya menyalurkan satu semangat yang baru untuk kami meneruskan perkahwinan ini.
            “Hessa pun rindukan mummy juga. Walau singkat saja pertemuan di antara kita, rasa rindu itu tetap ada dalam hati Hessa untuk mummy. Semoga mummy tenang di sana. Aku turut membalas genggaman tangan Niyaz. Kami saling berpandangan dan tersenyum. Aku dapat rasa seperti ini adalah permulaan yang sebenar untuk rumah tangga kami. Semoga apa yang bakal terjadi nanti adalah perkara yang baik-baik saja.

SATU-PERSATU album lama dikeluarkan dari almari. Walaupun sudah lama, album itu semua masih kelihatan elok dan tersusun. Selesai sarapan di luar tadi, Niyaz terus memandu pulang ke rumah. Sewaktu kami melangkah ke tingkat atas, daddy mengajak aku duduk bersama dengannya kerana ada sesuatu yang dia ingin tunjukkan kepada aku. Rupa-rupanya album lama keluarga Niyaz.
            “Yang ini sewaktu kami di Armsterdam. Umur Niyaz waktu tu empat tahun kalau tak silap daddy.” Daddyu menghulurkan album yang berisi gambar mereka sewaktu di luar negara.
            “Wah... untung la abang. Kecil-kecil lagi dah berjalan ke luar negara.” Daddy ketawa mendengar kata-kata aku.
            “Terpaksa Hessa. Bukan berjalan suka-suka.” Kata daddy dengan senyuman yang masih menghiasi bibir. Daddy kelihatan lebih ceria sekarang berbanding sewaktu di tanah perkuburan tadi.
            “Terpaksa kenapa?”
            “Sebab terpaksa ikut daddy pergi kerja. Daddy pergi sana atas urusan perniagaan daddy. Mummy dengan Niyaz terpaksa ikut sebab daddy tak nak tinggalkan mereka dekat rumah. Mummy bukan main muncung lagi waktu. Dia tak suka ikut daddy sebab bosan katanya. Dekat negara luar macam tu bukan boleh keluar jalan-jalan ikut suka hati. Nak pula mummy berdua dengan anak kecil saja kan. Jadi, terpaksa dia terperuk dekat bilik hotel saja. Itu yang dia tak suka. Tapi bila sampai masa untuk berjalan, haa lebar la senyuman dia macam yang dekat dalam gambar tu.” Jelas daddy.
            Aku kembali membelek album itu satu persatu. Ya, bukan main lebar lagi senyuman mummy dalam gambar ni semua. Cantik sangat. “Yang ini dekat mana daddy?” Aku menunjukkan sekeping gambar Niyaz yang berdiri di tepi perigi dengan hanya berseluar pendek saja. Kelakar betul muka Niyaz waktu tu. Muka terlebih excited ke apa ni.
            Daddy mengambil gambar yang aku tunjukkan kepadanya. Kemudian daddy ketawa. Sungguh-sungguh daddy ketawa. “Kenapa daddy?”
            “Kalau Hessa nak tahu, itu gambar Niyaz sewaktu dekat kampung. Umur Niyaz enam tahun waktu tu. Masa tu hari raya, kami semua balik berkumpul di rumah arwah nenek Niyaz ni ha. Waktu pagi semua lambat bangun lepas tu berebut nak guna bilik air. Sebab tak tahan lama sangat menunggu, daddy bawa Niyaz mandi air perigi. Tu muka excited sebelum kena siram tu Hessa. Sekali kena air perigi, terus dia terloncat tak nak mandi lagi dah. Sejuk sampai ke tulang.”
            Aku turut gelak. Muka sebelum kena siram pun dah kelakar. Lepas kena siram agak-agak macam mana lah rupa Niyaz tu ye. “Daddy memang rakam semua ye?”
            Daddy angguk dan senyum. “Memang dari dulu daddy suka rakam semuanya. Lepas tu bawa pergi kedai untuk cuci filem tu semua lepas tu simpan dalam album. Kenangan sepanjang zaman. Kan seronok bila kita buka balik album ni semua dan tengok ramai-ramai sambil mengimbau kenangan lama. It’s more memorable I think.”
            Aku turut bersetuju dengan kata-kata daddy. Memang cara dulu lebih memorable berbanding yang sekarang. Orang ramai lebih gemar untuk menyimpan gambar-gambar kenangan mereka di dalam telefon, pendrive atau laptop sahaja. Bila nak tengok, kena buka tu semua. Leceh betul.
            “Apa yang seronok sangat bersembang ni?” Tegur Niyaz yang baru naik ke atas dengan dulang di tangan.
            “Eh, abang buat air ke? Kenapa tak bagi tahu Hessa? Boleh Hessa tolong buatkan.” Aku bergegas bangun dan mengambil dulang dari tangan Niyaz untuk diletakkan dia tas meja.
            “Tak apa lah Hessa, bukan susah pun.” Niyaz mengusap kepala aku. Suka betul dia buat macam tu. Sejak sebelum kahwin lagi.
            “Ni, daddy tunjukkan Hessa gambar-gambar lama Niyaz dengan mummy.” Kata daddy setelah Niyaz melabuhkan duduknya di atas karpet sebelah aku.
            “Eh, malu la daddy...” Niyaz cuba menarik album di atas riba aku tetapi aku menghalang.
            “Tak payah nak malu sangat. Hessa dah tengok semuanya. Kan Hessa?” Daddy kenyit mata. Suka mengusik juga daddy ni.
            “Haah, Hessa dah tengok semuanya. Gambar yang tuttt... tuttt... pun Hessa dah tengok.”
            Niyaz menjengilkan mata ke arah aku. “Apa gambar tutt tutt... Daddy, ada gambar tak senonoh ke?” Niyaz terus merampas album dari tangan aku dan membelek album tersebut dengan rakus. Aku dan daddy hanya ketawa melihat gelagat Niyaz itu. Gelabah tak habis.
            “Dah tak payah nak kalut sangat. Mana ada gambar tak senonoh. Semua gambar sopan je.” Daddy menenangkan keadaan. Niyaz sengih kemudian nya. Risau sangat kalau aku tengok gambar tak senonoh dia tu.
            “Niyaz tak nak bawa Hessa pergi honeymoon ke?” Aku dan Niyaz saling berpandangan. “Dah seminggu kahwin, asyik terperap dekat rumah saja. Lepas tu pergi kerja. Bawa la Hessa keluar berjalan sama. Pengantin baru kan sepatutnya kena pergi honeymooon. Guna masa bercuti tu untuk kenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam.” Sambung daddy lagi.
            Serius aku memang langsung tak terfikir soal bulan madu. Yang aku fikirkan setelah menjadi isteri Niyaz hanyalah untuk menjalankan tugas aku sebagai isteri dan menantu di dalam rumah ini. Itu saja.
            “Hessa nak pergi honeymoon?” Soal Niyaz. Daddy pula asyik pandang-pandang. Dah kenapa Niyaz ni tanya macam tu depan daddy. Karang kalau aku angguk macam gatal pula. Bulan madu kan, faham-faham saja lah.
            “Erk... Hessa tak kisah. Hessa ikut abang je.” Aku sengih. Pipi dah rasa kebas dah ni.
            “Apa la tanya macam tu. Semua orang pun nak la pergi honeymoon ni semua Niyaz. Jangan buat-buat tak tahu pula.” Usik daddy dengan ketawa lepas. Niyaz menggaru kepala yang tak gatal. Segan lah cakap pasal ni depan daddy.
            “Habis tu nanti daddy tinggal sorang pula.”
            “Hessa, daddy bukan budak kecil lagi tau. Daddy dah tua, nak takut apa kalau tinggal sorang. Lagi pun, Hessa dengan Niyaz bukan pergi sebulan pun kan. Ke memang ada niat nak pergi honeymoon sebulan?” Usik daddy lagi dengan ketawa yang masih bersisa. Hadoi... Makin kebas pula muka aku.

            “Dah, tak payah nak buat muka segan macam tu lah.” Daddy ketawa lagi. Seronok betul daddy usik kami macam ni ye. “Niyaz bincang la elok-elok dengan Hessa. Daddy nak masuk berehat dalam bilik.” Daddy bangun dan terus berlalu ke dalam biliknya. Aku dengan Niyaz saling memandang. Nak kena pergi bulan madu juga ke?